Sunday, 6 September 2020

Resus aktif atau resus tak aktif (NAR)?

Suatu hari semasa saya seorang medical MO yang menerima rujukan kes daripada jabatan kecemasan. Saya ada menerima satu rujukan kes.


Pesakit berumur 71 tahun.

Dia tinggal bersama isteri kat rumah.

Anak-anak semua sudah besar dan tidak tinggal bersama.


Pesakit ini baru je keluar wad seminggu lepas. Sebelum ni masuk wad disebabkan hypertensive encephalopathies. Masa keluar wad, pesakit dah ok. GCS penuh, ADL semi dependant. Boleh la jalan sendiri walaupun menggunakan walking stick. Makan minum no hal sendiri boleh. Ke tandas sendiri pun boleh.


Dia ini juga mempunyai sejarah penyakit:

  1. Kencing manis pakai insulin

  2. Darah tinggi

  3. Rosak buah pinggang tahap 4

    1. masih belum ada pelan untuk dialisis

  4. Jantung tersumbat

  5. Saluran darah tersumbat

  6. Sejarah kemasukan ke hospital disebabkan sawan selepas strok

    1. Masuk dulu kat hospital Sabah, pernah ambil ubat sawan T. Epilim 200mg BD

    2. Pastu pesakit kembali ke semenanjung, ubat sawan berhenti makan. Berhenti sebab katanya doktor kat semenanjung suruh berhenti makan, sebab betul keluarga tak pasti.

  7. Sejarah kemasukan ke dalam wad disebabkan hypertensive encephalopathies.


Ceritanya,

Sejak keluar wad aritu. Pesakit ada alami gejala batuk sekejap-sekejap. Tak teruk batuk tu, tapi ada la sampai buat dada sakit namun tidur tak terganggu. Sesak nafas pun takda. Kira batuk masalah kecil bukan isu besar.


Pesakit juga turut menggalami berak hitam sejak keluar wad. Tak pasti najis berdarah merah atau tidak, yang pasti najis warna hitam macam warna rambut. Tapi tak banyak pun najis hitam tu keluar. Sikit-sikit ada, sikit sikit takda. Ini pun dikira masalah kecil bukan masalah besar.


Isu besar yang utamanya bermula dalam anggaran 4 hari yang lalu sebelum datang ke kecemasan.


4 hari yang lalu, pesakit ada datang kecemasan dengan sebab muka senget sebelah.

Muka senget sebelah. Itu sahaja alasan dia datang ke wad kecemasan. Takde alasan lain. Sakit kepala ke, muntah2 ke, tak leh jalan ke, badan lemah ke, semua tu takde.


Pesakit diletakkan di zon hijau.


Waktu tu, doktor kat kecemasan periksa kata semua normal sahaja. Doktor tersebut ada mengambil sejarah keadaan sakit semasa, buat pemeriksaan fizikal dan ujian darah sahaja. Tiada ujian-ujian lain. Setelah semua normal, pesakit disuruh pulang.


Namun, apabila pulang ke rumah keadaan pesakit semakin bertambah teruk.

Keesokannya, pesakit mula tak boleh bercakap-bercakap. Hanya sekadar angguk dan geleng kepala je apabila isteri tanya. Sedihnya, isterinya tak bawa balik ke hospital disebabkan semalam waktu jumpa doktor tu, doktor cakap semua baik-baik sahaja. Walaupun nampak keadaan pesakit sedikit merosot, isterinya percaya keadaan suaminya itu hanya sementara dan akan kembali pulih.


Isteri pesakit tersebut berumur dalam likungan 70-an. Sudah berumur namun masih gagah melakukan tugas hakiki sebagai seorang isteri. Keupayaan badannya ibaratkan mereka yang masih berumur linkungan 40-an.


Tak lama selepas itu, keadaan pesakit tidak menunjukkan tanda-tanda untuk kembali pulih. Pesakit kini hanya terlantar di katil, tidak bergerak, tidak bercakap. Demam tiada, nafas pun masih biasa. Buang air besar dan kecil terpaksa pakai pampers sahaja. Pesakit kini nampak sangat tidak bermaya. Hendak makan pun perlu disuap ke mulut. Nasib baik tiada tersedak batuk semasa disuap.


Beberapa hari selepas itu, pesakit mula menggalami demam dan waktu inilah si isteri mula rasa sedikit bimbang. Suhu badan di rumah 38-39 darjah selsius. Demam tidaklah berpanjangan sehari. Demam timbul sekejap-sekejap.


Hari kedua demam, pesakit mula alami simptoms sawan. Kedua-kedua belah tangan bergetar-getar dalam satu tempoh masa dan berhenti dengan sendirinya. Dalam satu hari banyak juga la episod getaran tangan-tangan ni. Selalunya setiap episod mengambil masa 5-10 saat sahaja. Namun kerap berlaku.


Apabila sudah berkali-kali dilihat pesakit mempunyai pergerakan tangan yang tak normal, isteri pesakit bergegas membawa suaminya ke hospital balik.


Setibanya dihospital, sekali lagi pesakit mengalami episod pergerakan tangan yang berulang-berulang. Kali ini tempohnya lagi lama, iaitu selama lebih kurang 30 minit. Pada masa yang sama, bukan sahaja tangan yang mempunyai pergerakan tersebut tapi satu anggota badan. GTC (Sawan menyeluruh) ! Terus dibagi IV Valium 10 mg stat di kecemasan. Pesakit dibawa ke zon merah.

Sawan tidak berhenti setelah dibagi IV Valium. Doktor kecemasan bagi pula IV phenytoin loading 15mg/kg stat. Tak jalan juga. Sawan masih berlaku.


Bila dua-dua ubat ini tak jalan. Waktu ni la ED mula ganggu merujuk aku. Rujuk kepada medical untuk authorisation of phenobarbitone. Rupa-rupanya ubat phenobarbitone memerlukan kelulusan daripada jabatan medical baru farmasi bagi. Pelik tapi itulah peraturan yang telah ditetapkan, katanya.


Aku pandang pesakit ni dari jauh, waktu ini aku hanyalah MO medical yang sedang melihat kes rujukan yang lain. Masih belum tahu apa-apa cerita pasal pesakit ini. Aku nampak jerky movements bilateral upper limbs tak henti henti. GCS E4V1M5. Sawan menyeluruh tak henti-henti tapi mereka dari jabatan kecemasan mula-mula tak mahu masukkan tiub pernafasan untuk pesakit. Alasannya, GCS masih OK. Mungkin mereka nak tunggu GCS tak okay baru nak intubate kut. Tak mengapalah, ku fikir. Yang penting sekarang kena hentikan sawan tersebut.


Aku tak tahu jalan cerita pesakit dari awal. Pendek kata yang hanya aku tahu pesakit dengan ada sawan, dua ubat sebelum ni tak jalan dan memerlukan phenobarbitone. Aku terus capai phone dan buat panggilan kepada pakar perubatan oncall. Hanya pakar sahaja mempunyai kuasa untuk meluluskan ubat-ubat seperti ni.


'Hello Dr, nak minta authorise ubat phenobarbitone untuk patient satu kat resus ni boleh? GTC tak henti-henti ni. ED da bagi Valium dengan phenytoin tapi tak jalan. Patient nama sekian sekian' – aku.


