Monday 28 June 2021

Tugasan pegawai perubatan (MO) di Wad Kovid-19.

Wad Kovid-19 mempunyai 3 orang pegawai perubatan (kebiasaannya MO kontrak) yang ditugaskan di satu masa. Seorang pakar, atau 2 orang pakar di masa yang sama. Jururawat pula dalam 4-7 orang, mungkin kurang, atau mungkin lebih mengikut keadaan semasa. Wad Kovid-19 tiada pegawai perubatan pelatih (HO), dan mereka tidak boleh ditempatkan di mana-mana wad Kovid-19 mengikut peraturan KKM. Wad Kovid-19 ini juga dihuni pesakit Kovid-19 sebanyak 35-40 orang.
Ini merupakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepada 3 orang pegawai perubatan tersebut, yang mana perlu dikongsi bersama antara 3 orang pegawai perubatan ini.

1. Memeriksa dan merawat pesakit Kovid-19.
Pesakit Kovid-19 di hospital selalunya terdiri daripada kategori 3 dan ke atas. Pesakit kategori 3 ini perlu di periksa 3 kali sehari. Setiap pesakit mengambil masa paling cepat tak sampai satu minit, jika pemeriksaan fizikal tidak dilakukan dan pegawai perubatan hanyalah bertanya khabar dengan beberapa soalan penting sahaja. Namun, seorang pesakit ada kalanya akan mengadu sesuatu masalah kesihatan tentang dirinya seperti susah nafas dan sebagainya. Pemeriksaan fizikal perlu dilakukan juga, dan ini sudah tentu mengambil masa sedikit.
Sesetengah pegawai perubatan membawa sehelai kertas kosong, dan mencatat apa jua perbualan dan pemeriksaan fizikal yang dilakukan bersama pesakit terbabit. Ini penting, kerana pegawai perubatan mungkin lupa apa yang disoal dan dilakukannya setelah pergi memeriksa pesakit seterusnya. Catatan ringkas yang ditulis akan ditulis kembali ke dalam fail pesakit nanti. Kami tidak boleh membawa fail pesakit ke dalam ruangan wad yang ditempatkan katil-katil pesakit.
Untuk habis rondaan memeriksa pesakit satu wad, mungkin memakan masa sekurang-kurangnya 30 minit hingga sejam lebih. Ini purata jangka masa yang digunakan bagi seorang doktor yang membuat rondaan memeriksa pesakit di dalam wad Kovid-19.
Sebenarnya, boleh sahaja untuk membuat rondaan ini kurang 15 minit pun boleh untuk ke semua pesakit. Kami masuk, tengok keadaan pesakit secara luaran tanpa periksa atau pun bertanya khabar. Yang mana tengah baring main fon tu, jalan ke tandas sendiri, boleh makan sendiri dan tengah bersantai tu kita anggap keadaannya baik-lah. Tak perlu periksa betul-betul. Persoalannya, bolehkan pesakit atau orang awam menerima servis perkhidmatan pegawai perubatan sebegini ke atasnya?
2. Menulis laporan harian pesakit.
Selalunya, kami mulakan tugas pagi kami di wad Kovid-19 dengan menulis laporan ringkas di fail pesakit sebelum bertemu dengan pesakit. Hal ini disebabkan kami ingin tahu latar belakang pesakit terlebih dahulu seperti latar belakang penyakit kronik, penyakit Kovid-19 hari ke berapa, keputusan-keputusan darah yang telah diambil di awal pagi. Ini penting supaya kami tahu apa yang perlu diberi perhatian semasa melawat periksa pesakit nanti.
Laporan awalan ini ditulis ringkas sahaja, dan akan ditambah kemudian apabila terdapat apa-apa isu selepas memeriksa pesakit. Setiap laporan ringkas ini mengambil masa sekurang-kurangnya 5 minit hingga 15 minit, terpulang kepada gaya rondaan yang dilakukan oleh pakar incaj.
Fail yang sama akan dikongsi dengan jururawat. Sekiranya para jururawat sedang melakukan pertukaran syif, fail pesakit ini sememangnya akan dipegang oleh para jururawat untuk tugasan petukaran syif mereka. Pegawai perubatan perlu bertolak ansur dalam hal ini, membiarkan para jururawat memegang fail tersebut.
Pesakit Kovid-19 kategori 3 ke atas memerlukan perhatian pemeriksaan sekurang-kurangnya 3 kali sehari, dan 3 kali laporan juga perlu direkodkan ke dalam fail pesakit. Kebelakangan ini, kami pegawai perubatan jarang sekali membuat laporan 3 kali sehari, hanya sekali atau dua kali sehari bagi setiap pesakit melainkan pesakit yang memerlukan perhatian yang lebih, laporan dibuat dengan kerap dari semasa ke semasa. Kurangnya catatan laporan kebelakangan ini disebabkan tugasan yang makin bertambah di dalam wad, dan kurangnya waktu untuk membuat laporan tersebut.

