Wednesday 15 September 2021

Kategori 5 (Bahagian 1)

 Beberapa hari yang lepas saya menonton satu petikan video pendek yang berlegar di ruangan media sosial. Video pendek itu dikaburkan, namun dapat dilihat adanya seorang pesakit tua yang merangkak keluar daripada katil, tidak memakai bantuan pernafasan dan diakhiri dengan pemergiannya. Dikatakan bahawa peristiwa ini berlaku di sebuah hospital kerajaan, di sebuah wad Kovid-19. Perincian peristiwa ini tidak disertakan sekali di dalam video tersebut. Sukar untuk tahu cerita sebenar berdasarkan video pendek tersebut.

Kes sebegini sepastinya akan berlaku sekali sekala. Malah, penggalaman sendiri, kita melihat kes lebih teruk daripada yang ini.
Wad Kovid-19 bukan wad pemerhatian rapi dan intensif. Ia seperti wad umum biasa, yang memfokuskan rawatan penyakit Kovid-19. Sekiranya, pesakit Kovid-19 tidak stabil barulah pesakit akan dibawa masuk ke ICU Kovid-19 di mana adanya pemerhatian lebih kerap dan teratur. Pemerhatian terhadap pesakit di wad Kovid-19 biasa adalah secara berkala. Selalunya mengikut syif masa. Satu syif sekali dua. Jika perlu, pesakit akan diberi perhatian dengan lebih kerap namun bukan sekerap seperti di wad pemerhatian rapi.
Pengalaman saya di akhir bulan Jun 2021, saya melalui satu peristiwa yang kurang enak untuk diingati dan diceritakan. Saya bercerita di sini, bukanlah ingin membuka aib atau memburukkan keadaan. Hanya sekadar ingin menulis, supaya dapat memberi sedikit pengetahuan, pedoman dan iktibar kepada yang membaca. Saya juga berharap agar segala kekurangan yang berlaku dapat diperbaiki dan dielakkan daripada berulang di masa hadapan.
Seorang pesakit usianya awal 40-an, lelaki dan sihat tubuh badan sebelum ini telah dimasukkan ke wad Kovid-19. Dia dikategorikan tahap 4-5 dan memerlukan bantuan oksijen yang tinggi. High Flow Nasal Canula (HFNC).
Di wad ini, keadaannya tidak bertambah baik, malah diburukkan dengan komplikasi pneumothorax. Pneumothorax merupakan satu penyakit di mana terdapat satu ruang udara yang tidak sepatutnya ada di dalam ruang dada. Ruang udara ini bukannya wujud dalam paru-paru seperti orang biasa yang normal. Akibat terdapatnya ruang udara ini, tisu paru-paru akan ditolak mampat dan mengecil saiznya, mengakibatkan kurang pertukaran udara ke dalam darah di paru-paru tersebut. Untuk rawatan, satu tiub akan dimasukkan ke dalam ruang dada yang terlibat. Tiub ini akan dihala-tujukan ke kawasan udara tersebut. Ini bertujuan membuang udara itu keluar dengan harapan dapat mengembalikan saiz asal paru-paru. Tiub ini merupakan satu paip getah yang berdiameter satu jari orang dewasa. Pneumothorax dalam penyakit Kovid-19 kadang-kala berlaku apabila pesakit menerima bekalan oksijen tahap tinggi, seperti HFNC ini.
Satu tiub dada (chest tube) dimasukkan ke bahagian kanan dada pesakit ini. Selepas itu, pesakit tampak lebih tenang bernafas dan kurang laju. Walaubagaimanapun, nasib pesakit bertambah malang beberapa hari kemudian.
Saya masih ingat waktu ketika ini berlaku, waktu itu kami baru sahaja mula syif malam. Syif bermula jam 8 malam dan kami yang baru sahaja masuk ke dalam wad, dikejutkan dengan panggilan telefon daripada isteri pesakit. Dia mengatakan bahawa pesakit mengadu susah nafas. Isterinya sedang berada di rumah, bukannya di hospital. Wad Kovid-19 tidak boleh ada peneman pesakit di dalam wad. Sepatutnya kami petugas kesihatanlah yang patut mengetahui keadaan semasa pesakit terlebih dahulu, bukannya orang di luar. Pesakit telah menefelon isterinya terlebih dahulu.
Salah seorang daripada kami terus segera masuk ke kubikel di mana pesakit berada. Pakaian PPE dipakai, dan langkah-langkah penjagaan kendiri diamalkan sebaik mungkin. Setibanya tiba di katil pesakit, alangkah terkejutnya melihat keadaan pesakit. Pesakit sedang duduk mencangkung di bucu katil sambil tangannya memegang bantuan oksijen yang diambil pinjam daripada pesakit sebelahnya. Mukanya sedikit pucat, nafas laju kencang tapi tidaklah keterlaluan. Keadaannya jelas tidak stabil. Corong muka bantuan oksijen asal yang diberikan kepadanya sebelum ini terlantar di atas lantai. Ia dibiarkan terlantar begitu sahaja disebabkan tidak lagi berperanan memberi bantuan oksijen. Tak rasa oksijen katanya. Tiada gas. Ini yang dirasai pesakit apabila dia menggunakan corong muka lama itu. Nasib baik pesakit sebelahnya itu mampu bertahan tanpa sebarang bantuan oksijen. Tiada sesi pergaduhan merebut bantuan oksijen berlaku antara pesakit.
