Wednesday 22 April 2015

Bagaimana nak bercakap Hindi? Sini ada 7 cara. (Bagi pelajar USM-KLE)

Apa yang ditulis di sini adalah berdasarkan penggalaman saya sahaja. Lain orang lain pandangan dan penggalamannya. Saya belajar bahasa asing di bumi India ini tidaklah begitu menyungguh. Belajar hanyalah sekadar mengisi masa lapang dan tuntutan kerja sebagai pelajar perubatan. Tak belajar bahasa tempatan maka tak bolehlah bertutur dengan pesakit. Tak bertutur dengan pesakit maka tak belajarlah ilmu perubatan. Berikut adalah sedikit kaedah yang saya lakukan untuk belajar bahasa tempatan di Belgaum, India.


1. Belajar baca huruf bahasa tempatan.

Bagi saya, ini merupakan satu langkah penting jika menetap di tempat asing untuk satu tempoh yang lama. Di sini di Belagavi, orang tempatan menggunakan 3 jenis tulisan. Tulisan kannada, hindi dan rumi. Sebagai pelajar USMKLE, kami hanyalah menggunakan tulisan rumi dan bahasa Inggeris sewaktu belajar ilmu perubatan. Walaubagaimanapun, orang tempatan menggunakan tulisan tradisi mereka dalam urusan-urusan harian mereka. Sebagai contoh, membaca akhbar dan menulis papan tanda penanda arah jalan. Saya ada juga belajar membaca tulisan mereka ini secara sendirian menggunakan video YouTube dan sebagainya. Hasilnya sangat menguntungkan. Apabila saya berjalan ke sana dan ke sini sekitar kota Belagavi, saya tidaklah berasa begitu terasing kerana sudah pun mampu membaca papan tanda yang ada sekitar jalanan. Tambahan pula, saya juga mampu menambah kosa kata bahasa Hindi dan Kannada melalui pembacaan ini.

2. Belajar tatabahasa bahasa tempatan.

Setelah diri ini mampu membaca tulisan tempatan, saya tanpa melengahkan masa terus belajar bagaimana orang tempatan menyusun kata dalam bahasa mereka. Tika ini, cara saya membaca tulisan tempatan masih merangkak-rangkak. Namun, penguasaan tatabahasa ini teramatlah penting bagi memahami dialog perbualan seharian penduduk tempatan. Lama jugalah saya mengambil masa mendalami tatabahasa mereka. Mungkin lebih 3 bulan juga. Hasilnya, saya sekarang berjaya mengenal pasti jenis-jenis kata yang digunakan dalam dialog seperti kata nama tempat, kata ganti diri dan sebagainya. Saya juga berjaya mengenalpasti jenis-jenis imbuhan yang digabungkan kepada kata kerja dalam bahasa Hindi dan Kannada. Ini membuatkan pembelajaran bahasa asing ini lebih mudah difahami.

3. Belajar melalui movies dan lagu.

Yang ini saya jarang buat disebabkan movie-movie Kannada kebanyakan bosan untuk ditonton. Movie Hindi sahajalah kita tonton, itu pun tak banyak. Belajar melalui movies dan lagu ini penting untuk kita mengetahui bagaimana mereka orang India menyebut sesuatu perkataan. Macam bahasa Inggeris lah, lain dieja lain pula disebut. Untungnya dalam bahasa Kannada dan Hindi ini perbezaan antara tulisan dan cara sebutan sesuatu kata tak jauh bezanya. Tulisan mereka menggunakan sistem phonetik. Sesuatu kata akan dieja sebagaimana kata itu disebut. Justeru, setiap kali menonton cerita Hindi saya senang sahaja merangkap maksud keseluruhan ayat apabila sudah tahu maksud setiap kata dalam ayat yang dipertuturkan dalam cerita tersebut. Lagi satu, bahasa percakapan mereka juga selari dengan bahasa penulisan mereka. Ini menjadikan pembelajaran bahasa Hindi lebih mudah. Ini tidak sama seperti bahasa Melayu kita di mana bahasa penulisan dan bahasa percakapan yang sememangnya sudah tidak selari. Tonton sahajalah filem-filem melayu kita, adakah dialog yang digunakan dalam filem-filem tersebut bersifat gramatis?

