Sunday 22 February 2015

Kekal bermotivasi untuk menulis?

Menulis...susah juga untuk dijadikan sebagai habit. Saya tidak pula menyemak tarikh terakhir saya meletakkan sebuah entri di blog ini. Rasa-rasa dah lama tak update blog ni. Entri-entri sebelum ni pula ada yang tidak ditulis dengan lengkap. Matlamat nak tulis dengan terperinci tapi motivasi untuk menulis sangat kurang.

Keinginan untuk menulis itu sentiasa. Keinginan ini ibaratkan api yang menyala, kadang-kadang api ini menjadi bara. Bara-bara api yang tidak mampu menerangi kegelapan malam dengan baik. Kadang-kadang api ini membakar dengan kuat sehinggakan cahaya api ini sampai ke langit dan jelas dilihat. Keinginan dan motivasi untuk menulis camni la. Ada kalanya hanya pada tahap bara api sahaja, nak menulis sebaris ayat pun malas. Namun, bila pada tahap membakar ke langit, macam-macam idea datang dan sampai sakit jari menulis.

Entri kali ini tidak mempunyai fokus topik yang jelas. Saya menulis hanyalah berdasarkan apa yang datang ke kotak pemikiran sahaja. Saya juga menulis dengan harapan supaya menulis ini dapat dijadikan sebagai habit harian. Walaubagaimanapun, saya akan cuba fokuskan kepada motivasi saya dalam menulis. Apakah masalah-masalah dan kekangan yang membuatkan saya sukar untuk terus menulis dan apakah pula harapan dan cita-cita yang ingin saya kecapi melalui menulis ini.

Pada mulanya, saya ingin menjadi seorang penulis bebas. Bebas menulis apa-apa yang terfikir di hati dan akal. Semakin saya menulis, semakin kecil pula skop penulisan saya. Hal ini disebabkan diri ini merupakan seorang pelajar perubatan. Dah nama pelajar perubatan, pagi siang dan malam memang asyik berfikir pasal hal-hal yang berkaitan isu perubatan sahaja. Untuk belajar subjek luar daripada bidang perubatan adalah terhad pada masa dan satu-satunya subjek yang tiada kaitan saya sedang belajar dengan diri sendiri ialah bahasa Hindi. Memang kalau boleh diri ni mahu menjadi seorang yang multilingual. Namun, sekarang sudah tahun ke-empat pengajian. Tak lama lagi dah nak balik malaysia. Hati ni khuatir kalau bahasa ini tidak dapat dikuasai dengan mahir. Paling kurang pun pada tahap intermediate.

Banyak sungguh kerisauan di minda dan hati. Berbalik kepada penulisan pula, kerisauan di minda dan hati juga ada. Apabila mahu menulis artikel-artikel yang berkaitan perubatan ini, banyak masalah dan kekangan yang timbul. Sebagai contoh, saya dapati diri saya tidak mahir menulis Bahasa Melayu baku dengan baik. Kadang-kala saya akan menggunakan perkataan bahasa setempat dan perkataan daripada bahasa Inggeris. Disebabkan saya menuntut di India, banyak istilah-istilah perubatan dalam bahasa Melayu saya tidak tahu. Orang di Malaysia guna perkataan apa ya? Getus hati saya. Tambahan pula saya seorang Melayu yang tidak fasih berbahasa Melayu baku. Ore kecek kelate jah la pandai.

Dalam membuat terjemahan bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu, saya selalu dalam keadaan dilema. Nak eja berdasarkan sebutan atau nak kekalkan ejaan Inggeris tersebut? Kadang-kadang saya eja berdasarkan sebutan Inggeris, namun bila membaca artikel perubatan bahasa Melayu di Internet lain pula diejanya.

Ada juga kerisauan yang lain seperti penggunaan tatabahasa Melayu dan sebagainya. Kekangan yang lain ialah masa. Nak menulis satu entri mengambil masa sekurang-kurangnya 15-30 minit. Ini kalau entri yang isinya memang sudah dirangka dalam benak fikiran. Kalau yang baru nak ditulis tu, memang banyak masa la yang nak diambil.

Akhirnya, saya berpendapat adalah lebih baik saya main tulis sahaja berdasarkan gaya percakapan harian saya sahaja. Biarlah nanti ada orang memerli mengatakan pelajar tajaan luar negara tak pandai menulis Bahasa, kata itu dan ini. Saya tak akan kisah. Asalkan saya kekal menulis cukup lah.

Saya ada hajat tersendiri kenapa saya ingin menulis. Pertama saya ingin menguji penguasaan ilmu sains perubatan yang ada pada diri. Saya mahu menulis artikel-artikel perubatan bagaikan air terjun mengalir. Tiada sangkut-sangkut sewaktu menulis atau menaip. Tak mahu la sangkut-sangkut menulis kerana tak tahu nak susun ayat, tak tahu perkataan yang sesuai dan sebagainya. Salah satu tak nak bagi sangkut menulis ni adalah kena mahir betul-betul topik yang hendak ditulis. Lagipun, buat apa kita seorang sahaja yang mahir ilmu perubatan dan tidak dikongsikan kepada orang lain. Hajat saya yang lain ialah saya mahu menghasilkan karya-karya perubatan di dalam Bahasa Melayu. Saya ingin menulis dalam bahasa Melayu bukan kerana saya seorang Melayu tetapi bahasa ini merupakan bahasa rasmi Malaysia. Bahasa penyatu bangsa Malaysia. Kalau saya nilai diri saya berdasarkan latarbelakang etnik dan kaum, memang saya akan tulis menggunakan bahasa yang saya guna sewaktu saya di rumah. Sene, dop payah pening-pening nok mikir tatabahaso semo. Namun, saya hendak juga melihat karya-karya perubatan di dalam Bahasa Melayu.

Di India, doktor mereka ada yang menulis dan menghasilkan buku. Bukan seorang dua, tetapi ramai. Berlainan dengan Malaysia, tak banyak buku yang mencapai selera bacaan saya apabila saya masuk ke kedai buku.

Harap-harap saya akan tulis menulis lagi. Saya juga berkeinginan menulis paling kurang pun sebuah buku sepanjang kehidupan saya ini.

Dipatuk ular Calliophis Intestinalis.

  Beberapa hari lepas, saya ada menerima satu rujukan kes patukan ular. Kes patukan ular ini dirujuk daripada unit jabatan kecemasan kepada ...