Tuesday 2 August 2016

Lulus peperiksaan akhir ijazah perubatan...? Dijamin 100% akan lulus?

Lulus peperiksaan akhir. Walaupun diri ni awal-awal sudah dapat menjangkakan keputusan sebegini, namun hati ini kadang-kadang tak lepas daripada tersenyum sendirian. Kelakar apabila memikirkan diri ini seorang pemalas tapi masih mampu menjayakan diri lulus peperiksaan tersebut. Tambahan pula, nama kita turut dipanggil bagi pelajar terbaik untuk Community Medicine. Tak sangka betul...

Apabila difikir-fikirkan kembali, perjalanan 5 tahun sebagai pelajar perubatan bukan senang. Susah juga. Menghafal fakta-fakta sains medik, bercakap Hindi/Kannada dengan penduduk tempatan, konflik sesama kawan, dan bermacam-macam lagi. Namun, susah macam mana pun akhirnya kita lulus juga.

Di sini, timbul satu persoalan yang menarik. Apakah kita pelajar USM-KLE dijamin 100% lulus? Belajar sikit atau belajar banyak, tengok-tengok semua orang lulus sahaja. Saya sendiri turut tertanya-tanya akan persoalan ini. Saya pun bukanlah hebat mana pun belajar, dan ini membuatkan saya turut tertanya-tanya persoalan ini. Betulkah kami dijamin 100%  lulus?

Fikir dan fikir, akhirnya bagi saya jawapannya ialah tidak.

Ada sesetengah pihak akan mempertikaikan, bagaimana USM-KLE berjaya menghasilkan kesemua pelajarnya lulus di peperiksaan akhir ini. Jawapan saya senang sahaja, hal ini disebabkan tiada alasan yang kukuh untuk menggagalkan seseorang pelajar di sini. Memang kita akan dapati ada pelajar yang tidak beberapa bagus dari segi akademik dan sebagainya, namun ianya tidak cukup teruk untuk menggagalkan pelajar tersebut. Saya perhatikan kebanyakan kawan saya yang berada di tahun sama. Mereka semua layak lulus. Malahan bukan setakat lulus, mereka juga patut diberi anugerah-anugerah pencapaian akademik yang sewajarnya.

Jaminan 100% lulus mungkin wujud dan mungkin juga tidak wujud. Jika wujud sekalipun, jaminan tersebut mempunyai sebab yang kukuh, dan bukannya jaminan tidak bersebab.

Di sini, saya juga tertarik untuk menulis tentang peranan nasib dalam diri kita sebagai pelajar perubatan. Nasib adalah salah satu faktor penting dalam kejayaan kita sebagai pelajar perubatan. Ada pelajar kurang bernasib baik, walaupun dirinya rajin belajar tapi dia ditanya pelbagai soalan susah sewaktu peperiksaan klinikal. Ada juga pelajar yang bernasib baik, belajar biasa-biasa sahaja namun apabila waktu peperiksaan dia hanya ditanya topik yang dia sikit belajar itu sahajalah.

Saya anggap diri saya bernasib baik. Berikut satu peristiwa yang saya masih ingat, membuatkan diri saya terfikir yang diri saya ni bernasib baik:

    Tahun 4 pendudukan orthopedik: (rasa cam pernah tulis pasal ni...tapi takpe la, tulis lagi)

        Saya tak selalu clerk kes di waktu klinikal. Selalunya ikut serta kawan-kawan satu kumpulan clerk. Tapi saya selalu juga jalan-jalan pusing wad. Kalau ada pesakit yang ramah, tak pun kes yang menarik tak ramai pelajar ambil, saya akan ambil perhatian la kepada pesakit tersebut. Suatu masa, saya masuk dewan bedah orthopedik tengok kes sub acute osteomyelitis. Saya tengok la dari awal sampai separuh pembedahan tu. Kenapa tak tengok sampai habis? Malas saya nak cerita kenapa. Namun, dalam masa sampai separuh pembedahan ni sudah banyak maklumat yang saya pelajari. Pendekkan cerita, saya ada la juga ambil gambar pembedahan tu. Selepas itu, ketika saya pusing-pusing wad di waktu klinikal saya perasan pesakit yang dibedah ini masih ada di wad. Budak lelaki, senang didekati. Maka saya berbual la sikit-sikit setakat yang saya mampu dengannya. Masalah bahasa tu suku kira. Saya tunjuk gambar-gambar waktu pembedahan dulu kepadanya. Wah, eksaited sungguh budak ni melihat gambar-gambar bedahnya. Dari segi etika, saya tak tahu la boleh ke tak tunjuk gambar-gambar bedah ni kat dia. Tapi melihat dia gembira kira okay la kut. Tak lama lepas tu, tengok-tengok pesakit ni juga menjadi pesakit saya sewaktu peperiksaan end-posting untuk orthopedik ni. Tak kan nasib tu. Senang je lalui peperiksaan tersebut. Pesakit-pesakit lain saya tak tengok sangat pun. Penyakit-penyakit ortho waktu tu pun belum khatam habis semua. Nasib baik waktu ini menyelamatkan diri daripada gagal.