'Eh, ED tak boleh authorise sendiri ke? Kenapa nak medical juga?' - Pakar oncall tertanya-tanya.

'Tak tahu. Memang diorang cakap camtu. Farmasi yang bagitahu. Jadi saya ikut je la.'- aku.


'Ok'. - jawab pakar tersebut ringkas.


'Thanks Dr'. - balas aku.


Sebaik sahaja panggilan telefon diputuskan, terus aku menelefon farmasi untuk beritahu kelulusan sudah dibagi. Aku ingat ubat boleh terus dapat sebaik sahaja mendapat kelulusan pakar, namun tidak. Ubat tersebut perlu disediakan oleh farmasi terlebih dahulu. Sejam dua jam kemudian baru ubat diterima. Sepanjang menunggu ubat disediakan sepanjang itulah pesakit ni masih mempunyai sawan. Tak henti-henti tangan kaki bergerak-gerak.


Sambil-sambil tunggu ubat phenobarbitone ni siap, aku ambil kesempatan yang ada untuk menanya sejarah keadaaan pesakit dari awal sehingga dia sakit begini daripada si isteri. Tak banyak info tambahan yang kudapat, kebanyakan seperti info yang dibagi sama sahaja yang kutulis di atas. Setelah mendapat info keadaan dan sejarah keadaan pesakit secukupnya, aku pergi memeriksa pesakit.


Pesakit dalam keadaan separa sedar. E4V1M5. Anak mata dua-dua ada respons yang bagus kepada cahaya.


Tekanan darah: 120/93

Nadi: 88

Paras oksigen: 100% on HFM

Suhu: 36.7

U/O: CBD tak pasang-pasang dari awal sampai tengah hari. Bila dah tengah hari baru pasang, nasib ada juga la air kencing keluar dalam 500cc melalui tiub kencing tu.


Paru-paru: Jelas

Jantung: S1S2 didengari, tiada murmur.

Abdomen: Lembut, tak kembung.


Pemeriksaan terhadap CNS tak dapat dilakukan.


Jam 3.00 petang baru buat CT brain, itupun selepas dapat bekalan phenobarbitone. Sawan perlu diberhentikan terlebih dahulu sebelum membuat CT brain.


CT brain: Tiada pendarahan dalam otak. Multifokal infarct dengan cerebral atrophy je. (Bukan berdasarkan laporan formal CT)


Oh, terlupa juga nak diceritakan bahawa sakit juga mempunyai kandungan gula yang tinggi dalam badan. DXT high. Tengok-tengok HHS rupanya. Fixed scale insulin dimulakan. IVD tak diberi dengan penuh waspada kerana pesakit mempunyai had jumlah air harian sebanyak 800cc sehari sahaja.


Melihat kepada keputusan CT brain, aku sekali lagi membincangkan kes ini dengan pakar. Pakar suruh masukkan tiub pernafasan dan rujuk kepada doktor bius untuk ventilator. Aku pun rujukkan kes ini kepada doktor bius, doktor bius menyarankan untuk NAR pesakit ini kerana mempunyai pelbagai latar belakang kes penyakit serta dengan keadaan yang tenat.


Bagiku, pesakit masih belum memerlukan NAR. Hal ini kerana pesakit dalam keadaan elok beberapa hari lepas dan isu utamanya sekarang adalah sawan, yang boleh dihentikan dengan ubat. Aku tak NAR pesakit ini.


Kenapa mahu NAR?

Gambaran X-ray dada: Jantung sedikit bengkak. Takde chronic lungs changes/ effusion.

ECG: Sinus bradycardia sikit. Tapi takde ischemic changes/ LVH strain pattern.

Keluaran air kencing: Bagus

AKI? (eGFR 7): Walaupun bacaan egfr sangat rendah, tapi kalau air kencing ada keluar dengan vbg takde acidosis, bacaan buah pinggang kita boleh monitor dari hari ke hari. Kemungkinan AKI disebabkan dehydration.

CT brain: Tiada pendarahan otak/ strok terbaru.


Takkanlah disebabkan sawan yang berpanjangan yang tak henti henti, GCS recovery lemah buat masa sekarang, sudah mahu NAR?


Pakar Perubatan juga tidak bersetuju dengan keputusan untuk NAR. Sebabnya, pesakit sebelum ini dalam keadaan yang sangat bagus dan tempoh durasi sejarah kesakitan kali ini adalah pendek. Hanya beberapa hari sahaja, keadaan pesakit merosot ketahap sekarang.


Aku hanya berbincang dengan isteri pesakit tentang keadaan semasa pesakit. Keadaan yang tenat, faktor usia dan latar belakang kepelbagaian penyakit, serta jangkaan-jangkaan keadaan pesakit apabila dimasukkan ke dalam wad. Keadaan pesakit mungkin akan lebih merosot dan memerlukan CPR dan sebagainya. Namun, aku tidak terus NARkan pesakit. Aku bagi ruang kepada isteri pesakit untuk berfikir dahulu. Pada waktu ini, isteri pesakit tidak dapat membuat apa-apa keputusan melainkan mengatakan dirinya mahu rawatan yang terbaik kepada suaminya. Rawatan yang terbaik...apakah yang dimaksudkan dengan rawatan yang terbaik? Fikirku.


Apabila doktor bius datang menjumpai isteri pesakit, doktor bius tersebut berbincang lagi tentang status resuscitation untuk pesakit. Akhirnya doktor bius berjaya mengesyorkan untuk NAR.


Justifikasi doktor bius:

1. Pesakit dijangka memerlukan tempoh tube pernafasan yang agak lama.

2. Pesakit nanti mungkin memerlukan trachy. Sanggupkah isterinya mahu menjaga penjagaan trachy. Selama ini, isteri hanya tinggal dengan suami dirumah tanpa anak-anak tinggal bersama.

3. Keperluan dialisis. Pesakit mempunyai latar belakang penyakit buah pinggang kronik. Sekarang bacaan EGFR masuk kepada angka 7. Ada keberangkalian, buah pinggang akan gagal sepenuhnya dan memerlukan dialisis.

4. Keadaan sepsis yang lebih teruk.

5. Latar belakang masalah jantung. Pesakit mungkin akan mendapat serangan jantung di dalam wad dan jantung berhenti.

6. Usia yang lanjut dan tidak disarankan untuk CPR. Umur dah 70 tahun ke atas, mahukah ahli keluarga melihat dada pesakit ditekan-tekan untuk mengembalikan fungsi jantung sekiranya jantung berhenti. CPR tidak menjamin jantung akan kembali berfungsi seperti asalnya, dan pesakit boleh menerima komplikasi CPR seperti retak tulang dada.


Doktor bius pada pendapat bahawa pesakit bukanlah calon yang sesuai untuk resusitasi aktif.


NAR atau resusitasi aktif. Kedua-duanya mempunyai sebab masing-masing. Jika anda di tempat saya, seorang doktor perubatan yang sedang menghadapi kes ini. Adakah anda akan memberi resusitasi aktif atau resusitasi tidak aktif (NAR)?


Diagnosis yang ku tulis untuk pesakit:

  1. Status epilepticus with underlying post infarct seizure

  2. Sepsis cover for HAP

  3. HHS

  4. Acute on CKD

Wednesday, 2 September 2020

Kesal. Kecewa.