3. Mengambil darah pesakit.
Pesakit Kovid-19 kategori 3 dan ke atas, selalunya memerlukan ujian darah berkala sekurang-kurangnya sekali sehari. Darah nadi bertujuan untuk memeriksa kandungan oksijen dalam darah, dan darah-darah lain seperti bacaan buah pinggang, fungsi hati dan sebagainya.
Ujian darah pesakit Kovid-19 harian selalunya diambil di waktu malam oleh pegawai perubatan yang bertugas di syif malam. Kesemua pesakit di dalam wad perlu diambil darahnya. Satu wad mempunyai purata 40 orang pesakit, dan jumlah ini dibahagi kepada 3 orang pegawai yang bertugas.
Masalah timbul apabila pesakit enggan memberi kerjasama, urat darah yang susah, pemakaian PPE yang menyukarkan pegawai merasa keberadaan urat darah pesakit, atau isu-isu teknikal seperti kehabisan botol darah dan sebagainya. Pegawai perubatan bertanggungjawab memesan ujian darah dari sistem komputer, menampal label di botol ujian darah, dan menghantar ujian-ujian darah ini.
Masa yang diambil untuk mengambil kesemua darah di sebuah wad Kovid-19 ialah sejam hingga 2 jam. Bermandi peluh memakai PPE semasa mengambil darah pesakit adalah perkara biasa sahaja.

4. Melayan panggilan ahli keluarga.
Umum ketahui, ahli keluarga tidak dibenarkan untuk melawat pesakit di wad Kovid-19. Sesetengah pesakit tidak membawa fon pintar ke dalam wad untuk terus berhubung dengan ahli keluarganya, dan sesetengah mempunyai fon pintar namun tidak semestinya mereka mampu menghubungi ahli keluarga mereka.
Ahli keluarga akan tetap menelefon wad tanpa mengira waktu untuk bercakap dengan pegawai perubatan yang sedang bertugas. Mereka mahu mengetahui keadaan ahli keluarganya yang sedang dirawat di dalam wad Kovid-19 ini.
Kebiasaannya, mereka mengharapkan berita gembira daripada petugas kesihatan. Mereka bagaikan mengharap kami untuk berkata seperti ‘Puan jangan risau sangat, suami puan baik sahaja di dalam wad ini’. Hakikatnya, kami jarang sekali akan berkata sebegini. Walaupun keadaan pesakit sememangnya baik sahaja di dalam wad, kami tidak akan berkata seperti ini atau memberi apa-apa jaminan. Pesakit Kovid-19 di hospital hampir kesemuanya tidak baik keadaannya. Oleh sebab itu, mereka dimasukkan ke dalam hospital.
Panggilan daripada ahli keluarga tidak tentu masa dan waktu, dan kami menjawab sahaja panngilan ini. Jika kami mempunyai lebih waktu, kami memegang fon untuk bercakap lebih lama dan jika kurang waktu, kami akan bercakap ringkas sahaja. Penerangan yang ringkas mungkin akan tidak disukai oleh ahli keluarga tersebut, namun kami lakukan apa yang kami mampu. Kami sibuk dan kadang-kala tak mampu memenangi hati semua orang. Hati sendiri juga terabai.
Beberapa hari lepas, sedang saya berkhidmat di wad Kovid-19, saya menerima panggilan daripada seorang ahli keluarga pesakit. Namun, pesakit ini sudah lagi tiada di wad itu. Pesakit telah pergi beberapa hari sebelumya. Saya juga tidak mengenali si mati, dan tidak pernah merawat si mati. Panggilan ini saya layan sahaja. Ahli keluarga ini melahirkan rasa kesal dan terkilan kerana tidak dapat mengetahui saat-saat akhir keadaan pesakit sebelum pesakit pergi meninggalkan dunia. Mereka juga kesal kerana tidak dapat membuat panggilan video kali terakhir bersama pesakit.
Melayan emosi pesakit dan ahli keluarga pesakit ini ialah perkara biasa. Ketahanan mental mesti kuat, lagi-lagi apabila fizikal sudah penat dan melayan pesakit atau ahli keluarga yang cerewet dan beremosi.
Setiap panggilan daripada ahli keluarga pesakit mengambil masa perbualan sekurang-kurangnya 5 minit. Kadang-kala memakan masa yang lama.