Banyak lagi peristiwa-peristiwa yang membuatkan saya rasa diri ni bernasib baik sewaktu bergelar pelajar perubatan. Walaubagaimanapun, sekarang saya da tamat belajar. Lepas ni jadi HO la kut kalau ada rezeki. Kejayaan mungkin dibantu oleh nasib sewaktu bergelar seorang pelajar, namun untuk HO nanti saya rasa amatlah tak patut kita bergantung pada nasib untuk berjaya.

Mengakhiri entri kali ini, saya ingin tegaskan bahawa tiada jaminan 100% lulus kepada kami pelajar perubatan USM-KLE, melainkan kami betul-betul hebat belajar. Kalau da selalu berjaya dalam peperiksaan akhir posting maka lulus 100% tu akan ada lah.

Tuesday 21 June 2016

Kualiti graduan pelajar perubatan USM-KLE?

Ini merupakan pendapat peribadi saya sebagai pelajar perubatan tahun akhir USM-KLE sahaja. Saya tulis ini berdasarkan penggalaman saya lima tahun di sini, dan sedikit pengetahuan tentang kehidupan pelajar-pelajar perubatan di sekolah perubatan di tempat lain. Saya bandingkan diri saya sendiri dengan kawan-kawan saya kenali yang belajar di sekolah perubatan lain.

Sebelum menulis dengan lanjut tentang tahap kualiti, terlebih dahulu kita kena pastikan apakah kualiti-kualiti yang perlu ada dan dinilai terhadap seseorang pelajar perubatan. Umumnya, pelajar perubatan perlu mempunyai asas ilmu perubatan bagi memudahkan mereka menjalani tugas sebagai doktor pelatih. Namun, di sini saya tambahkan dan fokuskan beberapa kualiti yang perlu dicapai oleh pelajar perubatan sepanjang belajar di sekolah perubatan. Kualiti-kualiti yang ditulis merupakan pendapat peribadi saya sendiri sahaja.

Kualiti-kualiti yang diharapkan:

1) Kemahiran berkomunikasi.

Kemahiran berkomunikasi di sini secara umumnya merujuk kepada komunikasi antara pesakit dan doktor. Kemahiran ini perlu diasah sewaktu seseorang itu masih belum lagi bergelar seorang doktor. Namun,  sebagai seorang pelajar perubatan, apa yang dikatakan kepada pesakit kadang-kala perlu ada hadnya. Bimbang akan ada salah faham dan kekeliruan dalam minda pesakit. Jadi,  semudahnya seseorang pelajar perubatan perlu mencotohi bagaimana doktor pengajar mereka berkomunikasi dengan pesakitnya. Perhatikan gerak tubuh,  gaya dan bahasa percakapannya,  penerimaan dan maklum balas daripada pesakit. 

Sepanjang belajar di USMKLE, saya kurang temui doktor yang betul-betul mempunyai kemahiran ini. Kebanyakan yang mempunyai kemahiran ini merupakan doktor-doktor senior yang sudah berumur. Doktor-doktor muda seperti doktor yang masih belajar  di tahap post-graduate kebanyakan kurang mempunyai kemahiran ini. Malah, kadang-kala saya dapati cara mereka melayan agak kasar. Mungkin sahaja ini budaya mereka di sini. Saya tidak beberapa pasti, tapi sepastinya saya tidak boleh mencontohi cara mereka berkomunikasi dengan pesakit.

Ruang untuk mengasah kemahiran berkomunikasi makin tersempit apabila terdapatnya masalah memahami bahasa tempatan. Saya telah pun mengambil inisiatif sendiri dengan mempelajari bahasa Kannada dan Hindi bersumberkan buku-buku dan internet. Walaubagaimanapun, mempelajari bahasa tempatan ini sangat sukar juga sehinggakan serba sedikit mengganggu waktu dan fokus kepada sabjek-sabjek wajib perubatan. Akhirnya, saya kuburkan sahaja hasrat menguasai bahasa tempatan dan fokuskan sahaja terhadap sabjek wajib perubatan. Cukup sekadar mengetahui perkataan-perkataan asas untuk history taking sewaktu kelas klinikal.

