Wednesday 15 September 2021

Kategori 5 (Bahagian 2)

 ….(sambungan)

Kami bincang semasa sendiri, apa yang perlu kami lakukan sekarang. Akhirnya kami memutuskan untuk tunggu sebentar. Mengharapkan doktor bius tersebut ada kelapangan untuk hadir ke wad kami. Sementara itu, kami hubungi ahli keluarga pesakit dan memberitahu isterinya tentang keadaan semasa pesakit. Satu panggilan whatsapp video dibuat. Pesakit dan ahli keluarganya menatap wajah masing-masing dan berbicara sepenuh hati.
Sambil menunggu, saya pergi mengambil darah pesakit-pesakit lain bersama dengan seorang lagi doktor. Hanya seorang doktor sahaja terus memerhati keadaan pesakit tersebut, tidak turut serta aktiviti cucuk ambil darah pesakit. Dia doktor yang sama mula-mula masuk ke kubikel katil pesakit tadi.
Pesakit ini tidak boleh dibiarkan tanpa pemantauan, bila-bila masa sahaja dia boleh pengsan disebabkan kekurangan oksijen. Keadaanya tidak stabil. Kritikal.
Kami juga mengarahkan jururawat/ PPK wad untuk mengambil sebuah ventilator daripada ICU. Tiada guna masukkan tiub pernafasan jika tiada ventilator. Apabila tiada ventilator, kami perlu mengepam oksigen secara manual (bagging) dan ini dilakukan secara berterusan sehinggalah ventilator itu sampai. Penat. Oleh itu, kami hanya akan memasukkan tiub pernafasan sekiranya ventilator sudah ada di tepi katil pesakit. Di musim Kovid-19 mengganas ini, kami tiada daya nak bagging dari malam sampai ke pagi.
Satu jam kemudian, ventilator sampai ke wad. Segala kelengkapan untuk memasukkan tiub pernafasan juga sudah disediakan di tepi katil pesakit. Para jururawat turut serta menunggu dengan penuh sabar di tepi katil pesakit. Tunggu untuk memasukkan tiub pernafasan dan menerima arahan seterusnya daripada doktor bertugas.
Namun, kelibat doktor bius masih belum kelihatan. Saya menelefon kembali doktor bius tadi, meminta pertolongannya untuk masukkan tiub pernafasan kepada pesakit. Kami semua sudah sedia. Barang-barang semua lengkap di tepi katil.
Jawab doktor bius tersebut, “Hmm..he already has a severe OP (organising pneumonia) and he is 47 years old. He is not a candidate for intubation. We must prioritise young patients first. Sorry, kalau you nak intubate you intubate. I’m not going to intubate him.”
Eh, begitu pula jawabnya. Hati ini tiba-tiba rasa sedikit panas. Tak mengapa. Saya faham apa yang ingin disampaikan oleh doktor bius tersebut. Pesakit bukanlah seorang yang mempunyai prognosis yang bagus kalau ikut lojik semasa. Dengan jumlah ventilator yang terhad, pesakit berusia 45 tahun ke atas bukanlah pilihan untuk menerima bantuan ventilator. Pesakit muda lebih diutamakan.
Saya tidak pasti sejauh mana tekanan yang dihadapi oleh doktor bius di waktu pandemik ini, sehinggakan sanggup berkata begitu. Yang pasti, angka kes harian Kovid-19 melonjak tinggi sehingga beribu-ribu di waktu ini. Rata-rata hospital di Lembah Klang sudah kekurangan katil dan keperluan untuk menjaga pesakit Kovid-19 juga terhad. Katil di ICU sudah melebihi 100% penuh. Mereka doktor bius ini tentunya berada di tempat yang lebih sukar untuk membuat keputusan. Lebih-lebih lagi apabila hanya seorang sahaja doktor bius bertugas di waktu oncall dan dia perlu menerima panggilan rujukan-rujukan kes satu hospital.
Saya juga ada dengar cerita pesakit berusia 20 tahun lebih mati begitu sahaja disebabkan tiada ventilator. Pesakit bukan warganegara apatah lagi, tiada langsung peluang untuk menerima ventilator. Rujukan kes warga asing terus ditolak tanpa doktor yang dirujuk datang melihat pesakit. Namun, sama ada cerita-cerita tersebut sahih atau tidak saya tidak pasti.
Akhirnya, kami doktor di wad mengambil keputusan untuk memasukkan tiub pernafasan terhadap pesakit tanpa kehadiran doktor bius tersebut. Pesakit ditidurkan dengan ubat bius terlebih dahulu, dan seterusnya dimasukkan tiub pernafasan. Selepas ditiub, SpO2 pesakit berada di sekitar lebih 90%, kadang kala turun 85%-90%. Kadang-kala naik 95%-97%.
Hari ke hari, pesakit terlantar ditidurkan di wad Kovid-19. Wad ICU masih tiada kekosongan katil. Pesakit yang telah ditidurkan dan menggunakan ventilator pernafasan tidak wajar dibiarkan di wad biasa. Pesakit memerlukan pemerhatian rapi dari semasa ke semasa. Banyak perkara perlu dititiberatkan.
Pesakit yang ditidurkan berpanjangan memerlukan rawatan fisioterapi yang kerap dan berkala. Tubuh badan yang tidak bergerak mengundang komplikasi pressure sore. Sendi-sendi badan juga akan mengeras jika tidak digerakkan. Pesakit perlu diberi susu pemakanan melalui tiub pemakanan. Petanda hayat (vital signs) perlu dipantau rapi untuk elakkan sebarang keadaan yang tidak diingini. Mesin pemantauan rapi lebih lengkap di wad ICU.
Perkara-perkara seperti ini sukar dilakukan dengan kerap di wad Kovid-19 yang dipenuhi pesakit dan kekurangan staf. Akibatnya, perkara-perkara ini dilakukan secara kurang kerap. Sekali satu syif? Dua kali satu syif? Tiga kali?
Beberapa hari kemudian, sewaktu saya bekerja di syif pagi, seorang doktor bius yang memeriksa memberitahu pesakit ini sudah pun meninggal dunia. Walaupun nampak dada kembang kempis seperti bernafas, ia hanyalah disebabkan oleh ventilator sahaja. Anak mata pesakit dua-dua belah sudah kembang, tidak respon terhadap suluhan cahaya. Jantung tidak lagi berdetak, nadi tidak dirasa. Cardiac monitor juga tidak menunjukkan sebarang aktiviti-aktiviti degupan jantung. Assytole.
Punca kematian diberi; severe COVID-19 pneumonia category 5. Kurangnya oksijen di seluruh badan mungkin menjadi punca kematiannya. Tubuh badan memerlukan oksijen untuk kelangsungan hidup. Waktu kematian yang ditetapkan adalah berdasarkan waktu pemeriksaan fizikal yang dilakukan, walhal pesakit mungkin sudah pergi di waktu yang lebih awal daripada waktu pemeriksaan ini.
Berita kematiannya diberitahu kepada isterinya. Saya jugalah yang menelefonnya di waktu itu.
“Hai doktor, good morning!” - isterinya menyambut panggilan hospital dengan nada yang bersemangat, penuh positif dan gembira.
Mendengar sahaja suaranya, saya gamam sekejap memikirkan bagaimana cara hendak beritahu tentang kematian suaminya. Namun disebabkan kekangan masa dan hanya dua orang doktor bertugas di wad ketika itu, saya berterus terang sahaja selepas mendiamkan diri beberapa saat.
“Puan, saya minta maaf. Ada satu berita tidak baik yang perlu saya maklumkan. Suami Puan baru sahaja meninggal dunia sebentar tadi” Ringkas sahaja ucapan yang diberikan melalui telefon ini. Sebenarnya, cara ini adalah kurang tepat dan tidak wajar.
Isterinya terkejut. Nada manis gembira sebentar tadi terus berubah. Sekejap sahaja terdengar tangisan di hujung talian.
“Doktor bagaimana ni, saya seorang sahaja dengan dua anak kecil ni di rumah...sebelum ni, dia sahajalah yang kerja... jaga saya...camne saya nak hidup…” kata isteri pesakit tersebut. Saya hanya diamkan diri tanpa sepatah kata, memberi masa kepada si isteri untuk meluahkan segala isi hati dan fikirannya. Saya sebenarnya tidak tahu juga nak kata apa ketika ini. Talian telefon senyap sekejap tanpa sebarang tutur dari mana-mana pihak.
Beberapa detik kemudian, akhirnya si isteri bersuara lagi.
“Sorry doktor. Sorry. Apa yang perlu saya buat sekarang?”. Tiba-tiba nada suaranya kedengaran lebih tenang. Suaranya jelas, tidak lagi tergagap-gagap.

