Sunday, 29 August 2021

Dailisis

Dailisis (ejaan Inggeris: dialysis) merupakan satu rawatan cuci darah yang ditawarkan kepada pesakit yang menggalami kerosakan fungsi buah pinggang teruk. Buah pinggang fungsinya untuk menapis dan mencuci darah. Jika buah pinggang rosak, maka darah tidak dapat ditapis dan akan dipenuhi dengan segala bahan kumuhan daripada badan. Darah juga akan menjadi semakin berasid, menyebabkan darah ini tidak optimum dan tidak sesuai untuk kegiatan bioloji sel-sel badan. Justeru, rawatan cuci darah adalah bertujuan mengembalikan keadaan darah kepada tahap yang normal dan stabil dengan harapan supaya pesakit dapat sembuh daripada apa-apa penyakit yang dialaminya.

Saya ingin berkongsi satu kisah, kisah seorang pesakit Kovid-19 yang ditawarkan rawatan dailisis. Kisah ini berlaku beberapa bulan yang lalu.

Seorang pesakit lelaki berusia lingkungan 50-an dimasukkan ke wad Kovid-19 kerana dijangkiti Kovid-19, kategori 4. Dia mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi kronik. Ini sahaja latar belakang penyakit yang diberitahunya di awal kemasukkannya ke dalam wad Kovid-19.

Ujian darah diteliti dan ternyata dia juga mempunyai kerosakan buah pinggang tahap 5. Mungkin disebabkan oleh penyakit darah tinggi kronik yang dialaminya. Mungkin juga disebabkan jangkitan yang ada pada dirinya. Namun, daripada bacaan darah tersebut seperti dirinya sudah lama mempunyai penyakit buah pinggang kronik.

Pada mulanya, bacaan creatinine sekitar 700 lebih (bacaan normal: bawah 110) dan urea 20 sahaja (bacaan normal: bawah 7). Dua-dua bacaan ini merupakan ujian untuk bacaan bahan kumuhan badan. Di masa yang sama, bacaan ABG pula pH 6.9, HCO3 9, sangat berasid darahnya. ABG merupakan darah nadi, yang diambil bagi melihat kadar oksijen dalam darah dan tahap pH.

Bacaan seperti di atas adalah sangat teruk. Lalu kami terus sahaja membincangkan tentang rawatan dailisi. Segala keburukan dan kebaikan rawatan diterangkan kepada pesakit. Waktu ini pesakit mempunyai tahap kesedaran yang penuh. Dia faham apa yang diterangkan. Walaubagaimanapun, beliau membuat keputusan untuk tidak menerima-menerima rawatan dialisis. 


Apabila ditanya mengapa tidak mahu dailisis? Dia tidak menjawab sepatah kata, cukup hanya menggelengkan kepala sahaja. Soalan ini diajukan kepadanya beberapa kali di beberapa waktu dan masa yang berbeza. Namun jawapannya tetap sama. Dia masih menggelengkan kepala tidak bersuara-bersuara apa-apa. Apakah dia tidak faham akan keadaan yang dialaminya? Atau takut menjalani rawatan? Saya tidak pasti.

Tanpa membuang lebih masa, kami segera menelefon dan meminta ahli keluarganya memujuk dirinya supaya bersetuju dengan rawatan dailisis. Anak perempuannya, mendayu-dayu memujuk ayahnya untuk menerima rawatan dailisis ini. Akhirnya dia setuju. Borang terima rawatan ditandatanganinya.

Apabila doktor yang bertugas ingin memasuk kateter, dia sekali lagi menolak. Tiada kerjasama yang diberikan, dan ini menyukarkan prosedur pemasangan kateter. Terdapat 2-3 doktor yang bertugas di syif tersebut, saling menjaga satu wad yang penuh dengan pesakit. Setiap pesakit ada karenah masing-masing. Kalau wad tak ramai pesakit, bolehlah melayan karenah-karenah pesakit. Kalau wad dah penuh, boleh naik angin juga melayan karenah pesakit sebegini. Akhirnya, rawatan cuci darah diabaikan. Set kateter yang dah dibuka dibuang begitu sahaja ke dalam tong sampah. Ia tidak boleh disimpan untuk diguna di masa lain. Ini sangat membazir, dan set kateter ini bukan murah.

Isu ini dimaklumkan kepada anak perempuan dan ahli keluarga pesakit. Anaknya sangat-sangat mengharapkan rawatan dailisis, sehinggakan dia sendiri datang ke hospital untuk bertemu, berbincang dengan doktor yang merawat. Waktu pandemik Kovid-19, tiada ahli keluarga dibenarkan untuk datang ke hospital melainkan atas sebab-sebab tertentu. Kedatangan anaknya ke wad tersebut bukanlah atas permintaan doktor yang merawat.

Konflik timbul dalam pelan rawatan pesakit. Wujud perbezaan kehendak antara pesakit dan ahli keluarga pesakit. Bagi mengelakkan konflik yang berlarutan, satu rujukan kepada doktor etika bagi memutuskan pelan rawatan sewajarnya terhadap pesakit.

Hak autonomi pesakit; pesakit berhak memutuskan apa-apa rawatan terhadap dirinya. Keputusan pesakit adalah mutlak. Pelan rawatan penyakitnya bukanlah keputusan ahli keluarga. Akhirnya, pesakit dibiarkan tanpa rawatan dailisis.

Hari demi hari, bacaan buah pinggangnya makin merosot. Urea daripada 20 naik ke 40, seterusnya 60. Creatinine daripada 700 naik melebihi 1000. Darah kekal berasid. Lama-kelamaan, bahan kumuhan ini mengganggu fungsi otaknya. Tahap kesedaran menumpul. Daya fokus hilang. Pesakit tidak lagi memberi perhatian penuh semasa berkomunikasi dengan petugas kesihatan.

Di masa yang sama, penyakit Kovid-19 yang dialaminya tidaklah begitu teruk menyerang paru-parunya. Darah arteri (ABG) dibawah bantuan oksijen High Flow Mask, pO2nya lebih 140. Bagus kandungan oksigen dalam darahnya, cukup untuk dirinya. X-ray paru-parunya juga tidak mempunyai tompok-tompok putih yang banyak. X-ray ulangan tidak menunjukkan petanda paru-parunya merosot. Ia kekal sama.

Suatu pagi, pesakit akhirnya meninggal dunia. Jelas di sini, kegagalan fungsi buah pinggang merupakan penyumbang utama kepada kematiannya. Apakah Kovid-19 punca kematiannya? Mungkin, tapi jika diberi rawatan dailisis, adakah mungkin pesakit akan hidup lebih lama? Apa-apa pun, di dalam laporan kematian pesakit tetap ditulis Kovid-19 sebagai punca kematian.

Kami perawat, kadang kala menghadapi dilema dalam merawat pesakit. Pelan rawatan manakah yang
terbaik
? Apakah salah kami, tidak keras kepala dalam memberi rawatan dailisis terhadap pesakit ini? Jika kami keras kepala dalam membuat rawatan dailisis ke atas pesakit ini, dan pesakit meninggal dunia sewaktu rawatan dailisis dijalankan, apakah ini keputusan yang
terbaik
?

Nota tambahan:

1. Penyakit buah pinggang kronik mempunyai tahap 1 hingga tahap 5. Tahap 5 ialah tahap terakhir, dan rawatan dailisis akan ditawarkan kepada pesakit.

2. Bagi yang beragama Islam, kematian seseorang itu sudah ditetapkan masanya. Tidak boleh awal, tidak boleh lewat, walaupun sesaat.