Rumusnya, kualiti dalam kemahiran berkomunikasi dalam kalangan pelajar perubatan di sini kurang memuaskan. Walaubagaimanapun, kelemahan ini masih boleh dibaiki kerana program USM-KLE ini masih di bayi lagi di tika ini. Apabila servis Hospital Yellur kepunyaan USM-KLE berada pada tahap maksimum nanti, tidak mustahil akan ada banyak peluang kepada pelajar USM-KLE untuk melatih kemahiran berkomunikasi dengan pesakit. Mungkin akan ada seminar-seminar, kursus-kursus dan latihan dalam meningkat kemahiran berkomunikasi di masa hadapan.

2) Pengetahuan asas dalam bidang sains perubatan.
     (pengetahuan asas merujuk kepada sabjek-sabjek seperti anatomi, fisioloji, dan sebagainya)

Ini sukar untuk dibincangkan. Saya nilai diri sendiri, saya simpulkan bahawa pengetahuan asas saya sangat lemah. Saya nilai kawan-kawan sekumpulan pula, saya simpulkan bahawa pengetahuan asas pelajar perubatan USM-KLE boleh dikatakan sangat memuaskan.

Baru-baru ini, saya selesai menduduki peperiksaan akhir tahun 5 (professional 3). Seperti kebiasaan tiap-tiap tahun, akan ada pemeriksa-pemeriksa datang dari Malaysia. Tahun ini, kebanyakan mereka daripada USM-KK sendiri. Tahun lepas, mereka daripada pelbagai Universiti di Malaysia. Maklum balas daripada mereka tahun ini sangat positif. Kata pensyarah-pensyarah USM-KLE di sini, mereka daripada USM-KK berpuas hati tahap pengetahuan asas yang dimiliki oleh pelajar USM-KLE.

Saya setuju dengan maklum balas yang diterima ini. Dulunya di awal-awal tahun klinikal, saya dapati tahap pengetahuan asas bidang perubatan yang dimiliki oleh kami lemah. Namun, di akhir-akhir apabila menjelang peperiksaan akhir kebanyakan pelajar sudah pun mampu menunjukkan tahap penguasaan ilmu asas perubatan pada tahap yang memuaskan.

Walaubagaimanapun, masih terdapat banyak ruang yang boleh dibaiki untuk meningkatkan tahap penguasaan imu asas perubatan dalam kalangan pelajar USM-KLE. Seelok-eloknya, kita mahu melihat penguasaan ilmu asas ini di awal-awal pengajian atau pertengahan pengajian juga dan bukan hanya di detik-detik akhir pengajian.

Jika dibandingkan lagi dengan pelajar tempatan India pula, saya rasa tahap penguasaan ilmu kami masih belum mencukupi. Berbeza dengan kami, pelajar India mengamalkan sistem pembelajaran tradisi. Mereka akan menghafal satu per satu isi-isi sabjek-sabjek yang dipelajari. Kami pula mengamalkan sistem pembelajaran berdasarkan kurikulum 'SPICE'. Kedua-dua sistem ini mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Sesetengah pelajar akan merasakan sistem tradisi lebih bagus untuk diri mereka menguasai pengetahuan asas manakala sesetengah pelajar akan merasakan sistem baru lebih bagus untuk diri mereka. Ini bergantung kepada individu tersebut. Bagi saya, saya lebih suka cara tradisi untuk permulaan dalam menguasai ilmu asas perubatan dan sistem baru untuk mengaplikasikan ilmu-ilmu asas untuk lebih pemahaman.

Akhir kata tentang penguasaan pengetahuan asas, kebanyakan pelajar USM-KLE mencapai tahap yang diharapkan. Saya pasti generasi pelajar USM-KLE yang akan datang lebih hebat penguasaan pengetahuan asas sains perubatan. 

3) Kemahiran asas amali.

Bahagian ini sangat saya kesali. Manakan tidak, kita kalau belajar di India sepatutnya akan begitu mahir dengan asas-asas amali perubatan seperti mengenali petanda-petanda fizikal penyakit dan kemahiran asas perubatan (mengambil darah, dsb). Namun, apa yang kami alami di sini sangatlah kurang memuaskan.

Sebagai pelajar generasi awal, kami lebih banyak meluangkan masa klinikal di hospital tumpangan (Hospital KLE). Hospital USM-KLE (Hospital Yellur) pula baru sahaja mula operasi beberapa tahun lepas. Awalnya, bilangan pesakit sangat terhad di Hospital Yellur. Oleh itu, terpaksalah kami menumpang belajar daripada pesakit-pesakit Hospital KLE.