5. Kerja-kerja admin
Tidak terhad kepada tugasan kedoktoran seperti yang diterangkan di atas, seorang pegawai juga dipertanggungjawabkan untuk melakukan kerja-kerja admin yang melibatkan perihal Kovid-19.
Sebagai contoh:
- Borang nofitifikasi penyakit Kovid-19
- Menulis kembali ringkasan dan rumusan sejarah pesakit di media whatsapp untuk dilanjutkan kepada pegawai-pegawai atasan seperti pegawai perunding perubatan, pegawai yang dirujuk dan sebagainya.
- Dokumen-dokumen kematian seperti borang daftar kematian, slides power point untuk perbincangan mengenai punca kematian, borang kematian Kovid-19 yang bertujuan untuk dihantar ke jabatan perangkaan/ statistik.


Kerjaya sebagai seorang pegawai perubatan di wad Kovid-19 ini boleh memenatkan mental dan fizikal. Di sini, saya kongsi jadual tugasan pegawai perubatan di wad Kovid-19. Cuti terhad untuk sehari, dan amat susah sekali untuk dibenarkan. Pegawai hanyalah tiga orang satu syif, dan mungkin berkurang kepada dua orang. Sekiranya salah seorang pegawai ini tidak berfungsi sepenuhnya, atau kurang pengetahuan dan kemahiran merawat, ini akan membebankan pegawai seorang lagi yang sedang berfungsi.

Hospital saya baru sahaja berubah status kepada Hospital Kovid-19 sepenuhnya. Sebelum ini merupakan hospital hybrid dan kami pegawai perubatan yang ada bergilir-gilir untuk menjaga wad Kovid-19. Cuti sedikit senang sebelum ini.

Saya kadang-kala membayangkan keadaan mereka yang sudah setahun lebih menjaga pesakit Kovid-19 seperti di hospital Kovid-19 sepenuhnya. Penat, letih dan lesu. Kebanyakan mereka terdiri daripada pegawai muda dan kontrak. Kerjaya kontrak sekarang tiada jaminan masa hadapan. Terdapat juga isu hartal doktor kontrak yang semakin tular di media sosial kebelakangan ini. Saya menyokong hartal, kod hitam anjuran MMA dan apa-apa jua pergerakan yang membantu meletakkan keadilan yang sepatutnya kepada petugas kesihatan.


Wednesday 16 June 2021

Binasa di SARI.

 