 Assalamualaikum dan salam sejahtera, 

Hari ini ingin saya akan kongsikan kekesalan yang saya alami semasa bertugas sebagai serang doktor. 


Suatu petang, saya menerima satu rujukan kes daripada jabatan kecemasan. 


Pesakit berusia 45 tahun. Lelaki India. 

Mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan kencing manis, jantung bengkak. 


Dia datang dengan keluhan: 


1. Sukar bernafas 1/7 

- berlaku secara tiba-tiba 

- makin lama makin teruk 

- tak mampu nak bercakap 

- juga mempunyai batuk-batuk bersama kahak putih


2. Bengkak kedua-dua kaki 3/12 

- timbul secara perlahan-lahan 

- makin teruk secara perlahan hari ke hari 

- kaki tak sakit 

- masih boleh berjalan 


Pesakit akur kepada had pengambilan air sehari sebanyak 500CC 

Pesakit patuh dalam mengambil ubat-ubatan


Pesakit tidak mempunyai keluhan; 

Demam 

Sakit dada, jantung laju, berdebar-debar 

Terbangun dari tidur dan sesak nafas pada waktu malam, susah nafas apabila baring terlentang

Sakit perut, perut kembung, sembelit, cirit-birit 

Kencing sakit, kencing berdarah 


Tiada sebarang perhubungan dengan pesakit covid-19 


Pesakit apabila sampai ke unit kecemasan, dia dalam keadaan yang sedar tapi susah bernafas. Dia juga dalam keadaan demam. 

Tekanan darah: 184/ 74 

Nadi: 115 

Suhu: 38.9 

Peratusan oksigen: 84% bawah udara bilik. 


Pemeriksaan fizikal 

Paru-paru: Kurang kemasukan udara di kedua-dua bahagian bawah paru-paru. Krepitasi turut didengari di bahagian bawah paru-paru.  

Jantung: S1S2 didengari. Tiada murmur.  

Perut Lembut, tak sakit. 


Kaki bengkak sampai ke lutut. 


ECG: sinus tachycardia. LVH with strain pattern. 

X-ray paru-paru: Jantung bengkak. Putih di bahagian bawah kedua-dua paru-paru. 

ABG di bawah udara bilik: Tiada acidosis. Hanya kegagalan pernafasan jenis satu. 


Ujian darah FBC: Hb 15, WCC 18, Plt 250 

Ujian darah RP: Urea 7, Creatine 160, Potassium 4, Na 135 

Trop I: 1200 

CK: 320 


Di kecemasan, pesakit diberi 

IV lasix 80 mg stat 

IVI GTN 5 mg/H

Bantuan oksigen CPAP 


Pesakit dapat menerima bantuan oksigen CPAP dengan selesa selama 1 jam. 

Setelah menerima bantuan oksigen CPAP, pesakit dapat bertutur ayat penuh dan kurang sesak nafas. 


Selain itu, air kencing juga keluar sebanyak 1.8L selepas diberi IV lasix. 


Sewaktu saya memeriksa pesakit, pesakit masih sedang menerima bantuan oksigen CPAP. Saya turut menambah untuk rawatan serangan sakit jantung. 


T. Aspirin 300 mg stat dan 150 mg OD 

T. Plavix 300 mg stat dan 75 mg OD 

S/C fondaparinux 2.5mg stat and OD 


Memang saya akui pesakit kelihatan selesa semasa menerima bantuan oksigen CPAP tersebut. Namun, hati ini rasa kurang senang melihat keadaan pesakit yang teruk. Kalau diperhatikan keluhan pesakit sekarang, kita dapat lihat bahawa apa yang dialami oleh pesakit adalah sesuatu yang berlaku dengan cepat. Sel darah putih juga tinggi. Pesakit dalam keadaan sepsis, dan sepsis ini berlaku dalam keadaan yang singkat serta pantas merosotkan keadaan pesakit. 


Setelah satu jam menerima bantuan oksigen CPAP, bantuan oksigen diturunkan kepada venturi mask. Pesakit nampak selesa dengan bantuan oksigen venturi mask. ABG diulang ambil dan menunjukkan kadar peratusan oksigen yang memberangsangkan. Bantuan oksigen diturunkan kepada VM 40% . 


Pesakit sekarang menunggu waktu kemasukan ke dalam wad dari kecemasan. 


Setibanya pesakit ke dalam wad, pesakit sampai sampai sahaja dalam keadaan sangat rimas, nafas yang sangat laju dan sangat sukar bernafas. Jururawat di dalam wad tidak sempat untuk mengambil vital signs. Doktor on call wad tersebut terus masukkan tiub pernafasan terhadap pesakit. Walaubagaimanapun, pesakit tidak berjaya diselamatkan. Jantung pesakit berhenti berdenyut. CPR dilakukan tapi tidak membuahkan hasil. Pesakit meninggal dunia. 


Setelah mendapat berita bahawa tersakit telah pergi, saya terasa sangat sedih dan kecewa terhadap diri sendiri kerana gagal merawat pesakit dengan teliti. Sekiranya saya dengar suara hati dan berhati-hati merawat pesakit, saya mungkin akan lebih menjangkakan yang terburuk semasa saya memeriksa pesakit. Mungkin saya akan tidak mudah masukkan pesakit ke dalam wad, mungkin saya akan terus memerhati keadaan pesakit di kecemasan buat sementara waktu dan memastikan pesakit dalam keadaan betul-betul stable sebelum masuk wad. 


Saya berharap agar anda sebagai pembaca dapat mendapat sedikit iktibar dan pengajaran daripada perkongsian saya pada hari. Doakan supaya kejadian seperti di atas tidak berlaku kepada mana-mana pesakit dan doktor tak kira dimana dan di waktu bila. 





Wednesday, 17 June 2020

Serangan jantung disebabkan anemia


Hari ini, saya ada menerima satu rujukan daripada unit kecemasan. Rujukan tersebut daripada zon kritikal unit kecemasan.

Mereka rujuk satu kes pendarahan usus atasan (UGIB). 
Pesakit ini merupakan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50 tahun. Sudah berkahwin dan tidak merokok.

Beliau mempunyai sejarah perubatan berikut:
1. Kencing manis
2. Darah tinggi

Datang ke hospital dengan sebab:
1. Muntah-muntah 2-3 hari
- satu hari dalam 2-3 episod muntah
- selalunya muntah air atau sisa makanan sahaja
- tapi kadang-kadang ada muntah hitam juga, dalam kuantiti yang sedikit
2. Sakit perut bahagian ulu hati (epigastric pain) 2-3 hari
- rasa sakit kepedihan
- tak teruk sangat sakit
- sakit kejap2 ada, kejap2 takde
3. Cirit birit 2-3 hari
- satu hari 2-3 kali cirit birit
- selalunya cirit keluar air je
- tapi kadang-kadang ada darah hitam pekat
4. rasa cepat penat dan letih 2-3 hari
- bila buat aktiviti harian kebiasaan

Walaubagaimanapun,
pesakit tidak mempunyai demam
tidak mempunyai kekuningan
tak makan ubat tradisional/supplemen
tiada sejarah ahli keluarga yang mempunyai sebarang kanser
tiada sakit dada/ jantung laju/ sukar bernafas/ batuk atau selsema

namun, pesakit ada mengadu yang dirinya berasa stress dari segi emosi semenjak musim PKP disebabkan punca pendapatan yang kian mengurang. 