Hospital KLE pula mempunyai pelajar mereka sendiri. Jadi, keutamaan bahan pembelajaran akan diberikan kepada pelajar mereka. Sekiranya mahu belajar kemahiran-kemahiran klinikal seperti mengambil darah, menjahit luka episiotomi, dan sebagainya kami perlu hadir ke hospital di waktu pelajar mereka tiada/kurang.

Saya merasakan kemahiran asas amali yang ada pada diri saya ini sangatlah kurang untuk memudahkan kerjaya sebagai doktor pelatih nanti. Tak mengapalah, bukan rezeki kami.

Walaubagaimanapun, perkembangan jumlah penerimaan pesakit di Hospital Yellur sangat positif. Pelajar-pelajar junior yang akan datang akan sangat beruntung kerana di Hospital Yellur ini hanya ada pelajar USM-KLE sendiri sahaja. Tiada pelajar perubatan lain, tiada pelajar kejururawatan, tiada pelajar lepasan ijazah. Khas untuk pelajar USM-KLE. Tambahan pula, dengan penukaran sistem kurikulum yang terbaru pelajar-pelajar di masa hadapan akan menjalani satu tahun klinikal penuh (internship) di akhir tahun pengajian mereka.

Ini sahaja yang saya boleh katakan pasal kemahiran asas amali.

4) Nilai-nilai tambahan yang diluar bidang medik.

Nilai-nilai tambahan yang saya maksudkan adalah sesuatu yang kita boleh kecapi sewaktu bergelar pelajar perubatan namun sesuatu ini merupakan nilai-nilai yang tiada kaitan dengan bidang medik. Contoh, kemahiran menulis, seni fotografi, sukan dan sebagainya.

Saya berhasrat untuk menulis sebuah buku sepanjang saya belajar di sini. Namun hasrat ini tidak ketersampaian. Saya sedari bahawa bukan senang untuk menulis sesebuah buku. Tak kisahlah buku apa-apa pun. Janji buku ini akan menjadi titik permulaan dan dorongan kepada diri sendiri untuk menjadi seorang penulis. Impian untuk menjadi seorang penulis masih lagi ada.

Di USM-KLE, saya dapati sukar juga untuk mencari ruang untuk diri saya mengecapi nilai-nilai tambahan kecuali saya sendiri yang membina ruang itu. USM-KLE bagi saya merupakan satu tempat yang begitu memfokuskan kepada pembelajaran bidang perubatan. Baik juga begini kerana pelajar akan lebih fokus kepada matlamat utama datang ke sini. Belajar ilmu perubatan.


-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=


Kesimpulannya....

Bagaimanakah kualiti graduan pelajar perubatan USM-KLE? Bagi saya, kualiti yang dilahirkan pada masa ini adalah baik, dan masih banyak ruang yang boleh dipertingkatkan. Harapan saya, semoga pelajar-pelajar juniors USM-KLE yang akan datang mampu melakukan sesuatu yang jauh lebih baik daripada apa yang telah dilakukan oleh senior-senior terdahulu. Kualiti graduan pelajar perubatan USM-KLE akan menjadi lebih baik dari tahun ke tahun. Ini saya berani jamin.

Friday 5 February 2016

Sakit dada

Sakit dada,  semua orang pernah lalui keadaan ini. Kadang-kala,  kita bimbang kalau sakit di dada itu ada kaitan dengan keadaan jantung kita.  Ada juga sesetengah orang begitu cepat mengatakan dirinya menggalami sakit dada disebabkan sakit jantung.  Kalau memang pernah alami sakit jantung tak mengapalah kalau nak buat kesimpulan sebegitu,  tapi kalau yang tak pernah ada sejarah sakit jantung bagaimana?  Ayuh,  kita bincang sikit di sini tentang sakit dada, apakah punca-puncanya,  dan apa yang patut kita buat kalau kita alami sakit dada ini. 

Apabila kita menggalami sakit di dada dan mahu mencari punca tersebut,  kita kenalah terlebih dahulu belajar cara menghuraikan keadaan rasa sakit tersebut dengan jelas.  Lokasi, waktu hadirnya rasa sakit, jangka masa, karekter,  faktor-faktor yang mengeruhkan atau melegakan rasa sakit, dan lain-lain info relevan.

