Sunday 19 September 2021

Habbatus Sauda untuk rawatan Kovid-19?

Seminggu dua ini, saya kerap kali jumpa bekas pesakit Kovid-19 yang datang ke klinik untuk rawatan susulan. Ramai antara mereka mula mengamalkan pengambilan Habbatus Sauda walaupun sudah sembuh sepenuhnya daripada penyakit Kovid-19. Soalan yang sering ditanya pesakit ini kepada kami, ‘Doktor, boleh tak nak ambil Habbatus Sauda ni? Betulkah Habbatus Sauda ni boleh merawat atau menghalang Kovid-19?’. 

Sebelum menjawah soalan ini, kita terlebih dahulu perlu tahu apakah Habbatus Sauda ini?


Habbatus Sauda merujuk kepada biji-biji yang diambil daripada sejenis tumbuhan bunga renek di negara-negara Asia Tengah dan sebahagian negara Eropah. Tumbuhan bunga ini tumbuh merata di sana, di Malaysia tiada. Bijinya kecil seperti biji sawi, berwarna hitam legam macam arang. Biji-biji ini juga dipanggil  jintan hitam (black cumin).. Habbatus Sauda ialah nama Arab, jintan hitam nama melayu. Nama ilmiah jintan hitam ni pula ialah Nigella Sativa (Nigella= hitam, Sativa= ditanam). Taip Nigella Sativa bersama perkataan COVID-19 di carian google, maka akan keluar beberapa kajian klinikal kegunaan jintan hitam dalam rawatan Kovid-19. 


Saya jumpa satu bacaan kajian klinikal yang dilakukan di Pakistan. (Boleh baca lebih terperinci melalui link yang tertera di senarai rujukan di bawah). Dalam kajian ini, terdapat dua kumpulan pesakit Kovid-19. Satu kumpulan menerima campuran madu dan jintan hitam, dan satu lagi kumpulan pesakit tidak menerima campuran madu dan jintan hitam (mereka terima placebo). Kedua-dua kumpulan pesakit ini turut menerima ubat rawatan umum Kovid-19 seperti ubat demam dan bantuan oksijen. 


Hasil kajian ini, madu campur jintan hitam ini dilihat mampu membantu pesakit Kovid-19 untuk sembuh dengan lebih cepat.
Kemungkinan  campuran madu dan jintan hitam ini menguatkan daya imuniti badan? Mungkin. 


Namun begitu, terdapat beberapa kekurangan kajian klinikal ini menyebabkan hasil kajian ini kurang enak dijadikan sebagai bukti kepada praktis perubatan moden di sini. 

  • tiada peer review, maka kuranglah pengkritik ilmiah terhadap kajian ini
  • saiz kajian yang kecil, hanya melibatkan sebanyak 313 pesakit Kovid-19
  • kajian multicentre tetapi terhad kepada pesakit di Pakistan sahaja, bukan multi-negara. Tiada kajian dilakukan di Malaysia (atau saya tak jumpa?). Separuh rakyat Malaysia gemuk obes, manakala rakyat Pakistan hanya suku sahaja gemuk obes. Obesity merupakan faktor risiko penting untuk severe COVID-19.
  • Jintan hitam dicampur dengan madu. Adakah hasil kajian ini disebabkan oleh penggunaan madu sahaja atau penggunaan jintan hitam sahaja atau efek sinergi kedua-dua bahan ini? 

Di Shoppee, saya ada jumpa sepaket kecil jintan hitam ini dengan harga kurang rm5. Murah juga. Dengan harga sebegini, saya fikir jintan hitam ini tidak ubah seperti rempah ratus lain seperti jintan putih, jintan manis, kunyit dan sebagainya. Makan je lah kalau betul-betul berkeinginan asalkan tidak membawa kemudaratan kepada diri. 


Yang anehnya, ada pesakit mengatakan dia membeli sebotol kecil jintan hitam dengan berharga berpuluh-puluh ringgit. Ada juga pesakit mengatakan dia membeli produk jintan hitam ini sehingga beratus-ratus ringgit sebulan. Tak pasti kenapa harga mencecah beratus ringgit, tapi pesakit kata produk jintan hitam ini juga dicampur dengan jus-jus buahan asli. Apakah disebabkan produk ini betul-betul hebat dapat merawat segala jenis penyakit yang menjadikannya mahal? Saya tak tahu. 


