Saturday 30 October 2021

Dipatuk ular Calliophis Intestinalis.

 Beberapa hari lepas, saya ada menerima satu rujukan kes patukan ular. Kes patukan ular ini dirujuk daripada unit jabatan kecemasan kepada doktor medikal untuk kemasukan pesakit ke dalam wad medikal.

Seorang pesakit dewasa muda berusia sekitar 30-an, tidak mempunyai sebarang latar belakang penyakit dan juga tidak pernah masuk mana-mana wad hospital diletakkan di zon kuning disebabkan jarinya dipatuk ular.
Menurut pesakit, dia sedang membersihkan halaman rumahnya di pagi hari dan tiba-tiba ternampak satu pergerakan di dalam kolam renang rumahnya. Dia mendekati pergerakan tersebut, mendapati ada seekor ular kecil berenang-renang di dalam kolam tersebut. Kehadiran ular tersebut menarik minat pesakit ini, dan dia bertindak menangkap ular tersebut untuk diteliti dengan lebih dekat. Dia juga rekodkan satu rakaman video ular tersebut, yang mana ular ini dipegangnya begitu sahaja tanpa sebarang alat perlindungan.
Tiba-tiba, ular tersebut bertindak menggigit jari telunjuk pesakit. Kata pesakit, gigitan ular ini seolah-olah hanya satu gigitan manja sahaja. Tidak sakit. Tiada apa-apa simptom yang teruk berlaku. Cuma terdapat kesan lubang kecil hasil daripada taring ular tersebut. Selepas itu, pesakit melepaskan kembali ular tersebut ke dalam semak yang selamat.
Rumahnya dibina di atas tanah sendiri, dan terdapat hutan kecil di belakang rumahnya. Mungkin itu habitat asal ular ini.
Jari telunjuk pesakit tidak mempunyai sebarang pendarahan yang serius. Bengkak pun tidak. Jari telunjuknya boleh bengkok dan lurus macam seperti biasa.
Bagusnya pesakit ini, dia bertindak bijak dengan menghadirkan diri ke hospital untuk menerima pemeriksaan untuk patukan ular ini. Sesetengah orang mungkin sahaja akan membiarkan dirinya di rumah tanpa datang ke hospital disebabkan tidak mempunyai simptom-simptom yang luar biasa.
Di zon kuning, pesakit dipantau sekejap di situ sambil-sambil doktor yang merawat membuat rujukan kepada team RECS, untuk mendapatkan pendapat daripada pakar dan pelan rawatan selanjutnya. Rujukan kepada pasukan RECS sepatutnya dibuat oleh doktor kecemasan. Namun, doktor kecemasan di waktu itu sangatlah
hebat
dan pandai-pandai dia sahaja buat kesimpulan bahawa ular yang mematuk pesakit itu ular daripada keturunan elapidae. Akan tetapi, kepandaian yang ada pada doktor itu tidak sehingga memberi pelan rawatan yang jelas. Nanti masuk wad nak pantau apa? Bisa ular ini jenis bagaimana? Toksik kepada darah? Toksik kepada saraf? Toksik kepada otot-otot?
Nak tak nak, saya doktor medikal merujuk sendiri kepada pasukan RECS. Pasukan RECS merupakan satu pasukan doktor-doktor yang selalunya terdiri daripada pakar-pakar kecemasan dan mereka menumpukan khidmat nasihat rawatan kepada kes-kes kecemasan melibatkan patukan ular. Remote Envenomation Consultancy Services (RECS). Hampir dua jam juga pesakit menunggu di zon kuning sementara hendak dapat nasihat pakar ini. Khidmat nasihat pakar ini dibuat secara atas talian, dan pakar tersebut tidaklah berkhidmat di hospital di sini pun.
Setelah mendapat nasihat dan pendapat pakar, barulah saya masukkan pesakit ini ke dalam wad medikal. Di dalam wad, doktor lain pula akan menjaganya. Bukan saya. Oleh itu, sememangnya rujukan patut dibuat semasa pesakit datang ke kecemasan sahaja supaya tidak memberi beban kerja kepada doktor yang bertugas di wad.
Sepanjang di wad, pesakit tidak menggalami sebarang simptom tambahan. Tempat yang dipatuk juga tidak membengkak atau makin teruk. Tiada kesan saraf dialami. Mujurlah.
Pesakit juga kena cucuk diambil darah setiap 6 jam. Darah yang diambil untuk diperiksa dimakmal terhadap kandungan Creatine Kinase dalam darahnya. Creatine Kinase (CK) merupakan bahan buangan daripada otot, selalunya dibuang ke dalam darah apabila otot-otot badan merosak. Makin tinggi bacaannya, makin teruk keadaan otot.
Bacaan CK tidak bertambah teruk. Pesakit ini memang betul-betul bernasib baik.
Ular yang mematuknya ialah Calliophis Intestinalis. Sejenis ular yang malu-malu tapi sangat berbisa. Lagi berbisa daripada ular tedung. Hanya disebabkan ular ini bersifat malu tidak suka mematuk orang, tidak banyak kes dilaporkan. Ular ini juga tidak nampak gah seperti ular tedung. Nampak kiut kecil sahaja. Ukur lilit sebesar jari dan panjang lebih kurang 30cm. Mungkin sebab ini pesakit rileks sahaja pergi menangkapnya. Berbeza dengan ular tedung, ular tedung nampak lebih garang dan menakutkan.
Nama tempatan ular ini ialah ular pantai belang. Walaupun nama ular pantai, spesis ular ini bukannya hidup di pantai. Ia boleh didapati di tempat lembap seperti hutan-hutan di Malaysia. Ular pantai belang berwarna coklat dan oren serta berjalur putih pada tubuhnya. Pada bahagian perut mempunyai belang putih dan hitam. Kepalanya coklat dan pada hujung ekornya agak merah. Menurut sesetengah pakar ular, bisa ular ini tiada buat anti-venom buat masa sekarang. Hanya doa dan tawakal sahajalah yang ada.
Spesis yang hampir sama dengan ular ini ialah spesis Oligodon Spesis Oligodon tidak berbisa jika dibandingkan dengan spesis Calliophis. Namun, saya tidak tahu membezakan kedua-dua jenis ular ini. Lebih baik masukkan sahaja pesakit ke dalam wad untuk dipantau daripada didiscaj keluar dan tersalah rawat.
Saya sendiri hampir nak discajkan pesakit ini ke rumah disebabkan pesakit nampak tidak bersimptom teruk. Saya tak kenal jenis-jenis ular. Hanya mengenali ular sawa, ular tedung dan ular Naagin. Nasib baik terdetik hati buat rujukan kepada pasukan RECS.
Akhir kata, kalau jumpa ular yang tidak dikenali sama ada berbisa atau tidak janganlah kita beranikan diri bermesra dengannya melainkan kita betul-betul yakin ular tersebut tidak berbisa dan tidak memudaratkan. Nampak kiut kecil bukan bermakna tiada bisa tiada masalah.
-28 Oktober 2021
**kalau ada info salah, tolong betulkan. Terima kasih.