Wad SARI, merupakan wad saringan Kovid-19. Mana-mana pesakit baharu yang perlu dimasukkan ke wad biasa, perlu terlebih dahulu disaring di wad SARI. Lebih-lebih lagi pesakit yang datang dengan simptoms penyakit pernafasan atau penyakit berjangkit seperti batuk, demam, dan sakit dada. Setelah ujian calitan Kovid-19 negatif, barulah pesakit tersebut dihantar ke wad biasa atau wad-wad yang sepatutnya.
Suatu hari di wad SARI, terdapat satu pesakit yang sangat kritikal keadaanya. Pesakit ini berusia dalam lingkungan 40-50 tahun. Dia seorang lelaki bekerjaya dan sudah pun berkeluarga. Dia dimasukkan ke wad SARI disebabkan jangkitan paru-paru yang teruk, memerlukan bantuan mesin pernafasan. Ditidurkan dengan ubat sedatif dan rongga pernafasan dimasukkan tiub pernafasan.
Keadaan dia sangat kritikal, memerlukan ubat penguat tekanan darah secara berterusan. Tahap keadaannya tidak sesuai untuk dipantau di wad biasa. Dia perlukan pemerhatian secara intensif. Lebih tepat, dia memerlukan sebuah katil di wad ICU. Wad SARI ialah wad biasa, tidak mempunyai kelengkapan yang lengkap untuk dirinya. Namun, kesemua katil-katil di ICU sudah pun penuh dan dia terpaksa ditempatkan di wad SARI.
Ujian calitan Kovid-19 buat kali pertama adalah inconclusive, dan ujian ini diulang kali kedua. Keputusan kedua adalah negatif, tapi malangnya ada pula pesakit lain yang berada dalam kubikel sama dengannya positif ujian Kovid-19. Maka, dia perlu dibuat ujian Kovid-19 kali ketiga. Bimbang jika dijangkiti Kovid-19 oleh pesakit positif tersebut.
Katil kosong di ICU masih tiada, hanya terdapat dua bilik isolasi sahaja di ICU. Disebabkan status Kovid-19 pesakit ini masih belum dapat dipastikan, dia tidak boleh ditempatkan di ruang terbuka seperti pesakit-pesakit lain yang negatif Kovid-19 di ICU. Dia juga tidak boleh ditempatkan di wad ICU Kovid-19, kerana dia mungkin tidak mempunyai Kovid-19.
Waktu ini, keadaannya makin bertambah teruk di wad SARI. Buah pinggang dan bacaan fungsi hati menjukkan tanda-tanda kerosakan. Jumlah air kencing dikeluarkannya semakin sedikit dan sedikit. Akhirnya tidak mengeluarkan sebarang air kencing lagi. Ini menyebabkan bahan kumuhan badan tidak dapat dibuang melalui air kencing dan dia terpaksa jalani rawatan cuci pinggang menggunakan mesin. Sustained low-efficieny dialysis. Rawatan cuci pinggang ini dilakukan selang satu hari, namun tidak menunjukkan sebarang tanda pemulihan terhadap buah pinggangnya.
Di masa yang sama, bacaan fungsi hatinya juga bertambah teruk. Bacaan ALT daripada 67 naik mendadak kepada lebih seribu dalam masa beberapa hari sahaja. Bacaan fungsi hati juga menunjukkan petanda mungkin terdapat sesuatu halangan terhadap aliran keluar cecair di saluran hatinya. Keadaan ini memerlukan bantuan ultrasound untuk mengesan punca halangan ini.
Rujukan dibuat kepada doktor radiologi untuk ujian ultrasound ini. Malangnya buat pesakit ini, dia masih berstatus SARI dan pihak radiologi tidak mempunyai waktu tertentu yang dikhaskan kepada para pesakit SARI. Pesakit SARI perlu lalui protokol SARI jika hendak dihantar ke jabatan radiologi. Pesakit SARI dianggap pesakit Kovid-19 sehingga keputusan ujian Kovid-19 nya negatif. Oleh itu, pesakit SARI tidak boleh sewenang-wenangnya diletakkan secara terbuka dan terdedah kepada pesakit biasa. Staf-staf di jabatan radiologi perlu memakai pakaian PPE lengkap sewaktu menghadapi pesakit SARI dan pesakit SARI akan dielakkan bertembung dengan mana-mana pesakit lain di jabatan radiologi.
Akhirnya, disebabkan kekangan waktu dan lojistik, ujian ultrasound ini tidak dapat dilakukan di hari tersebut.
Wad sari ialah wad biasa. Tiada mesin ultrasound dalam wad SARI. Kalau ada pun, doktor di wad SARI bukanlah doktor yang pakar dalam bidang radiologi ini. Pesakit masih perlu turun ke jabatan radiologi juga untuk berjumpa doktor yang sepatutnya.
Hari berlalu silih berganti, katil kosong di ICU masih juga tiada. Beberapa hari kemudian, pesakit akhirnya pergi meninggalkan jasadnya. Pemerhatian terhadap pesakit di wad SARI tidaklah seperti pemerhatian di wad ICU. Wad SARI, seorang jururawat perlu menjaga lebih 5 orang pesakit dalam satu masa, kadang kalah mencecah lebih sepuluh orang pesakit. Ini berbeza dengan wad ICU, di mana seorang pesakit dijaga rapi oleh seorang jururawat.
Sewaktu pesakit ini dijumpai meninggal dunia, CPR telah dilakukan semampu mungkin untuk mengembalikan nyawanya namun pemergiannya sudah pun tertulis untuk selama-lamanya. Punca kematiannya ialah severe pneumonia with multiorgan failures. Jangkitan paru-paru yang teruk sehinggakan rosak fungsi organ-organ penting tubuh badan. Samaada pesakit ini positif Kovid-19 atau tidak, tidaklah dapat dipastikan. Ujian Kovid-19 ulangan di waktu pemergiannya masih belum keluar.

Penulisan ini ialah catatan penggalaman saya sendiri, sekadar untuk bercerita kepada yang suka membaca.

Saturday 5 June 2021

Kovid-19, Teknologi dan hospital di Ampang.

Wabak Kovid-19 banyak merubah landskap servis perkhidmatan hospital. Pelaksanaan ‘teleconference’ atau temujanji secara maya merupakan salah satu daripada perubahan yang berlaku.