3. Tiada siapa tahu akan waktu dan tarikh kematian seseorang (melainkan kematian tersebut sudah pun berlaku). Kita hanya mampu lakukan apa yang kita fikir
terbaik
untuk kesihatan seseorang pesakit berdasarkan pengetahuan dan keadaan semasa.


Zharif Sufyaan
29 Ogos 2021

Sunday, 8 August 2021

Vaksin dan Kovid-19.

Terdapat seorang pesakit lelaki berumur lingkungan 50-an, mempunyai latar belakang penyakit tekanan darah tinggi dan penyakit saluran darah jantung tersumbat. Dia telah pun menerima rawatan sewajarnya bagi saluran darah jantungnya dan masih mempunyai rawatan susulan di sebuah hospital besar di Selangor.


Pesakit ini sudah pun menerima 2 dos vaksin Pfizer, dos terakhirnya seminggu yang lalu.
Walaubagaimanapun, beberapa hari selepas menerima vaksin tersebut pesakit tersebut mula menggalamai gejala demam dan batuk. Ujian RTK Covid-19 dibuat dan keputusannya positif.
Seterusnya, pesakit ini diperiksa dan didapati bacaan peratusan oksigennya kurang cantik di paras udara bilik yang normal. Dia memerlukan sedikit bantuan oksigen.
Disebabkan dirinya mempunyai latar belakang penyakit yang berat, dia tidak sesuai untuk diletakkan di pusat kuarantin umum. Penyakit tekanan darah tinggi dan jantung meletakkan dirinya di tahap risiko tinggi bagi pesakit Kovid-19. Dia dimasukkan ke sebuah wad hospital Kovid-19.
Pesakit ini tidak pasti dari mana punca jangkitan Kovid-19 yang dihadapinya. Ternyata, dua dos vaksin yang diambilnya tidak dapat memberi immuniti penuh kepada dirinya daripada dijangkiti Kovid-19.
Isu vaksin kosong atau vaksin angin juga tidak harus timbul di sini kerana seorang pesakit yang mempunyai latar belakang penyakit kronik yang berat seperti penyakit jantung selalunya perlu mengambil vaksin Kovid-19 di hospital besar untuk pemantauan yang lebih teliti. Pesakit ini akui yang dirinya telah mengambil vaksin di hospital yang sama di mana dirinya menjalani rawatan penyakit jantungnya.
Sewaktu kemasukannya ke dalam wad Kovid-19, dia hanya memerlukan bantuan oksigen yang rendah sahaja, nasal prong 3l/min. Namun jika melihat gambar X-ray paru-parunya, ternyata penyakit Kovid-19 yang dialaminya sedikit menakutkan. Tompok-tompok putih di gambar tersebut adalah abnormal. Jika dilihat, tompok-tompok putih ini bertambah sedikit teruk di hari ke-sembilan.
Hari ini, pesakit ini sudah pun hari ke-11 penyakit Kovid-19. Bantuan oksigennya yang dipakainya masih di tahap yang sama dan tidak merosot. Jika dia mampu melepaskan dirinya daripada kebergantungan kepada bantuan oksigen, dia mungkin dapat didiscaj di hari ke-14 Kovid-19. Apakah keadaannya ini boleh dikatakan satu kesan positif daripada vaksin yang telah diambilnya?
Dalam teks ucapan PM-8 ‘Kemudahan-kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap’ tarikh 8 Ogos 2021, halaman 4, perenggan 27, ada mengatakan bahawa statistik membuktikan mereka yang telah divaksin mempunyai daya tahan badan terhadap penyakit Kovid-19. Mereka yang dijangkiti Kovid-19 kebanyakan akan berada dalam kategori rendah, dan sifar kes kategori 5 Kovid-19.
P/S: Suntikan vaksin tidak akan menyebabkan seseorang itu dijangkiti penyakit Kovid-19 disebabkan suntikan vaksin itu sendiri.


Saturday, 31 July 2021

Hartal di Ampang

 Isnin, 26/7/2021 jam 11 pagi, hartal dijalankan di Hospital Ampang. Hartal bermaksud mogok, dan mogok ini dilakukan oleh doktor-doktor kontrak. Ia satu kesepakatan yang dilakukan bagi menunjukkan rasa tidak puas hati dan protes ke atas sesuatu perkara. Dalam hal ini, Hartal merupakan satu protes dan tanda tidak puas hati terhadap sistem pelantikan kontrak. 


Sebelum hartal dilakukan, tiada perancangan yang jelas daripada mana-mana pihak di sini. Ura-ura pelaksanaan Hartal tidaklah menjadi topik perbualan yang hangat dalam kalangan doktor-doktor kontrak di sini. Masing-masing hanya menumpukan kepada tugas kedoktoran dan kehidupan seharian sahaja. Keputusan membuat hartal seperti hanya dibuat sehari sebelum 26/7/2021, menerusi satu aplikasi perbualan di fon pintar. Di dalam aplikasi ini, hampir kesemua pegawai kontrak dimasukkan ke dalam satu grup perbualan yang memfokuskan tentang isu Hartal. 


Di dalam grup perbualan aplikasi fon ini, lebih kurang 150 orang pegawai perubatan ditambah masuk. Jumlah ini bukanlah jumlah keseluruhan doktor kontrak yang berkhidmat di hospital ini.  Kesemua mereka yang ada dalam grup perbualan ini adalah doktor kontrak. Mereka ditambah masuk ke dalam grup secara suka rela, bebas untuk kekal dalam grup perbualan atau keluar daripada grup perbualan ini. Daripada jumlah pegawai ini, hanya beberapa orang sahaja yang aktif berbual dan berbincang mengenai hartal. Ramai yang mendiamkan diri, sama ada mereka berasa khuatir, bimbang dan takut atau bersetuju dengan tindakan hartal tidaklah diketahui. 

Amaran demi amaran daripada pihak atasan turut berlegar di grup perbualan yang lain, melarang pegawai kontrak untuk tidak terlibat dengan sesuatu aktiviti yang tidak selari dengan kehendak pihak berwajib. 


Keesokannya 26/7/2021, cuaca di pagi hari mulanya agak muram dan kelihatan titisan air hujan sedikit demi sedikit menyembah bumi. Waktu ini, terdapat beberapa ahli dalam grup perbualan memutuskan tata cara sesi hartal. Di mana perlu berkumpul dan apa yang perlu dilakukan. Katanya, sesi demonstrasi aman akan dilakukan di jam 11 pagi, dan hanya untuk jangka tempoh masa tidak lebih daripada 30 minit. Ini bagi mengelakkan perkara tidak diingini  daripada berlaku. Seperti hari sebelumnya, grup perbualan ini tidaklah begitu aktif disertai ramai orang. Hanya sekadar beberapa orang pegawai yang aktif bersuara di dalam grup perbualan ini. Jumlah mereka boleh dikira dengan jari. 


Hujan yang renyai-renyai ini turut menambah keresahan kepada mereka yang berkeinginan untuk hartal. 


Jam 11 pagi, cuaca akhirnya mula kembali cerah seolah-olah memberi restu kepada pegawai-pegawai ini. Tepat jam 11 ini masih belum kelihatan mana-mana kelompok pegawai berbaju hitam di lobi ataupun di hadapan bangunan hospital. Lima minit kemudian, barulah nampak satu demi satu pegawai berbaju serba hitam muncul tiba. Mereka turun keluar daripada wad seterusnya ke bahagian lobi hospital dan terus ke ruangan hadapan bangunan hospital. 


Bilangan pegawai yang turut serta dalam hartal ini boleh dikatakan agak ramai juga, walaupun di awalnya tiada sambutan di dalam grup perbualan. Ia sesuatu yang tidak disangka. Hanya doktor-doktor kontrak sahaja muncul menyertai Hartal ini, manakala doktor-doktor berjawatan tetap mengambil alih tugas di wad. 


