Tuesday 21 June 2016

Kualiti graduan pelajar perubatan USM-KLE?

Ini merupakan pendapat peribadi saya sebagai pelajar perubatan tahun akhir USM-KLE sahaja. Saya tulis ini berdasarkan penggalaman saya lima tahun di sini, dan sedikit pengetahuan tentang kehidupan pelajar-pelajar perubatan di sekolah perubatan di tempat lain. Saya bandingkan diri saya sendiri dengan kawan-kawan saya kenali yang belajar di sekolah perubatan lain.

Sebelum menulis dengan lanjut tentang tahap kualiti, terlebih dahulu kita kena pastikan apakah kualiti-kualiti yang perlu ada dan dinilai terhadap seseorang pelajar perubatan. Umumnya, pelajar perubatan perlu mempunyai asas ilmu perubatan bagi memudahkan mereka menjalani tugas sebagai doktor pelatih. Namun, di sini saya tambahkan dan fokuskan beberapa kualiti yang perlu dicapai oleh pelajar perubatan sepanjang belajar di sekolah perubatan. Kualiti-kualiti yang ditulis merupakan pendapat peribadi saya sendiri sahaja.

Kualiti-kualiti yang diharapkan:

1) Kemahiran berkomunikasi.

Kemahiran berkomunikasi di sini secara umumnya merujuk kepada komunikasi antara pesakit dan doktor. Kemahiran ini perlu diasah sewaktu seseorang itu masih belum lagi bergelar seorang doktor. Namun,  sebagai seorang pelajar perubatan, apa yang dikatakan kepada pesakit kadang-kala perlu ada hadnya. Bimbang akan ada salah faham dan kekeliruan dalam minda pesakit. Jadi,  semudahnya seseorang pelajar perubatan perlu mencotohi bagaimana doktor pengajar mereka berkomunikasi dengan pesakitnya. Perhatikan gerak tubuh,  gaya dan bahasa percakapannya,  penerimaan dan maklum balas daripada pesakit. 

Sepanjang belajar di USMKLE, saya kurang temui doktor yang betul-betul mempunyai kemahiran ini. Kebanyakan yang mempunyai kemahiran ini merupakan doktor-doktor senior yang sudah berumur. Doktor-doktor muda seperti doktor yang masih belajar  di tahap post-graduate kebanyakan kurang mempunyai kemahiran ini. Malah, kadang-kala saya dapati cara mereka melayan agak kasar. Mungkin sahaja ini budaya mereka di sini. Saya tidak beberapa pasti, tapi sepastinya saya tidak boleh mencontohi cara mereka berkomunikasi dengan pesakit.

Ruang untuk mengasah kemahiran berkomunikasi makin tersempit apabila terdapatnya masalah memahami bahasa tempatan. Saya telah pun mengambil inisiatif sendiri dengan mempelajari bahasa Kannada dan Hindi bersumberkan buku-buku dan internet. Walaubagaimanapun, mempelajari bahasa tempatan ini sangat sukar juga sehinggakan serba sedikit mengganggu waktu dan fokus kepada sabjek-sabjek wajib perubatan. Akhirnya, saya kuburkan sahaja hasrat menguasai bahasa tempatan dan fokuskan sahaja terhadap sabjek wajib perubatan. Cukup sekadar mengetahui perkataan-perkataan asas untuk history taking sewaktu kelas klinikal.

Rumusnya, kualiti dalam kemahiran berkomunikasi dalam kalangan pelajar perubatan di sini kurang memuaskan. Walaubagaimanapun, kelemahan ini masih boleh dibaiki kerana program USM-KLE ini masih di bayi lagi di tika ini. Apabila servis Hospital Yellur kepunyaan USM-KLE berada pada tahap maksimum nanti, tidak mustahil akan ada banyak peluang kepada pelajar USM-KLE untuk melatih kemahiran berkomunikasi dengan pesakit. Mungkin akan ada seminar-seminar, kursus-kursus dan latihan dalam meningkat kemahiran berkomunikasi di masa hadapan.

2) Pengetahuan asas dalam bidang sains perubatan.
     (pengetahuan asas merujuk kepada sabjek-sabjek seperti anatomi, fisioloji, dan sebagainya)

Ini sukar untuk dibincangkan. Saya nilai diri sendiri, saya simpulkan bahawa pengetahuan asas saya sangat lemah. Saya nilai kawan-kawan sekumpulan pula, saya simpulkan bahawa pengetahuan asas pelajar perubatan USM-KLE boleh dikatakan sangat memuaskan.

Baru-baru ini, saya selesai menduduki peperiksaan akhir tahun 5 (professional 3). Seperti kebiasaan tiap-tiap tahun, akan ada pemeriksa-pemeriksa datang dari Malaysia. Tahun ini, kebanyakan mereka daripada USM-KK sendiri. Tahun lepas, mereka daripada pelbagai Universiti di Malaysia. Maklum balas daripada mereka tahun ini sangat positif. Kata pensyarah-pensyarah USM-KLE di sini, mereka daripada USM-KK berpuas hati tahap pengetahuan asas yang dimiliki oleh pelajar USM-KLE.

Saya setuju dengan maklum balas yang diterima ini. Dulunya di awal-awal tahun klinikal, saya dapati tahap pengetahuan asas bidang perubatan yang dimiliki oleh kami lemah. Namun, di akhir-akhir apabila menjelang peperiksaan akhir kebanyakan pelajar sudah pun mampu menunjukkan tahap penguasaan ilmu asas perubatan pada tahap yang memuaskan.