Semasa saya membuat pemeriksaan fizikal ke atasnya, pemerhatian awal saya dapati;

Pesakit nampak selesa duduk di atas katilnya, namun nampak pucat. Nafas biasa tidak laju. Nadi bagus, tapak tangan suam, kemasukan semula kapillari juga kurang dari 3 saat. Lidah nampak lembap tak kering.

Tekanan darah: 127/86
Kadar nadi: 108 seminit
SpO2: 100% di bawah RA
Suhu: 36.7

Paru-paru: Udara masuk selesa. Tiada bunyi yang tidak normal.
Jantung: S1S2 didengari. Tiada murmur.
Perut: Lembut. Tak sakit ditekan. 
Pemeriksaan dubur: Najis hitam pekat (melenic stool)

Gambaran X-ray dada: Besar jantung biasa. Tiada udara terlepas bawah diaphragm. Paru-paru tiada tanda-tanda kelompok jangkitan.

ECG: Rima sinus. Penurunan ST segment yang ketara pada V2-V6. ST segment nampak menaik pada AVR

Daignosis:
1. Pendarahan usus dalaman peringkat atas (UGIB)
2. Anemia bersimptoms disebabkan pendarahan usus 
3. Serangan jantung disebabkan anemia. 

Seterusnya, saya berbincang dengan pakar usus sama ada perlu melakukan OGDS dengan kadar segera atau tidak. Pakar menasihati agar melakukan esok dan perlu stabilise pesakit dahulu untuk hari ini. Masuk darah dulu bagi settle bahagian anemia tu. Saya pun menuruti nasihat tersebut dan masukkan ke dalam wad bahagian katil akut. 

Lewat petang pada hari yang sama, saya dikhabarkan oleh rakan sekerja saya yang menjaga wad bahawa pesakit tersebut keadaan merosot sehingga memerlukan tiub pernafasan. Setibanya pesakit ke dalam wad, pesakit tiba-tiba bernafas laju. 

Hemat saya, pesakit mungkin susah bernafas disebabkan serangan jantung. Ini dibuktikan dengan perubahan ECG, seperti gambaran di bawah. Apabila sel darah merah dalam badan kurang, maka makin kuranglah bekalan oksijen ke bahagian badan termasuk jantung itu sendiri. Serangan jantung terjadi apabila jantung kekurangan bekalan oksijen. Sukar benafas merupakan salah satu simptom serangan jantung. 

Saya juga diberitahu bahawa sewaktu pesakit berada dalam keadaan bernafas laju, pesakit belum menerima bekalan darah. Oleh itu, kelambatan menerima bekalan darah mungkin merupakan faktor tidak langsung kepada serangan jantung ini. Jika pesakit menerima bekalan darah awal, mungkin keadaan pesakit yang teruk ini boleh dielakkan dan tidak memerlukan kemasukan tiub pernafasan.

Oleh itu, pengajaran untuk kita semua hari ini. Janganlah dipandang rendah serangan jantung disebabkan anemia. Walaupun pesakit di awal pemerhatian kita nampak sangat okey, pesakit boleh menjadi teruk keadaannya dalam sekelip mata. Sekiranya mendapati kes serangan jantung disebabkan anemia, cepat-cepatlah dapat bekalan darah untuk dibagi kepada pesakit. 

Sekian. Harap penulisan hari ini memberi manfaat kepada pembaca semua. 
 

Gambaran ECG pesakit. Macam LMS feature pun ada.

Sunday, 7 June 2020

Bila creatinine tiba-tiba melambung tinggi (Perkongsian kes)

Suatu hari di wad perubatan, terdapat seorang pesakit datang dengan keluhan sakit perut dan demam.
Batuk selsema tiada, sakit dada pun tiada.
Makan minum, buang air besar dan kencing macam biasa sahaja.

Ujian FBC tidak menujukkan tanda-tanda jangkitan bakteria.
Namun, bacaan buah pinggangnya didapati menggalami sedikit kerosakan.

Hari pertama, bacaan fungsi kidney (creatinine) adalah sekitar 100 lebih sahaja.
Hari kedua pula bacaan fungsi kidney tiba-tiba menaik lebih 200, dan hari seterusnya menaik lagi ke 300 walaupun sudah pun dibagi hidrasi vena dan ubat mati kuman. Air kencingnya pun sama macam biasa dan tidaklah kurang.

Lalu kami meminta daripada pihak radiologi untuk membuat satu scan USG buah pinggang untuk mencari punca peningkatan.

Scan USG tidak mendapati sebarang halangan kepada saluran air kencing. Selalunya, punca yang selalu kita temui ialah apabila saluran kencing tersumbat dan menghalang pengaliran keluar air kencing merupakan penyebab kepada kenaikan bacaan buah pinggang.

Pada waktu ini, kami memikirkan bahawa mungkin terdapat nanah di bahagian buah pinggang pesakit. Ye lah, pesakit pun datang dengan simptom demam juga. Mungkin terdapat nanah di buah pinggang ke.

Lalu kami memohon CECT kidney untuk melihat dengan lebih jelas apakah yang menggangu buah pinggang pesakit. Adakah pesakit mempunyai ketulan nanah? Ketumbuhan? atau gangguan-gangguan lain di buah pinggangnya.

Keputusan CECT amat mengejutkan. Renal artery thrombosis.
Satu keadaan dimana saluran darah ke buah pinggang tersumbat.
Keadaan ini sangat-sangat jarang berlaku.

Pada hari yang sama CECT dibuat, pihak radiologi memanggil kembali dengan segera pesakit untuk melakukan renal doppler untuk melihat kadar tersumbat saluran darah tersebut. Renal doppler mampu melihat pergerakan darah dalam saluran darah. Namun, nasib malang bagi pesakit tersebut. Renal doppler menunjukkan tiada lagi darah-darah mengalir ke buah pinggang tersebut. Kini, hanya satu sahaja buah pinggang yang berfungsi.

Rujukan kepada pihak pembedahan dibuat namun disebabkan keberangkalian buah pinggang yang saluran tersumbat tersebut sudah rosak seratus peratus amat tinggi, tiada pembedahan emergency dilakukan. Sekiranya saluran yang tersumbat dikesan lebih awal, dan renal doppler menunjukkan pergerakan darah ke buah pinggang walaupun sedikit, buah pinggang tersebut mungkin boleh diselamatkan dengan reperfusion therapy. Reperfusion therapy mempunyai dua kaedah di sini, satu kita bagi ubat cair darah bagi memecahkan darah beku yang membuat saluran darah tersumbat. Kedua, dengan pembedahan sama ada dengan buat bypass saluran darah atau pembedahan buang darah beku tersebut.

Disebabkan penemuan Renal Artery Stenosis ini sedikit lambat, pesakit terpaksa hidup dengan hanya satu buah pinggang sahaja bermula pada hari tersebut.

Sekian perkongsian cerita hari ini. Terima kasih sudi membaca.