Tidak sampai seminit berkumpul di hadapan ruangan hospital, pegawai-pegawai kontrak ini terus membuat satu barisan dan terus bergerak mengelilingi bangunan hospital. Bangunan hospital tidaklah begitu besar, dan tidaklah begitu kecil. Pergerakan kumpulan doktor kontrak mengelilingi separuh perimeter kawasan Hospital memakan masa tidak lebih sepuluh minit. Sekejap sahaja, sudah sampai ke belakang bangunan hospital. Belakang hospital ini kurang nampak daripada perhatian umum, jadi tidak mengacau laluan masuk keluar orang ramai ke hospital.  


Apabila sampai di belakang bangunan ini, satu bentuk formasi pembarisan dibuat. Ini bertujuan untuk sesi pengambilan gambar dan rakaman video. Sebenarnya, sesi ini tidak begitu dirancang dengan teliti, disebabkan tiada jurugambar atau perakam video dilantik dalam kalangan peserta hartal ini. Terdapat juga beberapa individu-individu luar yang membawa kamera DSLR, dan ada juga antara individu-individu ini merakam peristiwa hartal ini menggunakan fon pintar masing-masing. Sama ada mereka ini daripada pihak pemberita atau wartawan tidak dapat dipastikan. Mereka tidak menunjukkan sebarang pengenalan diri. Akhirnya, seorang pegawai akhirnya menawarkan diri untuk merakam gambar dan video laungan hartal. Kata-kata untun dilaungkan juga turut diputuskan di waktu ini. Sesi ini benar-benar nampak seperti berlaku secara spontan. 


Sesi di sini tidak sampai 10 minit. Setelah habis rakaman gambar dan video, kesemua pegawai ini bersurai kembali ke tempat masing-masing. Ada yang kembali ke wad mereka untuk menyambung tugas-tugas mereka.  Ada juga yang hadir dari rumah, mereka ini tidak bertugas di waktu ini, dan terus pulang ke rumah mereka. 


Jam 1130 pagi, aktiviti hartal ini sudah pun tamat. Malah ia sebenarnya telah pun tamat lagi awal daripada jam 1130 pagi. Tiada perkara yang tidak diingini berlaku di sini sewaktu Hartal ini berjalan. 


Peristiwa Hartal di Ampang ini merupakan salah satu titik sejarah di dalam isu kesihatan negara. Hartal ini turut berlaku di beberapa hospital di seluruh negara di waktu yang sama. Hartal ini berjaya menarik perhatian dan reaksi daripada pelbagi pihak terhadap isu pelantikan kontrak ke atas petugas kesihatan. 


Setiap pihak yang membaca, memerhati dan meniliti peristiwa Hartal ini bebas melontarkan pandangan dan reaksi masing-masing. Sama ada Hartal ini merupakan sesuatu yang positif, atau negatif, semuanya terpulang kepada mereka yang menilai. 

Monday, 28 June 2021

Tugasan pegawai perubatan (MO) di Wad Kovid-19.

Wad Kovid-19 mempunyai 3 orang pegawai perubatan (kebiasaannya MO kontrak) yang ditugaskan di satu masa. Seorang pakar, atau 2 orang pakar di masa yang sama. Jururawat pula dalam 4-7 orang, mungkin kurang, atau mungkin lebih mengikut keadaan semasa. Wad Kovid-19 tiada pegawai perubatan pelatih (HO), dan mereka tidak boleh ditempatkan di mana-mana wad Kovid-19 mengikut peraturan KKM. Wad Kovid-19 ini juga dihuni pesakit Kovid-19 sebanyak 35-40 orang.
Ini merupakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepada 3 orang pegawai perubatan tersebut, yang mana perlu dikongsi bersama antara 3 orang pegawai perubatan ini.

1. Memeriksa dan merawat pesakit Kovid-19.
Pesakit Kovid-19 di hospital selalunya terdiri daripada kategori 3 dan ke atas. Pesakit kategori 3 ini perlu di periksa 3 kali sehari. Setiap pesakit mengambil masa paling cepat tak sampai satu minit, jika pemeriksaan fizikal tidak dilakukan dan pegawai perubatan hanyalah bertanya khabar dengan beberapa soalan penting sahaja. Namun, seorang pesakit ada kalanya akan mengadu sesuatu masalah kesihatan tentang dirinya seperti susah nafas dan sebagainya. Pemeriksaan fizikal perlu dilakukan juga, dan ini sudah tentu mengambil masa sedikit.
Sesetengah pegawai perubatan membawa sehelai kertas kosong, dan mencatat apa jua perbualan dan pemeriksaan fizikal yang dilakukan bersama pesakit terbabit. Ini penting, kerana pegawai perubatan mungkin lupa apa yang disoal dan dilakukannya setelah pergi memeriksa pesakit seterusnya. Catatan ringkas yang ditulis akan ditulis kembali ke dalam fail pesakit nanti. Kami tidak boleh membawa fail pesakit ke dalam ruangan wad yang ditempatkan katil-katil pesakit.
Untuk habis rondaan memeriksa pesakit satu wad, mungkin memakan masa sekurang-kurangnya 30 minit hingga sejam lebih. Ini purata jangka masa yang digunakan bagi seorang doktor yang membuat rondaan memeriksa pesakit di dalam wad Kovid-19.
Sebenarnya, boleh sahaja untuk membuat rondaan ini kurang 15 minit pun boleh untuk ke semua pesakit. Kami masuk, tengok keadaan pesakit secara luaran tanpa periksa atau pun bertanya khabar. Yang mana tengah baring main fon tu, jalan ke tandas sendiri, boleh makan sendiri dan tengah bersantai tu kita anggap keadaannya baik-lah. Tak perlu periksa betul-betul. Persoalannya, bolehkan pesakit atau orang awam menerima servis perkhidmatan pegawai perubatan sebegini ke atasnya?
2. Menulis laporan harian pesakit.
Selalunya, kami mulakan tugas pagi kami di wad Kovid-19 dengan menulis laporan ringkas di fail pesakit sebelum bertemu dengan pesakit. Hal ini disebabkan kami ingin tahu latar belakang pesakit terlebih dahulu seperti latar belakang penyakit kronik, penyakit Kovid-19 hari ke berapa, keputusan-keputusan darah yang telah diambil di awal pagi. Ini penting supaya kami tahu apa yang perlu diberi perhatian semasa melawat periksa pesakit nanti.
Laporan awalan ini ditulis ringkas sahaja, dan akan ditambah kemudian apabila terdapat apa-apa isu selepas memeriksa pesakit. Setiap laporan ringkas ini mengambil masa sekurang-kurangnya 5 minit hingga 15 minit, terpulang kepada gaya rondaan yang dilakukan oleh pakar incaj.
Fail yang sama akan dikongsi dengan jururawat. Sekiranya para jururawat sedang melakukan pertukaran syif, fail pesakit ini sememangnya akan dipegang oleh para jururawat untuk tugasan petukaran syif mereka. Pegawai perubatan perlu bertolak ansur dalam hal ini, membiarkan para jururawat memegang fail tersebut.
Pesakit Kovid-19 kategori 3 ke atas memerlukan perhatian pemeriksaan sekurang-kurangnya 3 kali sehari, dan 3 kali laporan juga perlu direkodkan ke dalam fail pesakit. Kebelakangan ini, kami pegawai perubatan jarang sekali membuat laporan 3 kali sehari, hanya sekali atau dua kali sehari bagi setiap pesakit melainkan pesakit yang memerlukan perhatian yang lebih, laporan dibuat dengan kerap dari semasa ke semasa. Kurangnya catatan laporan kebelakangan ini disebabkan tugasan yang makin bertambah di dalam wad, dan kurangnya waktu untuk membuat laporan tersebut.