Monday 25 October 2021

Bintik-bintik ruam


Hari ini, terima satu rujukan kes yang menarik daripada jabatan kecemasan, zon kuning.
Seorang pesakit perempuan umur 50 tahun, datang ke hospital disebabkan gusi berdarah tak henti sejak semalam. Ia berlaku secara spontan, bukannya disebabkan cabut gigi ataupun jatuh terlanggar lantai atau sebagainya. Di masa yang sama, pesakit turut mengadu ada bintik-bintik ruam naik di kedua-dua belah kaki dan tangan. Kecil-kecil sahaja bintik ruamnya. Tak gatal, tak sakit.
Dia selama ini tak pernah masuk wad di mana-mana hospital sebelum ini. Sakit teruk pun tak pernah. Keluarganya juga tidak pernah alami penyakit sebegini.
Tiada simptom-simptom lain berlaku pada dirinya. Cukup dua simptom di atas. Demam, sakit perut, cirit-birit, batuk-batuk semua tiada. Makan minum seperti biasa sahaja. Berat badan sama sahaja.
Mulanya dia pergi ke klinik kesihatan, dan setelah didapati terdapat ketidaknormalan pada bacaan darahnya, dia dirujuk ke hospital untuk rawatan susulan. Ujian darah di klinik, bacaan darah plateletnya rendah iaitu 12 (normal 150 ke atas), manakala bacaan sel darah merah dan sel darah putih adalah normal.
Di zon kuning ini, aku bertemu dengan pesakit ini. Pesakit ini, dia selesa duduk di atas katilnya dan nampak sabar menunggu keputusan rawatannya. Pemerhatianku, dia tidak mempunyai sebarang tanda-tanda kelemahan badan atau apa-apa kesakitan.
Pemeriksaan badan pesakit ini aku lakukan secara ringkas sahaja, sekadar mencari apa-apa petanda klinikal yang penting bagi isu kesihatan semasa. Tiada hepatosplenomegaly. Tiada sakit-sakit sendi. Tiada palpable lymph nodes. Paru-paru, jantung kelihatan normal.
Ujian darah di hospital menunjukkan keputusan darah yang sama seperti di klinik sebelum ini. Plateletnya kini tinggal 4 sahaja. Sel darah merah 12, wcc 6.5, alc 0.8. Bacaan buah pinggang dan bacaan hati adalah normal. Test denggi negatif. Ujian air kencing belum keluar keputusan.
Setelah berbulan-bulan menghadapi kes Kovid-19, otak ini tumpul sekejap memikirkan diagnosis untuk penyakit yang dihadapi pesakit ini. Apakah punca darah plateletnya turun?
Penyakit auto-immune? Penyakit disebabkan kesan ubat-ubatan hospital atau jamu-jamu? Penyakit entah tak tahu kenapa (idiopathic)? Penyakit kanser? Atau penyakit buatan orang..?
Sedikit sukar untuk mengetahui diagnosis yang betul di waktu ini. Pesakit perlu masuk ke wad kerana bacaan platelets yang terlampau rendah. Rendah sebegini, mudah berlaku pendarahan. Masuk ke wad juga untuk kami lakukan ujian-ujian lanjutan untuk tahu punca masalah ini dan di masa yang sama memberi rawatan terhadap plateletnya.
Sebelum masuk ke wad, rujukan terhadap unit hematology juga dibuat. Input daripada pakar hematology perlu ada, lagi-lagi apabila hospital ini merupakan hospital utama untuk rujukan kes-kes berkaitan hematological disorder.
Jika anda pembaca merupakan seorang pesakit di atas, apakah yang anda fikirkan sekarang? Perasaan pula bagaimana?
Jika anda seorang doktor, apakah diagnosis yang bermain di fikiran anda?
-20 Oktober 2021



Dipatuk ular Calliophis Intestinalis.

  Beberapa hari lepas, saya ada menerima satu rujukan kes patukan ular. Kes patukan ular ini dirujuk daripada unit jabatan kecemasan kepada ...