Thursday, 5 March 2020

Sekarang telah pun bergelar Medical Officer..

Blog ini mula dibuat sewaktu diri saya masih bergelar pelajar perubatan. Walaubagaimanapun, tak banyak artikel atau karya penulisan saya berjaya hasilkan.

Memang diri ini sangat berharap dapat menjadi seorang penulis. Menulis tentang isu-isu perubatan, sesuai dengan kerjaya diri sebagai seorang doktor.  Harapan ini tak pernah berubah semenjak bergelar sebagai pelajar perubatan sehinggalah sekarang yang telah pun memegang jawatan sebagai pegawai perubatan.

Saya hanyalah pegawai perubatan kontrak sahaja. Besar kemungkinan tidak akan dapat jawatan tetap dalam perkhidmatan melihat situasis ekonomi dan isu-isu semasa.  Namun, berstatus kontrak bukan penghalang kepada cita-cita menjadi seorang penulis.

Jika dilihat tarikh-tarikh penulisan sebelum ini, ternyata saya sudah begitu lama tidak menulis. Ada beberapa draf-draf penulisan yang tidak habis dan terpapar setiap kali saya membuka blogspot. Hati sayu apabila meilhar draf-draf tersebut dan memikirkan diri ini sendiri tidak dapat memenuhi kehendak sendiri.

Insya-Allah, mulai hari ini saya akan kembali menulis di sini. Terdapat juga komen-komen baru yang ditulis pada artikel artikel lama saya yang menjadi motivasi saya untuk menulis kembali. Terima kasih.

Buat masa ini, saya merupakan seorang pegawai perubatan (MO) di jabatan perubatan dalaman di sebuah hospital di Selangor. Setiap hari akan ada sahaja kes-kes menarik yang saya fikir boleh ditulis dan dikongsi cerita untuk penambahan ilmu untuk orang umum. Semoga saya tulis semuanya di sini.

Lagipun, saya sudah berbulan-bulan bekerja sebagai pegawai perubatan (MO) dan bukan lagi pegawai perubatan siswazah. Ada lah sedikit ilmu dan penggalaman lebih untuk memahirkan diri dalam penulisan perubatan nanti. Harap-haraplah.

Baik, misi bulan ini. Tulis sebanyak mungkin artikel perubatan. 

Friday, 28 April 2017

Lebih setahun menganggur... (Pelajar perubatan 2016)

Entri kali ini, saya hanya menulis untuk meluahkan perasaan kecewa sahaja disebabkan tempoh menunggu yang terlampau lama untuk bekerja.


Saya merupakan bekas pelajar perubatan, lulusan luar negara USM-KLE dibawah tajaan mara. Tamat pengajian pada bulan 6, 2016.  Urusan memohon sijil sementara MMC diuruskan oleh pihak universiti. Jadi, tamat sahaja mengaji  saya menunggu surat sijil pendaftaran sementara MMC.

Namun, di sini merupakan satu kesilapan bagi saya. Surat MMC tersebut dikeluarkan dalam bulan 7, 2016 tapi tiada sebarang komunikasi daripada pihak MMC atau wakil universiti/batch. Mungkin ini merupakan silap saya sendiri yang tidak pro aktif menghubungi mana-mana pihak tentang ini.

Akhirnya, di pertengahan bulan 8 saya baru mengetahui akan perkara ini. Terus sahaja saya meminta bantuan rakan untuk mengambil surat tersebut. Saya tinggal di Terengganu, tak mudah nak ke sana dan ke sini. Nak tunggu untuk MMC pos kan surat tersebut memang tak lah.

Dapat sahaja no sijil sementara MMC dari surat tersebut, saya terus mengisi permohonan SPA tanpa melengah-lengahkan masa. Permohonan SPA dibuat pada 21/8/2016.

Pemprosesan permohonan mengambil masa yang agak lama jugalah. Hanya pada bulan 10 atau 11 status permohonan ditukar daripada 'permohonan dihantar' kepada 'lepas syarat-syarat permohonan'. Dukacitanya, tiada tarikh interview dimaklumkan. Hanya ada khabar angin mengatakan interview mungkin akan dijalankan bulan 11 atau bulan 12, ada juga mengatakan bulan 1 tahun berikutnya. Waktu itu, saya yakin tarikh interview dekat sahaja. Ini berdasarkan penggalaman senior terdahulu.

Keyakinan itu makin lama makin kurang kerana tarikh interview tidak juga muncul sehinggalah bulan Januari. Akhirnya tarikh interview dipaparkan. Interview akan dilakukan pada bulan 2/2017. Tarikh interview berbeza-beza bagi setiap pemohon. Yang pasti, interview ini mempunyai 3 sesi. Bulan Januari, Februari, March.

Interview selesai saya jalani. Saya dimaklumkan bahawa keputusan interview akan dimaklumkan sebulan selepas interview.

Bulan 3 masih tiada keputusan interview dikeluarkan.

Pada 20/4 /17. Akhirnya saya menerima keputusan temuduga melalui email. Lulus, barangkali tiada siapa yang gagal temuduga. Setahu saya, semua orang lulus temuduga tersebut.

Seminggu selepas mengetahui keputusan temuduga, ehousemen dibuka. Malangnya saya tidak terpilih untuk kemasukan ini. Rupa-rupanya terdapat sistem ranking dan ranking ini diberikan berdasarkan interview yang dilalui. No ranking pula tidak dipaparkan kepada umum.

Ehousemen seterusnya akan dibuka pada bulan Julai, tapi belum tentu saya terpilih. Desas desus mengatakan sebelum ini bilangan yang dipanggil temuduga ialah lebih kurang 3000 orang, dan penempatan yang disediakan hanyalah sekitar 1000 tempat. Harap-harap saya terpilihlah. Bimbang juga jika tidak dapat, kalau dapat panggilan eHo bulan Sept maka teruklah. Terlalu lama mengganggur. Dah la status pekerjaan hanyalah kontrak sahaja...

Apa yang saya kesal di sini ialah kurang penerangan daripada pihak SPA tentang tempoh menunggu. Saya terpaksa menunggu tertanya-tanya bilakah akan dipanggil temuduga, etc. Saya hanya menggunakan penggalaman senior terdahulu sahaja. Saya jangka menunggu hanya 4-6 bulan sahaja untuk masuk kerja selepas tamar pengajian. Rupa-rupanya da hampir setahun menganggur.

Sekiranya saya mengetahui yang diri akan menganggur selama setahun atau lebih, pasti saya akan merancang dengan lebih baik untuk menggunakan masa menganggur yang ada...

Bagi saya, pengangguran yang lama bukanlah sesuatu yang bagus. Ia melambangkan satu kelemahan.  Saya harap entri kali ini memberi iktibar yang berguna kepada pembaca.

Ringkasan:
Jun 2016-tamat pengajian
Jul 2016-surat sijil sementara MMC dikeluarkan
Ogos 2016- permohonan SPA dibuat
Oct/Nov 2016 - status permohonan SPA ditukar daripada 'permohonan diterima' kepada 'lepas syarat-syarat permohonan'
Jan 2017 - Tarikh temuduga SPA dikeluarkan
Feb 2017 - Temuduga SPA
April 2017 - Keputusan temuduga SPA
Penghujung april 2017 - eHO dibuka. Intake berdasarkan ranking.
Jul 2017 - eHO seterusnya??
Sept 2017 -eHO seterusnya??