3. Mengambil darah pesakit.
Pesakit Kovid-19 kategori 3 dan ke atas, selalunya memerlukan ujian darah berkala sekurang-kurangnya sekali sehari. Darah nadi bertujuan untuk memeriksa kandungan oksijen dalam darah, dan darah-darah lain seperti bacaan buah pinggang, fungsi hati dan sebagainya.
Ujian darah pesakit Kovid-19 harian selalunya diambil di waktu malam oleh pegawai perubatan yang bertugas di syif malam. Kesemua pesakit di dalam wad perlu diambil darahnya. Satu wad mempunyai purata 40 orang pesakit, dan jumlah ini dibahagi kepada 3 orang pegawai yang bertugas.
Masalah timbul apabila pesakit enggan memberi kerjasama, urat darah yang susah, pemakaian PPE yang menyukarkan pegawai merasa keberadaan urat darah pesakit, atau isu-isu teknikal seperti kehabisan botol darah dan sebagainya. Pegawai perubatan bertanggungjawab memesan ujian darah dari sistem komputer, menampal label di botol ujian darah, dan menghantar ujian-ujian darah ini.
Masa yang diambil untuk mengambil kesemua darah di sebuah wad Kovid-19 ialah sejam hingga 2 jam. Bermandi peluh memakai PPE semasa mengambil darah pesakit adalah perkara biasa sahaja.

4. Melayan panggilan ahli keluarga.
Umum ketahui, ahli keluarga tidak dibenarkan untuk melawat pesakit di wad Kovid-19. Sesetengah pesakit tidak membawa fon pintar ke dalam wad untuk terus berhubung dengan ahli keluarganya, dan sesetengah mempunyai fon pintar namun tidak semestinya mereka mampu menghubungi ahli keluarga mereka.
Ahli keluarga akan tetap menelefon wad tanpa mengira waktu untuk bercakap dengan pegawai perubatan yang sedang bertugas. Mereka mahu mengetahui keadaan ahli keluarganya yang sedang dirawat di dalam wad Kovid-19 ini.
Kebiasaannya, mereka mengharapkan berita gembira daripada petugas kesihatan. Mereka bagaikan mengharap kami untuk berkata seperti ‘Puan jangan risau sangat, suami puan baik sahaja di dalam wad ini’. Hakikatnya, kami jarang sekali akan berkata sebegini. Walaupun keadaan pesakit sememangnya baik sahaja di dalam wad, kami tidak akan berkata seperti ini atau memberi apa-apa jaminan. Pesakit Kovid-19 di hospital hampir kesemuanya tidak baik keadaannya. Oleh sebab itu, mereka dimasukkan ke dalam hospital.
Panggilan daripada ahli keluarga tidak tentu masa dan waktu, dan kami menjawab sahaja panngilan ini. Jika kami mempunyai lebih waktu, kami memegang fon untuk bercakap lebih lama dan jika kurang waktu, kami akan bercakap ringkas sahaja. Penerangan yang ringkas mungkin akan tidak disukai oleh ahli keluarga tersebut, namun kami lakukan apa yang kami mampu. Kami sibuk dan kadang-kala tak mampu memenangi hati semua orang. Hati sendiri juga terabai.
Beberapa hari lepas, sedang saya berkhidmat di wad Kovid-19, saya menerima panggilan daripada seorang ahli keluarga pesakit. Namun, pesakit ini sudah lagi tiada di wad itu. Pesakit telah pergi beberapa hari sebelumya. Saya juga tidak mengenali si mati, dan tidak pernah merawat si mati. Panggilan ini saya layan sahaja. Ahli keluarga ini melahirkan rasa kesal dan terkilan kerana tidak dapat mengetahui saat-saat akhir keadaan pesakit sebelum pesakit pergi meninggalkan dunia. Mereka juga kesal kerana tidak dapat membuat panggilan video kali terakhir bersama pesakit.
Melayan emosi pesakit dan ahli keluarga pesakit ini ialah perkara biasa. Ketahanan mental mesti kuat, lagi-lagi apabila fizikal sudah penat dan melayan pesakit atau ahli keluarga yang cerewet dan beremosi.
Setiap panggilan daripada ahli keluarga pesakit mengambil masa perbualan sekurang-kurangnya 5 minit. Kadang-kala memakan masa yang lama.

5. Kerja-kerja admin
Tidak terhad kepada tugasan kedoktoran seperti yang diterangkan di atas, seorang pegawai juga dipertanggungjawabkan untuk melakukan kerja-kerja admin yang melibatkan perihal Kovid-19.
Sebagai contoh:
- Borang nofitifikasi penyakit Kovid-19
- Menulis kembali ringkasan dan rumusan sejarah pesakit di media whatsapp untuk dilanjutkan kepada pegawai-pegawai atasan seperti pegawai perunding perubatan, pegawai yang dirujuk dan sebagainya.
- Dokumen-dokumen kematian seperti borang daftar kematian, slides power point untuk perbincangan mengenai punca kematian, borang kematian Kovid-19 yang bertujuan untuk dihantar ke jabatan perangkaan/ statistik.


Kerjaya sebagai seorang pegawai perubatan di wad Kovid-19 ini boleh memenatkan mental dan fizikal. Di sini, saya kongsi jadual tugasan pegawai perubatan di wad Kovid-19. Cuti terhad untuk sehari, dan amat susah sekali untuk dibenarkan. Pegawai hanyalah tiga orang satu syif, dan mungkin berkurang kepada dua orang. Sekiranya salah seorang pegawai ini tidak berfungsi sepenuhnya, atau kurang pengetahuan dan kemahiran merawat, ini akan membebankan pegawai seorang lagi yang sedang berfungsi.

Hospital saya baru sahaja berubah status kepada Hospital Kovid-19 sepenuhnya. Sebelum ini merupakan hospital hybrid dan kami pegawai perubatan yang ada bergilir-gilir untuk menjaga wad Kovid-19. Cuti sedikit senang sebelum ini.

Saya kadang-kala membayangkan keadaan mereka yang sudah setahun lebih menjaga pesakit Kovid-19 seperti di hospital Kovid-19 sepenuhnya. Penat, letih dan lesu. Kebanyakan mereka terdiri daripada pegawai muda dan kontrak. Kerjaya kontrak sekarang tiada jaminan masa hadapan. Terdapat juga isu hartal doktor kontrak yang semakin tular di media sosial kebelakangan ini. Saya menyokong hartal, kod hitam anjuran MMA dan apa-apa jua pergerakan yang membantu meletakkan keadilan yang sepatutnya kepada petugas kesihatan.


Wednesday, 16 June 2021

Binasa di SARI.