Ingat.
1. Lokasi sakit
2. Waktu bila sakit tu datang
3. Jangka masa rasa sakit
4. Karakter/Sifat (Mencucuk-cucuk, bosan, pedih, terbakar, senak, dan sebagainya)
5. Faktor mengeruhkan
6. Faktor melegakan

Contoh huraian rasa sakit di dada:

"Doktor,  saya ni semenjak bulan lepas ada menggalami rasa sakit dada.  Rasa sakit ni kat sini (sambil tangan kiri digenggam kemas ke tengah-tengah dada). Rasa cam kena tindih dengan benda berat. Dulu rasa sakit ni kadang-kadang je tapi sejak 2-3 minggu lepas makin kerap pula. Dalam sehari ada la lebih 5 kali episod rasa sakit ni. Sakit pula lamanya dalam 10 hingga 15 minit. Pastu doktor, nak hilangkan rasa sakit ni saya duk rehat la baring. Rasa lega sikit je, tapi sakit tak hilang. Lagi satu doktor, sakit ni makin kuat kalau saya buat aktiviti-aktiviti berat." 

Lihat contoh huraian yang kedua ni pula;

"Doktor, saya ada seminggu dah batuk dengan demam. Tak teruk sangat batuk dengan demam ni sebab saya ada makan ubat. Tapi sejak 3 hari lepas dada saya ni tiba-tiba mula rasa sakit. Pedih doktor sakit ni. Nak nafas pun susah sebab sakit ni. Ha doktor, sakit kat sebelah kanan dada ni. Sebelah kiri tak rasa sakit pun. Tak tahu la kenapa sakit ni doktor, makan dah ubat tahan sakit tapi sakit tu mari balik. Sakit ni hilang sikit lah kalau saya baring ke sebelah kanan masa nak tidur. Doktor tolong la check kenapa ni."

Inilah sedikit sebanyak contoh huraian sakit dada yang saya boleh bayangkan. Seterusnya doktor akan menanyakan lebih lanjut soalan-soalan tertentu kepada anda jika perlu. Sini belajar kat India tak faham sangat bahasa pesakit cakap. Tak faham sangat pun apa yang dihuraikan oleh pesakit berkenaan rasa sakit dada tu. Kadang-kala pesakit ni ada juga jenis tak cakap banyak. Sepatah ditanya sepatah dijawab. Senang la nak faham kalau yang ni. Ada juga yang ditanya sepatah dijawabnya berpatah-patah termasuk sekali dengan perkara-perkara yang tiada kaitan dengan rasa sakit tu. Yang ni memang susah la nak faham. Haha. Macam-macam. 

Penghuraian sakit dada ini penting bagi doktor untuk merumuskan diagnosis yang tepat. Hal ini kerana setiap diagnosis bagi sakit dada itu didasarkan pada sifat-sifat sakit dada sendiri. Sakit dada disebabkan sakit jantung ada sifatnya sendiri, dan begitu juga sakit dada disebabkan penyakit pada paru-paru. Belajar lah menghurai rasa sakit dada tu ye. Kalau da pandai cara menghurai jom ketahui punca-punca sakit dada ni.
 
Punca-punca sakit dada:

1) Sistem kardiovaskular
   1. IHD: Enjaina pektoris, mayokardial infarksyen, penyakit injap jantung, 
   2. Perikardaitis
   3. Daisekting aniyurism of aorta
2) Sistem pernafasan
   1. Pleurisy, lobar niyumonia
   2. Niyumothoraks
   3. Pulmonari embolism
   4. Malignansi
   5. Tracheitis
3) Sistem percernaan
   1. Reflux esophajaitis, peptik alser, pankreataitis, penyakit hempedu, esophageal spasm
4) Sistem otot dan tulang
   1. Vertebral collapse
   2. Patah tulang ribs, trauma
   3. Mayosaitis of pektoralis minor
   4. Osteoarthritis
5) Saikiyatri
   GAD, malingering
6) Lain-lain punca
   Demam rhiyumatik akut, thorasik outlet sindrom, mediastinal malignancy


Banyak kan punca-punca sakit dada ni kan? Jadi, apa nak buat kalau sakit dada? Senang je jawapan dia. Pergi jumpa doktor. LOL. Tapi jangan la sampai da sakit teruk baru nak jumpa. Kalau ada rasa sakit dada tu, mula-mula kita perhatikan kepada sifat-sifat sakit dada tu. Cuba huraikan kepada diri sendiri tentang sakit dada tu. Macam kita bincang kat atas tadi.  

Berkenaan rawatan sakit dada ini bergantung kepada diagnosis akhir. Kalau diagnosis akhir itu betul dan rawatan yang diberi juga betul, maka akan hilanglah sakit di dada tu nanti. 
   

Dipatuk ular Calliophis Intestinalis.

  Beberapa hari lepas, saya ada menerima satu rujukan kes patukan ular. Kes patukan ular ini dirujuk daripada unit jabatan kecemasan kepada ...