Monday, 10 April 2017

Fungsi sistem kholin

Fungsi sistem kholin.
(Parasimpathetik atau vagal)

Kesan muskarin
1.     Jantung
1.     Khronotropik negatif (mengurangkan kadar denyutan jantung)
2.     Dromotropik negatif (melambatkan aliran eletrik jantung) à  tingkatkan selang PR 
3.     Mengurangkan daya denyutan atrium
4.     Kesemua kesan di atas disebabkan reseptor M2.
2.     Salur darah
1.     Tiada kesan kholin secara langsung kepada saluran darah.
2.     Tetapi reseptor kholin (jenis M3) ada terdapat pada endothelium saluran darah.
3.     Rangsangan terhadap reseptor-reseptor ini menyebabkan pengeluaran EDRF (NO) daripada endothelium, mengakibatkan pembesaran radius saluran darah. Vasolidation.
3.     Kalenjar
1.     Stimulasi rembesan menyebabkan peningkatan pengeluaran air liur, air mata, dan peluh. à reseptor M3.
2.     Jadi, ubat anti-kholin (yang menghalang kesan muskarin ini) seperti atropine boleh digunakan untuk memeriksa peluhan berlebihan.
3.     Walaupun kalenjar peluh merupakan sebahagian daripada sistem simpathetik secara anatominya, namun pensarafannya adalah kholin.
4.     Mata
1.     Sistem kholin merangsang sfinkter pupillae dan menyebabkan pengecilan anak mata atau juga dipanggil miosis (reseptor M3).
2.     Juga menyebabkan pengetatan otot siliari --> akomodasi optik
3.     Disebabkan pengetatan otot-otot iris (sfinkter pupillae) dan otot siliari, iris dijarakkan daripada sudut ruang hadapan, dan trabekulae meshwork di lantai otot siliari dibuka à peningkatan pengeluaran cecair ke dalam terusan Schleim  daripada ruangan hadapan à penurunan tekanan intra okular.
4.     Jadi, ubat kholin (antikholinesterase, cth., physotigmine) boleh digunakan untuk merawat glaucoma.
5.     Saluran pemakanan
1.     Rembesan HCL di kantung perut diransang oleh reseptor M1.
2.     Jadi, ubat anti-kholin yang memilih penyekatan reseptor M1 (cth., pirenzipine) boleh digunakan dalam kes alser peptik.
3.     Sistem kholin meningkatkan peristalsis dan mengendurkan sfinkter à sakit kejang boleh berlaku disebabkan peningkatan aktiviti motor.
4.     Jadi, ubat anti-kholin boleh digunakan sebagai ejen anti-kekejangan.
6.     Pundi kencing
1.     Sistem kholin merangsang detrusor dan melonggarkan trigon à  peningkatan pengecingan (reseptor M3).
2.     Jadi, penghalang khusus M3 (oxybutynin, Darifenacin, Solifenacin, Tolterodine), yang menghalang reseptor M3 di pundi kencing, boleh digunakan dalam kes kencing tak terkawal.
7.     Organ seks lelaki
1.     Sistem kholin akan menegangkan zakar disebabkan pembesaran salur darah.
8.     Sistem pernafasan
1.     Sistem kholin menyebabkan pengecilan bronkus (reseptor M­3) dan meningkatkan rembesan kalenjar bronkus.
2.     Jadi, antagonist khusus M(Ipratropium dan tiotropium), yang menghalang reseptor M3 di bronkus, boleh digunakan dan kes asthma bronkial untuk melawan balik kekejangan bronkus dan mengurangkan rembesan bronkus.

Kesan nikotin
1.       Persimpangan saraf-otot
1.       Sistem kholin meransang pengetatan otot tulang à reseptor-reseptor Nm
2.     Jadi, ubat kholin (Neostigmine) yang mempunyai kesan ketara keatas otot tulang, boleh digunakan dalam kes otot lemah, cth., penyakit mystenia gravis atau untuk mengembalikan kesan khusus ubat yang melegakan otot tulang. (muscle relaxants)
2.     Ganglia autonomi
1.     Kedua-dua sistem simpathetik dan parasimpathetik dirangsang à reseptor Nn.

PS: Saya mencari penterjemah sukarela bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu, sesiapa sahaja yang berminat mempelajari ilmu-ilmu perubatan adalah sangat-sangat dialukan. Topik-topik berkaitan ilmu perubatan akan diberikan. Jika anda berminat, silalah mesej FB saya atau komen sahaja di sini. Terima kasih.


Tuesday, 2 August 2016

Lulus peperiksaan akhir ijazah perubatan...? Dijamin 100% akan lulus?

Lulus peperiksaan akhir. Walaupun diri ni awal-awal sudah dapat menjangkakan keputusan sebegini, namun hati ini kadang-kadang tak lepas daripada tersenyum sendirian. Kelakar apabila memikirkan diri ini seorang pemalas tapi masih mampu menjayakan diri lulus peperiksaan tersebut. Tambahan pula, nama kita turut dipanggil bagi pelajar terbaik untuk Community Medicine. Tak sangka betul...

Apabila difikir-fikirkan kembali, perjalanan 5 tahun sebagai pelajar perubatan bukan senang. Susah juga. Menghafal fakta-fakta sains medik, bercakap Hindi/Kannada dengan penduduk tempatan, konflik sesama kawan, dan bermacam-macam lagi. Namun, susah macam mana pun akhirnya kita lulus juga.

Di sini, timbul satu persoalan yang menarik. Apakah kita pelajar USM-KLE dijamin 100% lulus? Belajar sikit atau belajar banyak, tengok-tengok semua orang lulus sahaja. Saya sendiri turut tertanya-tanya akan persoalan ini. Saya pun bukanlah hebat mana pun belajar, dan ini membuatkan saya turut tertanya-tanya persoalan ini. Betulkah kami dijamin 100%  lulus?

Fikir dan fikir, akhirnya bagi saya jawapannya ialah tidak.

Ada sesetengah pihak akan mempertikaikan, bagaimana USM-KLE berjaya menghasilkan kesemua pelajarnya lulus di peperiksaan akhir ini. Jawapan saya senang sahaja, hal ini disebabkan tiada alasan yang kukuh untuk menggagalkan seseorang pelajar di sini. Memang kita akan dapati ada pelajar yang tidak beberapa bagus dari segi akademik dan sebagainya, namun ianya tidak cukup teruk untuk menggagalkan pelajar tersebut. Saya perhatikan kebanyakan kawan saya yang berada di tahun sama. Mereka semua layak lulus. Malahan bukan setakat lulus, mereka juga patut diberi anugerah-anugerah pencapaian akademik yang sewajarnya.

Jaminan 100% lulus mungkin wujud dan mungkin juga tidak wujud. Jika wujud sekalipun, jaminan tersebut mempunyai sebab yang kukuh, dan bukannya jaminan tidak bersebab.