 


Wad SARI, merupakan wad saringan Kovid-19. Mana-mana pesakit baharu yang perlu dimasukkan ke wad biasa, perlu terlebih dahulu disaring di wad SARI. Lebih-lebih lagi pesakit yang datang dengan simptoms penyakit pernafasan atau penyakit berjangkit seperti batuk, demam, dan sakit dada. Setelah ujian calitan Kovid-19 negatif, barulah pesakit tersebut dihantar ke wad biasa atau wad-wad yang sepatutnya.
Suatu hari di wad SARI, terdapat satu pesakit yang sangat kritikal keadaanya. Pesakit ini berusia dalam lingkungan 40-50 tahun. Dia seorang lelaki bekerjaya dan sudah pun berkeluarga. Dia dimasukkan ke wad SARI disebabkan jangkitan paru-paru yang teruk, memerlukan bantuan mesin pernafasan. Ditidurkan dengan ubat sedatif dan rongga pernafasan dimasukkan tiub pernafasan.
Keadaan dia sangat kritikal, memerlukan ubat penguat tekanan darah secara berterusan. Tahap keadaannya tidak sesuai untuk dipantau di wad biasa. Dia perlukan pemerhatian secara intensif. Lebih tepat, dia memerlukan sebuah katil di wad ICU. Wad SARI ialah wad biasa, tidak mempunyai kelengkapan yang lengkap untuk dirinya. Namun, kesemua katil-katil di ICU sudah pun penuh dan dia terpaksa ditempatkan di wad SARI.
Ujian calitan Kovid-19 buat kali pertama adalah inconclusive, dan ujian ini diulang kali kedua. Keputusan kedua adalah negatif, tapi malangnya ada pula pesakit lain yang berada dalam kubikel sama dengannya positif ujian Kovid-19. Maka, dia perlu dibuat ujian Kovid-19 kali ketiga. Bimbang jika dijangkiti Kovid-19 oleh pesakit positif tersebut.
Katil kosong di ICU masih tiada, hanya terdapat dua bilik isolasi sahaja di ICU. Disebabkan status Kovid-19 pesakit ini masih belum dapat dipastikan, dia tidak boleh ditempatkan di ruang terbuka seperti pesakit-pesakit lain yang negatif Kovid-19 di ICU. Dia juga tidak boleh ditempatkan di wad ICU Kovid-19, kerana dia mungkin tidak mempunyai Kovid-19.
Waktu ini, keadaannya makin bertambah teruk di wad SARI. Buah pinggang dan bacaan fungsi hati menjukkan tanda-tanda kerosakan. Jumlah air kencing dikeluarkannya semakin sedikit dan sedikit. Akhirnya tidak mengeluarkan sebarang air kencing lagi. Ini menyebabkan bahan kumuhan badan tidak dapat dibuang melalui air kencing dan dia terpaksa jalani rawatan cuci pinggang menggunakan mesin. Sustained low-efficieny dialysis. Rawatan cuci pinggang ini dilakukan selang satu hari, namun tidak menunjukkan sebarang tanda pemulihan terhadap buah pinggangnya.
Di masa yang sama, bacaan fungsi hatinya juga bertambah teruk. Bacaan ALT daripada 67 naik mendadak kepada lebih seribu dalam masa beberapa hari sahaja. Bacaan fungsi hati juga menunjukkan petanda mungkin terdapat sesuatu halangan terhadap aliran keluar cecair di saluran hatinya. Keadaan ini memerlukan bantuan ultrasound untuk mengesan punca halangan ini.
Rujukan dibuat kepada doktor radiologi untuk ujian ultrasound ini. Malangnya buat pesakit ini, dia masih berstatus SARI dan pihak radiologi tidak mempunyai waktu tertentu yang dikhaskan kepada para pesakit SARI. Pesakit SARI perlu lalui protokol SARI jika hendak dihantar ke jabatan radiologi. Pesakit SARI dianggap pesakit Kovid-19 sehingga keputusan ujian Kovid-19 nya negatif. Oleh itu, pesakit SARI tidak boleh sewenang-wenangnya diletakkan secara terbuka dan terdedah kepada pesakit biasa. Staf-staf di jabatan radiologi perlu memakai pakaian PPE lengkap sewaktu menghadapi pesakit SARI dan pesakit SARI akan dielakkan bertembung dengan mana-mana pesakit lain di jabatan radiologi.
Akhirnya, disebabkan kekangan waktu dan lojistik, ujian ultrasound ini tidak dapat dilakukan di hari tersebut.
Wad sari ialah wad biasa. Tiada mesin ultrasound dalam wad SARI. Kalau ada pun, doktor di wad SARI bukanlah doktor yang pakar dalam bidang radiologi ini. Pesakit masih perlu turun ke jabatan radiologi juga untuk berjumpa doktor yang sepatutnya.
Hari berlalu silih berganti, katil kosong di ICU masih juga tiada. Beberapa hari kemudian, pesakit akhirnya pergi meninggalkan jasadnya. Pemerhatian terhadap pesakit di wad SARI tidaklah seperti pemerhatian di wad ICU. Wad SARI, seorang jururawat perlu menjaga lebih 5 orang pesakit dalam satu masa, kadang kalah mencecah lebih sepuluh orang pesakit. Ini berbeza dengan wad ICU, di mana seorang pesakit dijaga rapi oleh seorang jururawat.
Sewaktu pesakit ini dijumpai meninggal dunia, CPR telah dilakukan semampu mungkin untuk mengembalikan nyawanya namun pemergiannya sudah pun tertulis untuk selama-lamanya. Punca kematiannya ialah severe pneumonia with multiorgan failures. Jangkitan paru-paru yang teruk sehinggakan rosak fungsi organ-organ penting tubuh badan. Samaada pesakit ini positif Kovid-19 atau tidak, tidaklah dapat dipastikan. Ujian Kovid-19 ulangan di waktu pemergiannya masih belum keluar.

Penulisan ini ialah catatan penggalaman saya sendiri, sekadar untuk bercerita kepada yang suka membaca.

Saturday, 5 June 2021

Kovid-19, Teknologi dan hospital di Ampang.

Wabak Kovid-19 banyak merubah landskap servis perkhidmatan hospital. Pelaksanaan ‘teleconference’ atau temujanji secara maya merupakan salah satu daripada perubahan yang berlaku.

Temujanji klinik di atas talian adalah suatu perkara yang baru. Pesakit tidak lagi perlu hadir ke hospital untuk bertemu doktor, sebaliknya berkomunikasi melalui telefon atau panggilan video sahaja. Pesakit bebas berada di rumah, atau di mana-mana sahaja asalkan mempunyai jaringan hubungan telefon dan internet. Sebelum wabak Kovid melanda, ini adalah sangat janggal jika ingin dilakukan, dan masih juga janggal apabila dilakukan ketika ini.

Perkhidmatan temujanji secara maya banyak dibahaskan di negara luar. Banyak persoalan yang timbul. Apakah berjumpa doktor di atas talian maya dikira ber-etika? Sejauh mana keberkesanan penjagaan kesihatan dan rawatan susulan penyakit itu dapat dipertiliti secara atas talian berbanding dengan cara tradisi, iaitu berjumpa doktor secara fizikal? Dan banyak lagi persoalan-persoalan yang timbul sehingga ada sebahagian para doktor berbahas mengenai topik ini di perbualan ilmiah.

Namun, disebabkan jumlah kes Kovid-19 semakin meningkat dari hari ke hari, hospital menghadapi beban yang sangat tinggi. Jumlah pesakit yang hadir ke hospital perlu dikurangkan bagi memberi laluan kepada pertambahan kes-kes Kovid-19 yang memerlukan perhatian rawatan di hospital.

Pesakit yang tidak kritikal disarankan untuk tidak hadir ke hospital. Mereka yang berpenyakit kronik tetapi tidak kritikal seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit kolesterol dan sebagainya diberi tempoh rawatan susulan yang lama. Jika dulu empat bulan, kini mungkin memakan masa selama 8 bulan hingga setahun.

Mereka yang berpenyakit kronik ini juga akan berisiko tinggi jika dijangkiti Kovid-19. Ramai pesakit Kovid-19 kategori 5 di rawatan rapi ICU terdiri daripada mereka yang mempunyai latar penyakit kronik. Mereka dalam keadaan kritikal, dan nyawa mereka ibarat telur di hujung tanduk. Bila-bila masa sahaja nyawa akan pergi meninggalkan jasad.