Hebat. Ternyata si isteri merupakan seorang yang tabah. Dalam masa sekejap sahaja dirinya mampu mengawal emosi dan berfikiran rasional. Saya terus menerangkan prosedur-prosedur yang perlu dilakukan selanjutnya. Apabila tiada lagi persoalan daripada si isteri, saya pun meletakkan ganggang telefon. Perbualan tamat.
Melalui perbualan sebentar tadi, saya terfikir isu sosial yang bakal dihadapi keluarga si mati. Seorang ibu muda, suri rumah sepenuh masa, tiada kerjaya dan mempunyai 2 orang anak kecil. Kewangan keluarga? Fikiran ini bermain sebentar sahaja di benak otak. Tiba-tiba datang seorang jururawat membawa carta ubat. “Doktor, tolong order ubat ni”.
Ubat saya orderkan dan selepas itu meneruskan kembali tugasan-tugasan lain yang masih berbaki.
Peristiwa ini masih segar di ingatan walaupun sudah berminggu-minggu berlalu. Suara si isteri dan setiap patah perkataannya semasa menjawab panggilan telefon masih tergiang-giang lagi di telinga ini. Sukar dilupakan. Mungkin akan terpahat di ingatan buat satu tempoh yang lama. Andai kata diri ini lupa akan peristiwa ini, moga catatan ini menjadi satu peringatan kepada diri di masa hadapan.
- 15 September 2021

No comments:

Post a Comment

Dipatuk ular Calliophis Intestinalis.

  Beberapa hari lepas, saya ada menerima satu rujukan kes patukan ular. Kes patukan ular ini dirujuk daripada unit jabatan kecemasan kepada ...