Di sini, saya juga tertarik untuk menulis tentang peranan nasib dalam diri kita sebagai pelajar perubatan. Nasib adalah salah satu faktor penting dalam kejayaan kita sebagai pelajar perubatan. Ada pelajar kurang bernasib baik, walaupun dirinya rajin belajar tapi dia ditanya pelbagai soalan susah sewaktu peperiksaan klinikal. Ada juga pelajar yang bernasib baik, belajar biasa-biasa sahaja namun apabila waktu peperiksaan dia hanya ditanya topik yang dia sikit belajar itu sahajalah.

Saya anggap diri saya bernasib baik. Berikut satu peristiwa yang saya masih ingat, membuatkan diri saya terfikir yang diri saya ni bernasib baik:

    Tahun 4 pendudukan orthopedik: (rasa cam pernah tulis pasal ni...tapi takpe la, tulis lagi)

        Saya tak selalu clerk kes di waktu klinikal. Selalunya ikut serta kawan-kawan satu kumpulan clerk. Tapi saya selalu juga jalan-jalan pusing wad. Kalau ada pesakit yang ramah, tak pun kes yang menarik tak ramai pelajar ambil, saya akan ambil perhatian la kepada pesakit tersebut. Suatu masa, saya masuk dewan bedah orthopedik tengok kes sub acute osteomyelitis. Saya tengok la dari awal sampai separuh pembedahan tu. Kenapa tak tengok sampai habis? Malas saya nak cerita kenapa. Namun, dalam masa sampai separuh pembedahan ni sudah banyak maklumat yang saya pelajari. Pendekkan cerita, saya ada la juga ambil gambar pembedahan tu. Selepas itu, ketika saya pusing-pusing wad di waktu klinikal saya perasan pesakit yang dibedah ini masih ada di wad. Budak lelaki, senang didekati. Maka saya berbual la sikit-sikit setakat yang saya mampu dengannya. Masalah bahasa tu suku kira. Saya tunjuk gambar-gambar waktu pembedahan dulu kepadanya. Wah, eksaited sungguh budak ni melihat gambar-gambar bedahnya. Dari segi etika, saya tak tahu la boleh ke tak tunjuk gambar-gambar bedah ni kat dia. Tapi melihat dia gembira kira okay la kut. Tak lama lepas tu, tengok-tengok pesakit ni juga menjadi pesakit saya sewaktu peperiksaan end-posting untuk orthopedik ni. Tak kan nasib tu. Senang je lalui peperiksaan tersebut. Pesakit-pesakit lain saya tak tengok sangat pun. Penyakit-penyakit ortho waktu tu pun belum khatam habis semua. Nasib baik waktu ini menyelamatkan diri daripada gagal.

Banyak lagi peristiwa-peristiwa yang membuatkan saya rasa diri ni bernasib baik sewaktu bergelar pelajar perubatan. Walaubagaimanapun, sekarang saya da tamat belajar. Lepas ni jadi HO la kut kalau ada rezeki. Kejayaan mungkin dibantu oleh nasib sewaktu bergelar seorang pelajar, namun untuk HO nanti saya rasa amatlah tak patut kita bergantung pada nasib untuk berjaya.

Mengakhiri entri kali ini, saya ingin tegaskan bahawa tiada jaminan 100% lulus kepada kami pelajar perubatan USM-KLE, melainkan kami betul-betul hebat belajar. Kalau da selalu berjaya dalam peperiksaan akhir posting maka lulus 100% tu akan ada lah.

Tuesday, 21 June 2016

Kualiti graduan pelajar perubatan USM-KLE?

Ini merupakan pendapat peribadi saya sebagai pelajar perubatan tahun akhir USM-KLE sahaja. Saya tulis ini berdasarkan penggalaman saya lima tahun di sini, dan sedikit pengetahuan tentang kehidupan pelajar-pelajar perubatan di sekolah perubatan di tempat lain. Saya bandingkan diri saya sendiri dengan kawan-kawan saya kenali yang belajar di sekolah perubatan lain.

Sebelum menulis dengan lanjut tentang tahap kualiti, terlebih dahulu kita kena pastikan apakah kualiti-kualiti yang perlu ada dan dinilai terhadap seseorang pelajar perubatan. Umumnya, pelajar perubatan perlu mempunyai asas ilmu perubatan bagi memudahkan mereka menjalani tugas sebagai doktor pelatih. Namun, di sini saya tambahkan dan fokuskan beberapa kualiti yang perlu dicapai oleh pelajar perubatan sepanjang belajar di sekolah perubatan. Kualiti-kualiti yang ditulis merupakan pendapat peribadi saya sendiri sahaja.

Kualiti-kualiti yang diharapkan:

1) Kemahiran berkomunikasi.

Kemahiran berkomunikasi di sini secara umumnya merujuk kepada komunikasi antara pesakit dan doktor. Kemahiran ini perlu diasah sewaktu seseorang itu masih belum lagi bergelar seorang doktor. Namun,  sebagai seorang pelajar perubatan, apa yang dikatakan kepada pesakit kadang-kala perlu ada hadnya. Bimbang akan ada salah faham dan kekeliruan dalam minda pesakit. Jadi,  semudahnya seseorang pelajar perubatan perlu mencotohi bagaimana doktor pengajar mereka berkomunikasi dengan pesakitnya. Perhatikan gerak tubuh,  gaya dan bahasa percakapannya,  penerimaan dan maklum balas daripada pesakit. 

Sepanjang belajar di USMKLE, saya kurang temui doktor yang betul-betul mempunyai kemahiran ini. Kebanyakan yang mempunyai kemahiran ini merupakan doktor-doktor senior yang sudah berumur. Doktor-doktor muda seperti doktor yang masih belajar  di tahap post-graduate kebanyakan kurang mempunyai kemahiran ini. Malah, kadang-kala saya dapati cara mereka melayan agak kasar. Mungkin sahaja ini budaya mereka di sini. Saya tidak beberapa pasti, tapi sepastinya saya tidak boleh mencontohi cara mereka berkomunikasi dengan pesakit.

Ruang untuk mengasah kemahiran berkomunikasi makin tersempit apabila terdapatnya masalah memahami bahasa tempatan. Saya telah pun mengambil inisiatif sendiri dengan mempelajari bahasa Kannada dan Hindi bersumberkan buku-buku dan internet. Walaubagaimanapun, mempelajari bahasa tempatan ini sangat sukar juga sehinggakan serba sedikit mengganggu waktu dan fokus kepada sabjek-sabjek wajib perubatan. Akhirnya, saya kuburkan sahaja hasrat menguasai bahasa tempatan dan fokuskan sahaja terhadap sabjek wajib perubatan. Cukup sekadar mengetahui perkataan-perkataan asas untuk history taking sewaktu kelas klinikal.

Rumusnya, kualiti dalam kemahiran berkomunikasi dalam kalangan pelajar perubatan di sini kurang memuaskan. Walaubagaimanapun, kelemahan ini masih boleh dibaiki kerana program USM-KLE ini masih di bayi lagi di tika ini. Apabila servis Hospital Yellur kepunyaan USM-KLE berada pada tahap maksimum nanti, tidak mustahil akan ada banyak peluang kepada pelajar USM-KLE untuk melatih kemahiran berkomunikasi dengan pesakit. Mungkin akan ada seminar-seminar, kursus-kursus dan latihan dalam meningkat kemahiran berkomunikasi di masa hadapan.