Justeru, mengelakkan mereka yang berpenyakit kronik hadir ke hospital merupakan salah satu cara merendahkan risiko mereka dijangkiti Kovid-19. Temujanji di atas talian adalah jawapannya. Ia merupakan salah satu cara yang diusulkan untuk mengatasi permasalahan kedatangan pesakit ke hospital, dan telah pun digunakan pakai kebelakangan ini.

Sesetengah pesakit penyakit kronik tidak boleh diberi tempoh temujanji yang lama. Mereka memerlukan temujanji dan ujian darah yang lebih kerap. Sebagai contoh, mereka yang mempunyai penyakit hormon thyroid tidak stabil mungkin memerlukan temujanji setiap 2 minggu atau setiap bulan di peringkat awal. Jika tidak, mereka bakal mempunyai komplikasi penyakit kronik andai kata diberi kurang perhatian semasa rawatan susulan.

Resam sesuatu yang baharu, pelaksanaan temujanji pesakit-doktor di atas talian ini bukan semudah yang dibahas dan diusulkan di meja perbincangan. Terdapat banyak masalah yang timbul.

Mereka di atas, mengarahkan mereka di bawah untuk adakan temujanji klinik secara di atas talian. Namun, kemudahan tidak diberikan. Kata dari atas, buatlah temujanji melalui Skype, Zoom, Telegram dan sebagainya. Hakikatnya, komputer komputer di hospital masih di zaman Windows XP dan Vista. RAM komputer paling tinggi pun 2gb. Sistem operasi membeku adalah perkara biasa. Ide-ide canggih penambahbaikan khidmat dan servis kesihatan seperti ini kita dengar sahaja, dan kita bawa ke trash bin.

Mereka di bawah walaubagaimanapun tidaklah memulaukan semua cadangan dari atas. Tidak semua cadangan ditolak. Temujanji secara atas talian? Boleh dilakukan. Mereka guna inisiatif sendiri. Pakai fon sendiri untuk menelefon pesakit. Fon hospital ada, tapi tak banyak, dan memerlukan sambungan kepada operator sebelum dapat mencapai panggilan terus kepada pesakit. Operator pula tidak sentiasa menjawab panggilan secara terus, kadang kala panggilan tidak bersahut. Kadang kala memakan masa. Sehubungan itu, demi kelangsungan pekerjaan dan servis perkhidmatan, mereka di bawah ini menggadaikan privasi nombor fon sendiri kepada pesakit. Bayar caj panggilan fon guna duit sendiri. Boleh-lah.

Hasilnya, temujanji secara atas talian dapat dilakukan, cuma tidak diketahui tahap keberkesanannya. Sepastinya, satu panggilan daripada pihak hospital sedikit sebanyak dapat membantu pesakit medapatkan perhatian tentang penyakitnya. Ini sudah tentu lebih baik daripada menunggu tarikh temujanji selama 8 bulan atau setahun, yang mana mungkin akan ditunda pula ke tarikh yang lebih lama.

Baru-baru ini, pihak kerajaan ada melancarkan satu program penambahbaikan teknologi komunikasi, yang dinamakan program Jendela. Tujuannya ialah memberi kemudahan internet yang laju kepada semua rakyat Malaysia. Iklan kelajuan rangkaian 5g ada mempamerkan seorang doktor bedah berkongsi video pembedahan secara ‘Live’ dan berdiskusi tentang pembedahan tersebut dengan doktor-doktor yang lain. Hebat. Jika ini dapat dilaksanakan seperti iklan, maka baguslah. Namun, melihat keadaan semasa dengan apa yang kami lalui sekarang, gambaran iklan tersebut mungkin akan terlaksana selepas 5 generasi kemudian.

Kami di hospital masih bersemangat dan cekal berkhidmat walaupun ditujah dengan kes-kes Kovid-19 yang kian meningkat. Khidmat yang sedia ada, kami sebaik boleh tidak ingin abaikan disebabkan wabak Kovid-19. Temujanji doktor-pesakit secara atas talian adalah baru dan memberi nafas baru kepada penambahbaikan servis perkhidmatan yang sedia ada. Banyak perkara yang perlu diperhalusi dan diberi perhatian lagi.

Akhir kata, kami sangat berharap agar mutu perkhidmatan hospital adalah seiring dengan perkembangan teknologi. Jika ada yang sudi membantu menaiktaraf teknologi lapuk di hospital, makan bantulah. Kalau boleh, kami ingin elakkan menekan papan kekunci Control+Alt+Delete setiap hari.

Sekian.

Thursday, 6 May 2021

3 komplikasi Kovid-19

 Di sini, ingin saya kongsikan sedikit komplikasi daripada penyakit Kovid-19. Hanya tiga komplikasi ingin saya kongsi berdasarkan apa yang saya perhatikan semasa saya bertugas sebagai seorang doktor kontrak di sebuah hospital Kerajaan.


1. Pulmonary Embolism. (Darah beku di saluran darah paru-paru)
Ada kajian negara luar yang mengatakan penyakit Kovid-19 ini bersifat thrombotik. Ini bermakna penyakit Kovid-19 senang memberi komplikasi darah beku di saluran darah pesakit. Darah beku ini boleh berlaku di mana-mana bahagian saluran darah di badan pesakit. Kebiasaannya, berdasarkan pengalaman saya darah beku tersebut selalu dijumpa di saluran darah paru-paru pesakit.
Ada pesakit yang sudah pun telah didiscajkan daripada wad Kovid-19, hadir kembali ke hospital beberapa minggu/ bulan kemudian kerana semput sukar bernafas. Kita periksa kembali pesakit tersebut, kita buat kembali calitan Kovid-19. Calitan Kovid-19 adalah negatif, namun kita dapati pesakit mempunyai darah beku di saluran darah paru-parunya. Istilah kedoktoran, kami namakannya Pulmonary Embolism. Selalunya dalam kes Kovid-19, darah beku bersarang di sini di paru-paru.
Rawatan untuk darah beku umumnya adalah sama, iaitu rawatan pengambilan ubat cair darah, yang berpanjangan. Bergantung kepada situasi darah beku tersebut, tempoh rawatan ubat cair darah mungkin akan memakan masa berbulan-bulan lamanya.

2. Strok
Di atas, saya jelaskan bahawa penyakit Kovid gemar membuat darah beku dalam kalangan pesakitnya. Jadi, komplikasi seterusnya ialah strok atau angin ahmar. Darah beku jika pergi ke otak, akan menghalang aliran darah ke sel-sel otak dan berlakulah strok. Simptoms-simptoms strok adalah berbeza, bergantung kepada di mana darah beku tersebut berada dan bahagian otak yang terlibat. Ada strok yang menyebabkan lumpuh badan, pesakit tak boleh jalan tak boleh buat aktiviti fizikal seperti sebelumnya. Ada strok yang menyebabkan muka senget percakapan tak jelas. Paling teruk, ada strok yang menyebabkan koma terus tak sedar-sedar diri.
Penggalaman saya, kami ada menerima pesakit berusia lebih 50 tahun. Dibawa masuk ke dalam wad disebabkan strok. Datang ke hospital disebabkan lumpuh badan. Tiada demam, batuk, selsema atau simptoms-simptoms kebiasaan Kovid-19. Namun, kami tetap lakukan ujian calitan Kovid-19. Hasilnya, pesakit positif Kovid-19. Persoalannya di sini, adakah strok yang dialami pesakit ini disebabkan daripada komplikasi Kovid-19?
Saya juga ada mendengar cerita, ada penghidap Kovid-19 berusia bawah 40 tahun telah pun didiagnos mempunyai strok. Umur masih muda, namun sudah pun alami strok. Strok disebabkan Kovid-19 tidak mengenal usia. Sesiapa sahaja mampu alaminya.