Walaubagaimanapun, masih terdapat banyak ruang yang boleh dibaiki untuk meningkatkan tahap penguasaan imu asas perubatan dalam kalangan pelajar USM-KLE. Seelok-eloknya, kita mahu melihat penguasaan ilmu asas ini di awal-awal pengajian atau pertengahan pengajian juga dan bukan hanya di detik-detik akhir pengajian.

Jika dibandingkan lagi dengan pelajar tempatan India pula, saya rasa tahap penguasaan ilmu kami masih belum mencukupi. Berbeza dengan kami, pelajar India mengamalkan sistem pembelajaran tradisi. Mereka akan menghafal satu per satu isi-isi sabjek-sabjek yang dipelajari. Kami pula mengamalkan sistem pembelajaran berdasarkan kurikulum 'SPICE'. Kedua-dua sistem ini mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Sesetengah pelajar akan merasakan sistem tradisi lebih bagus untuk diri mereka menguasai pengetahuan asas manakala sesetengah pelajar akan merasakan sistem baru lebih bagus untuk diri mereka. Ini bergantung kepada individu tersebut. Bagi saya, saya lebih suka cara tradisi untuk permulaan dalam menguasai ilmu asas perubatan dan sistem baru untuk mengaplikasikan ilmu-ilmu asas untuk lebih pemahaman.

Akhir kata tentang penguasaan pengetahuan asas, kebanyakan pelajar USM-KLE mencapai tahap yang diharapkan. Saya pasti generasi pelajar USM-KLE yang akan datang lebih hebat penguasaan pengetahuan asas sains perubatan. 

3) Kemahiran asas amali.

Bahagian ini sangat saya kesali. Manakan tidak, kita kalau belajar di India sepatutnya akan begitu mahir dengan asas-asas amali perubatan seperti mengenali petanda-petanda fizikal penyakit dan kemahiran asas perubatan (mengambil darah, dsb). Namun, apa yang kami alami di sini sangatlah kurang memuaskan.

Sebagai pelajar generasi awal, kami lebih banyak meluangkan masa klinikal di hospital tumpangan (Hospital KLE). Hospital USM-KLE (Hospital Yellur) pula baru sahaja mula operasi beberapa tahun lepas. Awalnya, bilangan pesakit sangat terhad di Hospital Yellur. Oleh itu, terpaksalah kami menumpang belajar daripada pesakit-pesakit Hospital KLE.

Hospital KLE pula mempunyai pelajar mereka sendiri. Jadi, keutamaan bahan pembelajaran akan diberikan kepada pelajar mereka. Sekiranya mahu belajar kemahiran-kemahiran klinikal seperti mengambil darah, menjahit luka episiotomi, dan sebagainya kami perlu hadir ke hospital di waktu pelajar mereka tiada/kurang.

Saya merasakan kemahiran asas amali yang ada pada diri saya ini sangatlah kurang untuk memudahkan kerjaya sebagai doktor pelatih nanti. Tak mengapalah, bukan rezeki kami.

Walaubagaimanapun, perkembangan jumlah penerimaan pesakit di Hospital Yellur sangat positif. Pelajar-pelajar junior yang akan datang akan sangat beruntung kerana di Hospital Yellur ini hanya ada pelajar USM-KLE sendiri sahaja. Tiada pelajar perubatan lain, tiada pelajar kejururawatan, tiada pelajar lepasan ijazah. Khas untuk pelajar USM-KLE. Tambahan pula, dengan penukaran sistem kurikulum yang terbaru pelajar-pelajar di masa hadapan akan menjalani satu tahun klinikal penuh (internship) di akhir tahun pengajian mereka.

Ini sahaja yang saya boleh katakan pasal kemahiran asas amali.

4) Nilai-nilai tambahan yang diluar bidang medik.

Nilai-nilai tambahan yang saya maksudkan adalah sesuatu yang kita boleh kecapi sewaktu bergelar pelajar perubatan namun sesuatu ini merupakan nilai-nilai yang tiada kaitan dengan bidang medik. Contoh, kemahiran menulis, seni fotografi, sukan dan sebagainya.

Saya berhasrat untuk menulis sebuah buku sepanjang saya belajar di sini. Namun hasrat ini tidak ketersampaian. Saya sedari bahawa bukan senang untuk menulis sesebuah buku. Tak kisahlah buku apa-apa pun. Janji buku ini akan menjadi titik permulaan dan dorongan kepada diri sendiri untuk menjadi seorang penulis. Impian untuk menjadi seorang penulis masih lagi ada.

Di USM-KLE, saya dapati sukar juga untuk mencari ruang untuk diri saya mengecapi nilai-nilai tambahan kecuali saya sendiri yang membina ruang itu. USM-KLE bagi saya merupakan satu tempat yang begitu memfokuskan kepada pembelajaran bidang perubatan. Baik juga begini kerana pelajar akan lebih fokus kepada matlamat utama datang ke sini. Belajar ilmu perubatan.


-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=-=


Kesimpulannya....

Bagaimanakah kualiti graduan pelajar perubatan USM-KLE? Bagi saya, kualiti yang dilahirkan pada masa ini adalah baik, dan masih banyak ruang yang boleh dipertingkatkan. Harapan saya, semoga pelajar-pelajar juniors USM-KLE yang akan datang mampu melakukan sesuatu yang jauh lebih baik daripada apa yang telah dilakukan oleh senior-senior terdahulu. Kualiti graduan pelajar perubatan USM-KLE akan menjadi lebih baik dari tahun ke tahun. Ini saya berani jamin.

Dipatuk ular Calliophis Intestinalis.

  Beberapa hari lepas, saya ada menerima satu rujukan kes patukan ular. Kes patukan ular ini dirujuk daripada unit jabatan kecemasan kepada ...