Sebagai doktor yang berkhidmat di KKM, saya bimbang jika ada pesakit mempratikkan amalan produk komersial yang ditambah aduk dengan bahan-bahan lain, seperti jus-jus buahan yang manis, atau lebih teruk ditambah dengan herba-herba yang mempunyai steroidal alkaloid. Steroid kita pantang dengar. Mana-mana pesakit yang mengambil steroid tanpa preskripsi ni memang kita akan basuh habis-habisan. Tahanlah telinga apabila berjumpa dengan kami. Pesakit yang ada latar belakang penyakit kronik seperti penyakit 3 serangkai akan bertambah teruk penyakit mereka jika termakan steroid haram ini. 


Sehubungan itu, beberapa soalan susulan saya akan tanya pesakit kembali apabila saya ditanya mengenai pengambilan produk jintan hitam. Syarikat mana pengeluar produk jintan hitam ini? Ada kelulusan KKM ke? Kalau ada, yakin sahih? 


Kalau produk jintan hitam yang dibeli itu selamat, dan pesakit sememangnya berkeinginan membelanjakan wang mereka dengan harga produk tersebut, maka teruskan sahajalah dengan hajat begitu. Sendiri tanggung.


Saya juga faham salah satu faktor pengamalan jintan hitam ini disebabkan faktor kepercayaan dan agama. Saya hayati isi perbincangan forum perdana ehwal islam 25 Februari 2021 dan artikel yang dipaparkan harakahdaily . Namun begitu, soal agama ini, saya kurang arif untuk berbincang. Saya harap mereka yang bertanya baca dan dengar sendiri perbincangan dari sudut agama tersebut. Hayati dan buat keputusan sendiri.  Link ada di rujukan, atau carilah mana-mana tokoh atau mereka yang lebih arif bab-bab agama dan kepercayaan untuk bertanya.  


Sebagai seorang doktor di KKM, saya akan tetap katakan tak perlu disebabkan jintan hitam masih tidak digunapakai sebagai ubatan rawatan Kovid-19 di mana-mana fasiliti KKM. Ianya tidak disebut langsung dalam mana-mana panduan rawatan klinikal Kovid-19 semasa daripada KKM. Dan saya wajib ikut panduan rawatan yang telah ditetapkan KKM. Lagipun, kita yang kurang penggalaman dan pengetahuan lebih senang sahaja mengikut panduan rawatan yang telah ditetapkan oleh pakar-pakar dan pegawai atasan KKM. Tak perlu sakit kepala. 


Jika suatu hari nanti terdapat satu kajian klinikal yang lebih kuat dan lebih bagus sehinggakan dapat meyakinkan kementerian kesihatan untuk memasukkan penggunaan jintan hitam ke dalam panduan rawatan Kovid-19, maka kami doktor akan sarankan. Di masa sekarang, tidak perlu. 


Akhir kata, terpulanglah atas pesakit nak rawat diri mereka sendiri bagaimanapun. Jika pesakit datang kepada saya bertanyakan adakah perlu dirinya mengambil jintan hitam ini dalam rawatan Kovid-19, saya akan kata tidak perlu. Lain doktor mungkin lain saranan. Lain masa mungkin lain amalan.


Sekian.


-19 September 2021


Rujukan:

  1. https://www.medrxiv.org/content/10.1101/2020.10.30.20217364v4.full-text
  2. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC8204995/
  3. https://www.greeners.co/flora-fauna/jintan-hitam-manfaatnya-dikenal-sejak-ribuan-tahun-silam/
  4. https://covid-19.moh.gov.my/garis-panduan/garis-panduan-kkm
  5. https://covid-19.moh.gov.my/garis-panduan/garis-panduan-kkm/ANNEX_50_POST_COVID-19_MANAGEMENT_PROTOCOL_12JULY2021.pdf
  6. https://harakahdaily.net/index.php/2020/12/30/covid-19-dr-zulkifli-sembuh-dengan-habbatussauda/
  7. https://harakahdaily.net/index.php/2021/03/15/pemahaman-lafaz-hadis-habbatussauda-penawar-segala-penyakit/
  8. https://www.youtube.com/watch?v=-9hNR5Oan6

No comments:

Post a Comment

Dipatuk ular Calliophis Intestinalis.

  Beberapa hari lepas, saya ada menerima satu rujukan kes patukan ular. Kes patukan ular ini dirujuk daripada unit jabatan kecemasan kepada ...