3. Organising pneumonia. (OP)
Pneumonia bermaksud jangkitan paru-paru. Kovid-19 itu sendiri merupakan penyakit jangkitan di bahagian paru-paru, jika dikategorikan pada tahap 3 dan ke atas.
OP merupakan komplikasi Kovid-19. OP sukar sedikit untuk diterjemah dengan bahasa mudah kerana merangkumi pengertian sendiri daripada aspek-aspek teknikal seperti daripada terjemahan gambaran CT-scan dan sebagainya.
Untuk pengetahuan, OP akan menyebabkan bahagian paru-paru berparut. Parut terhasil disebabkan radang paru-paru. Ia komplikasi lambat Kovid-19 Pneumonia. Paru-paru apabila sudah berparut akan menyebabkan gangguan pertukaran oksigen dan karbon dioksida daripada saluran darah dan udara yang dihirup. Oksigen dalam darah mungkin akan sentiasa tidak cukup. Pesakit akan perlukan bantuan pernafasan oksigen.
Dulu jika ada pesakit aktif bersukan berlari marathon sebelum menerima penyakit Kovid-19 ini dan kini sudah pun menerima komplikasi OP ini, maka tidak hairan jika pesakit tersebut tidak lagi dapat aktif bersukan seperti dahulu. Jalan sikit sudah semput, bagaimana nak lari?
Penggalaman saya, ada pesakit yang tidak dapat kami kurangkan tahap bantuan pernafasan oksigen. Rendahkan sedikit jumlah oksigen yang diberi, maka rendah juga la peratusan oksigen yang dibaca menggunakan pulse oximetry. Nafas kian kencang jika tutup bantuan oksigen. Pesakit tersebut mungkin perlukan bantuan oksigen sepanjang hayat. Mungkin perlu bawa balik tong oksigen ke rumah. Pesakit tersebut saya tidak turut ikut jalan cerita sampai ke penghujung. Jadi,kesudahannya saya tak tahu.
Rawatan OP di masa ini hanyalah ubat steroid, dengan dos yang sangat tinggi dan juga memakan masa berminggu-minggu untuk habis dosnya. Steroid bukan ubat biasa yang boleh dapat begitu sahaja di farmasi. Perlu kebenaran doktor. Hal ini disebabkan ubat steroid ada komplikasinya sendiri. Banyak. Satu contoh, mereka yang mempunyai penyakit kencing manis akan hadapi masalah bacaan gula melambung tinggi apabila makan steroid.
OP juga kadang-kala bertambah teruk apabila ada kuman-kuman atau virus lain selain daripada virus Kovid-19 yang turut bermaustatin di paru-paru pesakit. Kuman-kuman atau virus ini mungkin diterima daripada komuniti luar hospital atau sewaktu berada dihospital itu sendiri semasa menerima rawatan penyakit Kovid-19 diperingkat awal. Mereka bebas bermaustatin kerana paru-paru sudah menjadi parut. Parut tak pandai melawan jangkitan. Jika terdapat kuman-kuman lain ini, maka pesakit perlu tinggal di hospital lagi untuk menerima rawatan IV antibiotik.

Ketiga-tiga komplikasi di atas merupakan komplikasi yang saya selalu temui sepanjang tempoh saya bertugas di Wad Kovid-19 dan wad SARI. Tempoh bertugas di wad ini tidak lama dan tidak pula sekejap, mengikut giliran dan keadaan semasa. Tempoh yang telah dilalui ini sudah cukup memberi penggalaman untuk saya lihat sendiri komplikasi-komplikasi ini. Komplikasi Kovid-19 bukan sembarangan bukan kaleng-kaleng hebatnya.

Oleh itu, elakkan diri daripada menerima Kovid-19. Elak diri daripada terima komplikasi.

Jaga SOP, jaga batasan.

Andai kata kita lihat kadar kematian yang terpampang di saluran KKM adalah tidak tinggi, janganlah kita rasa Kovid-19 tidak bahaya dan senang sembuh. Sembuh tidak bermakna tiada komplikasi. Komplikasi tetap ada, datang tanpa dijangka, membawa mudarat,

Hari ini 5/5/21, kes baru positif Kovid-19 ialah 3744. Katil-katil di wad ICU COVID-19 semuanya sudah pun penuh.
Doakan yang terbaik di akhir-akhir Ramadhan ini.

Saturday, 10 October 2020

Doktor kontrak dan COVID-19.

Saya merupakan seorang doktor kontrak UD-41, berkhidmat di Jabatan Perubatan Am di sebuah Hospital kerajaan di Selangor. Apa yang saya kongsi ini adalah penggalaman saya semenjak bulan Jan 2020 sehingga sekarang bulan 10 2020.


Sebelum PKP bermula, kami sudah pun mempunyai wad saringan COVID di hospital, iaitu wad SARI. Wad SARI bukanlah wad rawatan COVID-19, ia adalah wad saringan. Mereka yang bergejala dan mempunyai simptom-simptom sistem pernafasan seperti batuk, sukar bernafas dan sakit dada mungkin akan ditempatkan ke dalam wad ini setelah mendapat keputusan pakar. Di awal kehadiran COVID-19, rata-rata ahli perubatan dan kesihatan seluruh dunia masih kekurangan data dan pengetahuan tentang penyakit ini. Maka, tidak hairanlah mereka yang mempunyai penyakit paru-paru kronik seperti COPD/ Asthma ditempatkan ke dalam wad SARI ini. Sekiranya mereka positif ujian COVID-19, barulah mereka akan ditempatkan ke dalam wad COVID-19, yang telah pun dikhaskan tempatnya seperti di Hospital Sungai Buloh.


PKP bermula di bulan 3, kebanyakan rakyat-rakyat Malaysia terpaksa 'berehat' di rumah bagi mengekang perebakan wabak COVID-19. Hanya segelintir terpaksa terus bekerja bagi meghadapi wabak ini. Polis dan tentera diarahakan menjaga sempadan daerah dan negeri. Petugas kesihatan terus berkerja tanpa cuti. Cuti dibekukan sewaktu PKP. Saya sebagai pegawai perubatan kontrak UD41 masih meneruskan khidmat sewaktu PKP berjalan sambil membaca luahan-luahan MukaBuku kawan-kawan seusia yang terpaksa direhatkan di rumah mereka.


Sepanjang musim PKP, cara pengendalian kehadiran pesakit ke hospital juga turut berubah sesuai dengan keadaan wabak semasa. Pesakit yang datang ke kecemasan disaring suhu mereka. Mereka yang bergejala demam serta mempunyai risiko jangkitan COVID-19 akan diasingkan ke zon respi merah. Zon merah kini dibahagi kepada dua, zon merah bukan respi dan zon merah respi, berbanding dulu yang mana zon merah hanya mempunyai satu zon sahaja. Mereka yang begejala simptom pernafasan batuk, susah nafas, gambaran X-ray paru-paru yang buruk serta bacaan lympocytes rendah bawah 2 besar mungkin akan diletakkan ke zon merah respi. Contoh, mereka yang mempunyai penyakit jantung paru-paru berair, asthma/COPD, dan jangkitan kuman pada paru-paru.


Zon respi merah, apabila seseorang petugas kesihatan ingin memasukinya perlu menukar pakaian scrub terlebih dahulu. Selepas itu, perlu memakai set PPE sebelum berjumpa dengan pesakit. Bayangkan, saya merupakan seorang pegawai perubatan di Jabatan Perubatan Am yang menerima rujukan kes daripada kedua-dua zon merah ini, sama ada zon merah bukan respi atau zon merah respi terpaksa berulang alik dan kerap menukar pakai set PPE ini. Mula-mula, perbuatan ini terasa beban dan mengambil masa, namun lama-lama alah tegal biasa. Sudah menjadi kelaziman apabila ingin memasuki zon merah respi. Memakai set PPE bukan lagi satu perkara besar yang membebankan. Tak enaknya memakai PPE adalah kerana sukar memakai steteskop dan ingin mendengar bunyi paru-paru pesakit.