4. Baca artikel berkaitan hal-hal kesihatan yang ditulis dalam bahasa tempatan.

Apabila saya sudah mampu membaca tulisan tempatan, saya mula mencari bahan-bahan bacaan dan artikel kesihatan yang saya mampu dapati di internet. Bagi melancarkan proses transliterasi, saya juga menggunakan google translator. Google translater memudahkan saya menukarkan tulisan Kannada dan Hindi kepada tulisan rumi. Perkataan-perkataan yang diperolehi daripada artikel dan bahan bacaan ini saya catatkan ke dalam buku teks perubatan seperti buku klinikal medicine dan sebagainya. Catatan dibuat berkali-kali dan diteruskan walaupun perkataan tersebut sudah sebati dalam ingatan.

5. Minta penduduk tempatan untuk ajar perkataan-perkataan harian.

Cara ini ada saya lakukan sewaktu di tahun kedua dan ketiga perubatan. Tahun kedua dan ketiga ini merupakan tahun pre-klinikal. Tahun yang tidak sesibuk tahun empat dan tahun lima perubatan. Di kesempatan inilah saya meminta tolong seorang penduduk tempatan untuk mengajar saya bahasa Hindi dan Kannada. Walaubagaimanapun, ia tidaklah begitu efektif disebabkan pengajar tersebut tidak mempunyai penguasaan bahasa inggeris yang bagus. Namun, saya bersyukur mempunyai seseorang yang sudi mengajar tanpa sebarang balasan. Waktu yang diluangkan tidaklah lama namun saya mampu mengetahui sedikit sebanyak perkataan harian yang lazim dipertuturkan oleh masyarakat tempatan di sini. Di samping itu, saya juga dapat belajar perkataan-perkataan dialek yang tidak digunakan dalam bahasa penulisan dan artikel-artikel perubatan namun digunakan oleh kebanyakan orang di sini. 

6. Teman belajar.

Saya belajar bahasa Kannada dan Hindi ini keseorangan. Sewaktu saya belajar bahasa-bahasa tempatan ini daripada asas, ramai rakan sekuliah hairan mengapa saya begitu beria-ria belajar bahasa tempatan. Tiada pun antara mereka yang ingin sama-sama belajar bahasa tempatan ini. Saya berfikir, alangkah bagus kalau saya mempunyai seorang teman belajar yang mempunyai semangat dan minat yang sama. Teman belajar penting untuk membantu kita maju dalam pembelajaran. Umpama main badminton, kita memerlukan sparring partner untuk melatih kita supaya lebih mahir bermain badminton. Kita tak boleh main badminton sorang-sorang. Begitu juga dalam hal belajar bahasa ini. Seelok-eloknya patut ada seorang teman yang membantu kita belajar.

7. Audio.

Membaca buku tanpa audio kadang-kadang boleh membuatkan diri meluat. Setelah menelaah tatabahasa Hindi dan Kannada selama berbulan-bulan, saya akhirnya mendapat ilham tentang audio learning. Ilham ini saya peroleh apabila membaca tips-tips belajar bahasa asing yang saya jumpa di Internet. Hasil daripada google search, saya jumpa beberapa audio files untuk belajar Hindi. Yang paling menarik saya jumpa ialah audio files milik Rupert Snails. Audio lessons yang disediakan olehnya sangat menarik. Tidak bosan. Lessons bermula dari perkara yang sangat asas seperti mengenal huruf tulisan Hindi, mengenal kata nama dan seterusnya kepada yang lebih tinggi tahap pembelajaran seperti belajar tatabahasa dan membina ayat-ayat pendek. Jujur kata, kalau nak belajar Hindi secara pantas dengarilah audio-audio milik Rupert Snails ini. Audio yang disediakan turut mempunyai buku rujukan yang disediakan. Apa yang diperkatakan dalam audio adalah selari dengan yang ditulis dalam buku rujukan. Tak perlu pening-pening. Nasihat saya, jangan pergi cari buku-buku belajar Hindi di kedai buku yang tiada audio. Jangan jadi macam saya, saya ambil masa yang lama untuk belajar. Kalau serius nak belajar Hindi, belajar daripada karya Rupert Snails ini. Malangnya, saya tidak mempunyai sebarang audio lessons untuk bahasa Kannada. 

Dipatuk ular Calliophis Intestinalis.

  Beberapa hari lepas, saya ada menerima satu rujukan kes patukan ular. Kes patukan ular ini dirujuk daripada unit jabatan kecemasan kepada ...