Kami pantas memeriksa keadaan pesakit ini. Tahap kesedarannya penuh, faham akan apa soalan yang kami ajukan dan mampu ikut segala butir arahan yang diberi. Nafasnya laju namun tidaklah keterlaluan. Bagi kami, dengan kadar pernafasan tahap ini dirinya mungkin boleh bertahan untuk seketika namun tak terlalu lama.
Tiub saluran ke dalam dada yang dimasukkan sebelum ini juga baru sahaja tercabut sewaktu detik-detik cemas berlaku tadi. Menurut pesakit sebelah, pesakit ini tiba-tiba mengadu susah nafas dalam 10 minit yang lalu dan memaklumkan bahawa tidak merasai bekalan bantuan oksijen. Dia yang merasa lemas dalam pernafasan terus bangkit dari katilnya dan berlari ke pesakit sebelah untuk meminta corong bantuan oksijen. Bantuan pernafasan yang dipakai jirannya itu diambil pakai untuk dirinya.
Di masa yang sama, dia mungkin lupa salur tiub dadanya turut disambung gantung di sebelah katilnya. Dia bangun berlari secara tergesa-gesa telah menyebabkan tiub ini tercabut daripadanya dadanya apabila gantungan tiub ini tidak dilepaskan terlebih dahulu. Mujurlah tiada pendarahan serius berlaku di lubang di mana tiub ini dimasukkan ke dadanya.
Selepas memeriksa pesakit, kami periksa mesin HFNC yang digunanya dan dapati ia tidak berfungsi dengan baik. Rosak dan tidak sesuai untuk diguna pakai. Mesin ini dipinjam daripada Jabatan Anes (Bius). Sehubungan itu, kami memaklumkan isu ini kepada doktor bius yang bertugas di masa itu. Keadaan pesakit juga dimaklumkan. Doktor bius tersebut menyuruh kami memberitahu staff teknikal ICU yang incaj terhadap mesin ini. Kami lakukan seperti yang diberitahu dan staff terbabit akhirnya datang memeriksa dan membaiki mesin tersebut tidak lama kemudian.
HFNC merupakan tahap bantuan oksijen paling tinggi ditawarkan wad Kovid-19. Pesakit yang menerima bantuan oksijen yang setinggi ini sememangnya tidak patut berada di wad Kovid-19. Pesakit perlu dipantau rapi. Namun apakan daya wad ICU sudah penuh, tiada lagi katil ketika itu. Jika bantuan oksijen HFNC ini tidak membantu, langkah seterusnya ialah menidurkan pesakit dan memasukkan tiub pernafasan ke dalam mulut hingga rongga pernafasan.
Sekitar jam 9.30 malam, mesin HFNC sudah pun dibaiki. Salur tiub dada yang baru juga dimasukkan ke dada pesakit. Hal ini disebabkan masih ada tersisa udara yang tak sepatutnya ada di dalam dadanya. Ini kami rumuskan berdasarkan pemeriksaan fizikal yang dilakukan oleh kami di waktu itu.
Setelah corong muka HFNC dipasangkan kembali, pesakit ini tidak menunjukkan tanda-tanda penambahbaikan. Dia masih bernafas laju. Melihat keadaan ini, kami rujuk kembali kepada doktor bius bertugas tadi. Pesakit perlu ditidurkan dan dimasukkan tiub pernafasan.
Berdasarkan keputusan perbincangan antara jabatan-jabatan di hospital untuk rawatan Kovid-19, tanggungjawab memasukkan tiub pernafasan ini perlu digalas oleh doktor bius. Rasionalnya di sini kerana doktor bius lebih berpenggalaman dan mahir dalam memasukkan tiub pernafasan ini. Doktor yang bertugas di wad mungkin ada yang tidak mahir melakukan prosedur ini. Terdapat juga doktor yang sudah lama berkhidmat di jabatan pengurusan ditarik masuk bertugas di wad Kovid-19.
Doktor-doktor yang sudah lama tidak terlibat servis klinikal menghadapi pesakit mungkin kurang fasih melakukan prosedur ini. Lagipun, memasukkan tiub pernafasan kepada pesakit Kovid-19 ada caranya tersendiri.
Prosedur memasukkan tiub pernafasan ini memberi risiko tinggi jangkitan Kovid-19 kepada doktor yang melakukannya. Jika panjang masa diluangkan, maka makin tinggi jugalah keberangkalian jangkitan Kovid-19 ini tersebar.
Doktor bius tersebut mengatakan bahawa dia sibuk menerima rujukan kes lain dan masih meniliti periksa pesakit di wad lain. Jawabnya juga, dia tidak boleh datang segera. Dia menyuruh kami doktor yang bertugas di wad ini untuk lakukan sendiri prosedur. Hanya dia seorang sahaja doktor bius (MO) bertugas di waktu oncall, menerima panggilan rujukan kes untuk satu hospital.
Doktor bius tak dapat datang. Sekarang, apa nak buat?
……………(akan disambung..)
- 2 September 2021

No comments:

Post a Comment

Dipatuk ular Calliophis Intestinalis.

  Beberapa hari lepas, saya ada menerima satu rujukan kes patukan ular. Kes patukan ular ini dirujuk daripada unit jabatan kecemasan kepada ...