Monday 25 October 2021

Bintik-bintik ruam


Hari ini, terima satu rujukan kes yang menarik daripada jabatan kecemasan, zon kuning.
Seorang pesakit perempuan umur 50 tahun, datang ke hospital disebabkan gusi berdarah tak henti sejak semalam. Ia berlaku secara spontan, bukannya disebabkan cabut gigi ataupun jatuh terlanggar lantai atau sebagainya. Di masa yang sama, pesakit turut mengadu ada bintik-bintik ruam naik di kedua-dua belah kaki dan tangan. Kecil-kecil sahaja bintik ruamnya. Tak gatal, tak sakit.
Dia selama ini tak pernah masuk wad di mana-mana hospital sebelum ini. Sakit teruk pun tak pernah. Keluarganya juga tidak pernah alami penyakit sebegini.
Tiada simptom-simptom lain berlaku pada dirinya. Cukup dua simptom di atas. Demam, sakit perut, cirit-birit, batuk-batuk semua tiada. Makan minum seperti biasa sahaja. Berat badan sama sahaja.
Mulanya dia pergi ke klinik kesihatan, dan setelah didapati terdapat ketidaknormalan pada bacaan darahnya, dia dirujuk ke hospital untuk rawatan susulan. Ujian darah di klinik, bacaan darah plateletnya rendah iaitu 12 (normal 150 ke atas), manakala bacaan sel darah merah dan sel darah putih adalah normal.
Di zon kuning ini, aku bertemu dengan pesakit ini. Pesakit ini, dia selesa duduk di atas katilnya dan nampak sabar menunggu keputusan rawatannya. Pemerhatianku, dia tidak mempunyai sebarang tanda-tanda kelemahan badan atau apa-apa kesakitan.
Pemeriksaan badan pesakit ini aku lakukan secara ringkas sahaja, sekadar mencari apa-apa petanda klinikal yang penting bagi isu kesihatan semasa. Tiada hepatosplenomegaly. Tiada sakit-sakit sendi. Tiada palpable lymph nodes. Paru-paru, jantung kelihatan normal.
Ujian darah di hospital menunjukkan keputusan darah yang sama seperti di klinik sebelum ini. Plateletnya kini tinggal 4 sahaja. Sel darah merah 12, wcc 6.5, alc 0.8. Bacaan buah pinggang dan bacaan hati adalah normal. Test denggi negatif. Ujian air kencing belum keluar keputusan.
Setelah berbulan-bulan menghadapi kes Kovid-19, otak ini tumpul sekejap memikirkan diagnosis untuk penyakit yang dihadapi pesakit ini. Apakah punca darah plateletnya turun?
Penyakit auto-immune? Penyakit disebabkan kesan ubat-ubatan hospital atau jamu-jamu? Penyakit entah tak tahu kenapa (idiopathic)? Penyakit kanser? Atau penyakit buatan orang..?
Sedikit sukar untuk mengetahui diagnosis yang betul di waktu ini. Pesakit perlu masuk ke wad kerana bacaan platelets yang terlampau rendah. Rendah sebegini, mudah berlaku pendarahan. Masuk ke wad juga untuk kami lakukan ujian-ujian lanjutan untuk tahu punca masalah ini dan di masa yang sama memberi rawatan terhadap plateletnya.
Sebelum masuk ke wad, rujukan terhadap unit hematology juga dibuat. Input daripada pakar hematology perlu ada, lagi-lagi apabila hospital ini merupakan hospital utama untuk rujukan kes-kes berkaitan hematological disorder.
Jika anda pembaca merupakan seorang pesakit di atas, apakah yang anda fikirkan sekarang? Perasaan pula bagaimana?
Jika anda seorang doktor, apakah diagnosis yang bermain di fikiran anda?
-20 Oktober 2021



No comments:

Post a Comment

Dipatuk ular Calliophis Intestinalis.

  Beberapa hari lepas, saya ada menerima satu rujukan kes patukan ular. Kes patukan ular ini dirujuk daripada unit jabatan kecemasan kepada ...