2) Pengetahuan asas dalam bidang sains perubatan.
     (pengetahuan asas merujuk kepada sabjek-sabjek seperti anatomi, fisioloji, dan sebagainya)

Ini sukar untuk dibincangkan. Saya nilai diri sendiri, saya simpulkan bahawa pengetahuan asas saya sangat lemah. Saya nilai kawan-kawan sekumpulan pula, saya simpulkan bahawa pengetahuan asas pelajar perubatan USM-KLE boleh dikatakan sangat memuaskan.

Baru-baru ini, saya selesai menduduki peperiksaan akhir tahun 5 (professional 3). Seperti kebiasaan tiap-tiap tahun, akan ada pemeriksa-pemeriksa datang dari Malaysia. Tahun ini, kebanyakan mereka daripada USM-KK sendiri. Tahun lepas, mereka daripada pelbagai Universiti di Malaysia. Maklum balas daripada mereka tahun ini sangat positif. Kata pensyarah-pensyarah USM-KLE di sini, mereka daripada USM-KK berpuas hati tahap pengetahuan asas yang dimiliki oleh pelajar USM-KLE.

Saya setuju dengan maklum balas yang diterima ini. Dulunya di awal-awal tahun klinikal, saya dapati tahap pengetahuan asas bidang perubatan yang dimiliki oleh kami lemah. Namun, di akhir-akhir apabila menjelang peperiksaan akhir kebanyakan pelajar sudah pun mampu menunjukkan tahap penguasaan ilmu asas perubatan pada tahap yang memuaskan.

Walaubagaimanapun, masih terdapat banyak ruang yang boleh dibaiki untuk meningkatkan tahap penguasaan imu asas perubatan dalam kalangan pelajar USM-KLE. Seelok-eloknya, kita mahu melihat penguasaan ilmu asas ini di awal-awal pengajian atau pertengahan pengajian juga dan bukan hanya di detik-detik akhir pengajian.

Jika dibandingkan lagi dengan pelajar tempatan India pula, saya rasa tahap penguasaan ilmu kami masih belum mencukupi. Berbeza dengan kami, pelajar India mengamalkan sistem pembelajaran tradisi. Mereka akan menghafal satu per satu isi-isi sabjek-sabjek yang dipelajari. Kami pula mengamalkan sistem pembelajaran berdasarkan kurikulum 'SPICE'. Kedua-dua sistem ini mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Sesetengah pelajar akan merasakan sistem tradisi lebih bagus untuk diri mereka menguasai pengetahuan asas manakala sesetengah pelajar akan merasakan sistem baru lebih bagus untuk diri mereka. Ini bergantung kepada individu tersebut. Bagi saya, saya lebih suka cara tradisi untuk permulaan dalam menguasai ilmu asas perubatan dan sistem baru untuk mengaplikasikan ilmu-ilmu asas untuk lebih pemahaman.

Akhir kata tentang penguasaan pengetahuan asas, kebanyakan pelajar USM-KLE mencapai tahap yang diharapkan. Saya pasti generasi pelajar USM-KLE yang akan datang lebih hebat penguasaan pengetahuan asas sains perubatan. 

3) Kemahiran asas amali.

Bahagian ini sangat saya kesali. Manakan tidak, kita kalau belajar di India sepatutnya akan begitu mahir dengan asas-asas amali perubatan seperti mengenali petanda-petanda fizikal penyakit dan kemahiran asas perubatan (mengambil darah, dsb). Namun, apa yang kami alami di sini sangatlah kurang memuaskan.

Sebagai pelajar generasi awal, kami lebih banyak meluangkan masa klinikal di hospital tumpangan (Hospital KLE). Hospital USM-KLE (Hospital Yellur) pula baru sahaja mula operasi beberapa tahun lepas. Awalnya, bilangan pesakit sangat terhad di Hospital Yellur. Oleh itu, terpaksalah kami menumpang belajar daripada pesakit-pesakit Hospital KLE.

Hospital KLE pula mempunyai pelajar mereka sendiri. Jadi, keutamaan bahan pembelajaran akan diberikan kepada pelajar mereka. Sekiranya mahu belajar kemahiran-kemahiran klinikal seperti mengambil darah, menjahit luka episiotomi, dan sebagainya kami perlu hadir ke hospital di waktu pelajar mereka tiada/kurang.

Saya merasakan kemahiran asas amali yang ada pada diri saya ini sangatlah kurang untuk memudahkan kerjaya sebagai doktor pelatih nanti. Tak mengapalah, bukan rezeki kami.

Walaubagaimanapun, perkembangan jumlah penerimaan pesakit di Hospital Yellur sangat positif. Pelajar-pelajar junior yang akan datang akan sangat beruntung kerana di Hospital Yellur ini hanya ada pelajar USM-KLE sendiri sahaja. Tiada pelajar perubatan lain, tiada pelajar kejururawatan, tiada pelajar lepasan ijazah. Khas untuk pelajar USM-KLE. Tambahan pula, dengan penukaran sistem kurikulum yang terbaru pelajar-pelajar di masa hadapan akan menjalani satu tahun klinikal penuh (internship) di akhir tahun pengajian mereka.

Ini sahaja yang saya boleh katakan pasal kemahiran asas amali.

4) Nilai-nilai tambahan yang diluar bidang medik.

Nilai-nilai tambahan yang saya maksudkan adalah sesuatu yang kita boleh kecapi sewaktu bergelar pelajar perubatan namun sesuatu ini merupakan nilai-nilai yang tiada kaitan dengan bidang medik. Contoh, kemahiran menulis, seni fotografi, sukan dan sebagainya.

Saya berhasrat untuk menulis sebuah buku sepanjang saya belajar di sini. Namun hasrat ini tidak ketersampaian. Saya sedari bahawa bukan senang untuk menulis sesebuah buku. Tak kisahlah buku apa-apa pun. Janji buku ini akan menjadi titik permulaan dan dorongan kepada diri sendiri untuk menjadi seorang penulis. Impian untuk menjadi seorang penulis masih lagi ada.

Di USM-KLE, saya dapati sukar juga untuk mencari ruang untuk diri saya mengecapi nilai-nilai tambahan kecuali saya sendiri yang membina ruang itu. USM-KLE bagi saya merupakan satu tempat yang begitu memfokuskan kepada pembelajaran bidang perubatan. Baik juga begini kerana pelajar akan lebih fokus kepada matlamat utama datang ke sini. Belajar ilmu perubatan.


-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=


Kesimpulannya....

Bagaimanakah kualiti graduan pelajar perubatan USM-KLE? Bagi saya, kualiti yang dilahirkan pada masa ini adalah baik, dan masih banyak ruang yang boleh dipertingkatkan. Harapan saya, semoga pelajar-pelajar juniors USM-KLE yang akan datang mampu melakukan sesuatu yang jauh lebih baik daripada apa yang telah dilakukan oleh senior-senior terdahulu. Kualiti graduan pelajar perubatan USM-KLE akan menjadi lebih baik dari tahun ke tahun. Ini saya berani jamin.

Dipatuk ular Calliophis Intestinalis.

  Beberapa hari lepas, saya ada menerima satu rujukan kes patukan ular. Kes patukan ular ini dirujuk daripada unit jabatan kecemasan kepada ...