Itu di kecemasan sahaja. Di wad pula, pesakit tidak lagi dapat menerima kunjungan pelawat yang ramai, hanya cukup satu orang pada satu masa. Itu pun pada waktu yang tertentu dan lama kelamaan hanya mereka yang betul betul tenat sahaja boleh diiringi oleh seorang pelawat. Pesakit yang tidak kritikal dan stabil tidak dibenarkan mempunyai sebarang pelawat.


Saya juga ingin berkongsi penggalaman menjaga Wad SARI. Saya menjaga wad ini sewaktu PKP dijalankan. Mulanya, terdapat dua buah wad dikhususkan untuk meletakkan pesakit SARI. Saya berpeluang menjaga wad ini di siang hari dan juga pernah menjaga kedua-dua wad sari waktu oncall seorang diri. Di waktu siang, dua-dua wad ini dijaga oleh dua orang Medical Officer setiap wad. Jumlah Medical Officer bertanggungjawab untuk menjaga wad SARI adalah 4 orang di siang hari. Disebabkan waktu ini COVID-19 masih perkara baru, maka ramailah jumlah pesakit SARI disetiap wad ini. Wad SARI ini hanya dijaga oleh MO dan tiada HO. Kerja clerking, ambil darah, pengambilan sampel sapuan COVID-19 daripada rongga hidung-mulut dan rondaan pesakit dilakukan sepenuhnya oleh MO. Setiap pesakit pula dihadkan untuk rondaan pemeriksaan kepada sekali sehari, melainkan pesakit dalam keadaan tidak stabil dan memerlukan pemeriksaan yang lebih kerap.


Ada sekali waktu saya oncall wad SARI, saya perlu menjaga dua buah wad sari dan kedua-duanya memang penuh dengan pesakit SARI. Sememangnya tak menang tangan saya menjalankan tugas di waktu itu, sampaikan ada pesakit yang saya terlupa menulis clerking admission. Saya hanya perasan apabila kawan yang bertugas di waktu pagi menegur yang saya masih belum menulis apa-apa di fail pesakit tersebut. Walaubagaimanapun, saya telah pun mengambil ujian sapuan rongga hidung dan tekak untuk saringan COVID-19 serta memeriksa pesakit tersebut di malam sebelumnya.


Saya berkhidmat di wad SARI selama lebih kurang dua bulan, di waktu gelombang pertama COVID-19. Lama-kelamaan kes COVID-19 semakin kurang di Malaysia selepas PKP dan makin kurang pesakit dimasukkan ke dalam wad SARI. Satu wad SARI ditutup dan hanya satu sahaja yang masih berfungsi. Mereka yang berkhidmat di wad SARI pada waktu ini amatlah beruntung disebabkan kurang pesakit dan kurang beban kerja.


Sepanjang saya menjaga wad sari, saya belum pernah betul-betul berhadapan dengan pesakit positif COVID-19. Semua pesakit yang saya hadapi adalah negatif ujian saringan COVID-19. Ada beberapa kalangan kawan saya yang turut menjaga wad SARI pernah mendapat pesakit positif ujian COVID-19. Pesakit yang positif akan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan yang selanjutnya. Tak ramai yang positif COVID-19. Saya kira, tak sampai 5 kes pesakit positif COVID-19 sepanjang saya menjaga wad SARI.


Dalam musim wabak COVID-19 ini, mereka yang bertugas di jabatan Perubatan Am akan terasa kesibukan disebabkan wabak ini. Hal ini kerana wad SARI adalah bawah jagaan jabatan Perubatan Am. Tak kesemua pegawai perubatan atau staf-staf di hospital terlibat dengan jagaan wad SARI atau pengurusan COVID-19. Mereka yang berada di Jabatan Pembedahan, Orthopediks atau jabatan lain sebenarnya kurang beban kerja berbanding kebiasaannya. Sewaktu permulaan PKP, kes-kes pembedahan elektif dan tak kritikal telah ditunda. Hanya kes-kes kecemasan sahaja pembedahan dilakukan. Jumlah pesakit di klinik juga dihadkan jumlahnya untuk satu hari berbanding sebelum waktu wabak COVID-19. Akhirnya, mereka yang tidak terlibat dengan sebarang aktiviti SARI/COVID-19 dapat menikmati ruang masa kosong yang ada untuk aktiviti-aktiviti lain.


Satu perkara yang tidak enak dilalui semasa musim wabak COVID-19 ini ialah terdapat segelintir daripada mereka yang mengambil kesempatan dengan keadaan semasa. Saya tidak mahu mengulas dengan lebih lanjut mengenai perkara ini, cukup memberi sedikit contoh sahaja. Contoh, pesakit daripada wad jabatan tertentu meminta untuk pesakitnya disaring dan dimasukkan ke dalam wad SARI walhal pesakit tersebut terang-terang bukan kes SARI/COVID-19. Pesakit ini bila diletakkan di dalam wad SARI akan berada di bawah jagaan pegawai perubatan yang bertanggungjawab menjaga wad SARI. Pegawai perubatan daripada jabatan asal pesakit ini kadang-kadang mengambil sikap lepas tangan tidak datang menjenguk periksa keadaan pesakit mereka. Alasan yang dibagi adalah bagi mengurangkan kadar risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja kesihatan. Saya yang menjaga wad SARI terpaksa menjaga pesakit-pesakit ini, dan kadangkala keluhan pesakit berkenaan penyakit yang dialaminya adalah luar daripada skop tugasan jabatan saya sendiri. Namun, nasib baik tak banyak kes-kes seperti ini dimasukkan ke dalam wad SARI. Hanya terdapat satu dua tiga kes sahaja, tapi sudah cukup membuatkan kami yang menjaga wad SARI berasa tidak puas hati.


Pahit manis menjaga wad SARI sedikit terubat dengan imbuhan elaun yang diberikan oleh kerajaan iaitu sebanyak rm 600 sebulan. Pada mulanya, hanya mereka yang betul-betul bekerja melebihi 15 hari berhadapan dengan kes SARI sahaja yang layak menerima sepenuhnya imbuhan ini. Staf hospital yang berada di wad biasa hanya menerima separuh elaun ini. Ada juga isu-isu setengah staf dikatakan tidak layak menerima imbuhan elaun ini disebabkan faktor-faktor tertentu. Kelakarnya juga, ada juga jabatan lain yang tidak membuat sebarang kerja berkaitan COVID-19/SARI turut ingin memohon untuk mendapatkan elaun ini. Akhirnya, sekarang telah diputuskan jabatan tertentu sahaja yang layak memohon imbuhan elaun ini seperti mereka di Jabatan Kecemasan, Perubatan Am dan mereka di khemah ujian saringan COVID-19.


COVID-19 dijangka akan berkekalan selama bertahun-tahun dan rawatan yang efektif masih dalam kajian. Buat masa ini, rawatan COVID-19 terhad kepada rawatan simptomatik dan bertujuan memantau keadaan dan mengstabilkan keadaan pesakit sahaja. Apa-apa pun, saya mengharapkan yang terbaik kepada semua orang supaya dielakkan daripada berhadapan dengan wabak ini. Semoga satu hari nanti terdapat satu rawatan yang efektif dan wabak-19 akan menjadi sejarah kepada kita semua.




Dipatuk ular Calliophis Intestinalis.

  Beberapa hari lepas, saya ada menerima satu rujukan kes patukan ular. Kes patukan ular ini dirujuk daripada unit jabatan kecemasan kepada ...