Temujanji klinik di atas talian adalah suatu perkara yang baru. Pesakit tidak lagi perlu hadir ke hospital untuk bertemu doktor, sebaliknya berkomunikasi melalui telefon atau panggilan video sahaja. Pesakit bebas berada di rumah, atau di mana-mana sahaja asalkan mempunyai jaringan hubungan telefon dan internet. Sebelum wabak Kovid melanda, ini adalah sangat janggal jika ingin dilakukan, dan masih juga janggal apabila dilakukan ketika ini.

Perkhidmatan temujanji secara maya banyak dibahaskan di negara luar. Banyak persoalan yang timbul. Apakah berjumpa doktor di atas talian maya dikira ber-etika? Sejauh mana keberkesanan penjagaan kesihatan dan rawatan susulan penyakit itu dapat dipertiliti secara atas talian berbanding dengan cara tradisi, iaitu berjumpa doktor secara fizikal? Dan banyak lagi persoalan-persoalan yang timbul sehingga ada sebahagian para doktor berbahas mengenai topik ini di perbualan ilmiah.

Namun, disebabkan jumlah kes Kovid-19 semakin meningkat dari hari ke hari, hospital menghadapi beban yang sangat tinggi. Jumlah pesakit yang hadir ke hospital perlu dikurangkan bagi memberi laluan kepada pertambahan kes-kes Kovid-19 yang memerlukan perhatian rawatan di hospital.

Pesakit yang tidak kritikal disarankan untuk tidak hadir ke hospital. Mereka yang berpenyakit kronik tetapi tidak kritikal seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit kolesterol dan sebagainya diberi tempoh rawatan susulan yang lama. Jika dulu empat bulan, kini mungkin memakan masa selama 8 bulan hingga setahun.

Mereka yang berpenyakit kronik ini juga akan berisiko tinggi jika dijangkiti Kovid-19. Ramai pesakit Kovid-19 kategori 5 di rawatan rapi ICU terdiri daripada mereka yang mempunyai latar penyakit kronik. Mereka dalam keadaan kritikal, dan nyawa mereka ibarat telur di hujung tanduk. Bila-bila masa sahaja nyawa akan pergi meninggalkan jasad.

Justeru, mengelakkan mereka yang berpenyakit kronik hadir ke hospital merupakan salah satu cara merendahkan risiko mereka dijangkiti Kovid-19. Temujanji di atas talian adalah jawapannya. Ia merupakan salah satu cara yang diusulkan untuk mengatasi permasalahan kedatangan pesakit ke hospital, dan telah pun digunakan pakai kebelakangan ini.

Sesetengah pesakit penyakit kronik tidak boleh diberi tempoh temujanji yang lama. Mereka memerlukan temujanji dan ujian darah yang lebih kerap. Sebagai contoh, mereka yang mempunyai penyakit hormon thyroid tidak stabil mungkin memerlukan temujanji setiap 2 minggu atau setiap bulan di peringkat awal. Jika tidak, mereka bakal mempunyai komplikasi penyakit kronik andai kata diberi kurang perhatian semasa rawatan susulan.

Resam sesuatu yang baharu, pelaksanaan temujanji pesakit-doktor di atas talian ini bukan semudah yang dibahas dan diusulkan di meja perbincangan. Terdapat banyak masalah yang timbul.

Mereka di atas, mengarahkan mereka di bawah untuk adakan temujanji klinik secara di atas talian. Namun, kemudahan tidak diberikan. Kata dari atas, buatlah temujanji melalui Skype, Zoom, Telegram dan sebagainya. Hakikatnya, komputer komputer di hospital masih di zaman Windows XP dan Vista. RAM komputer paling tinggi pun 2gb. Sistem operasi membeku adalah perkara biasa. Ide-ide canggih penambahbaikan khidmat dan servis kesihatan seperti ini kita dengar sahaja, dan kita bawa ke trash bin.

Mereka di bawah walaubagaimanapun tidaklah memulaukan semua cadangan dari atas. Tidak semua cadangan ditolak. Temujanji secara atas talian? Boleh dilakukan. Mereka guna inisiatif sendiri. Pakai fon sendiri untuk menelefon pesakit. Fon hospital ada, tapi tak banyak, dan memerlukan sambungan kepada operator sebelum dapat mencapai panggilan terus kepada pesakit. Operator pula tidak sentiasa menjawab panggilan secara terus, kadang kala panggilan tidak bersahut. Kadang kala memakan masa. Sehubungan itu, demi kelangsungan pekerjaan dan servis perkhidmatan, mereka di bawah ini menggadaikan privasi nombor fon sendiri kepada pesakit. Bayar caj panggilan fon guna duit sendiri. Boleh-lah.

Hasilnya, temujanji secara atas talian dapat dilakukan, cuma tidak diketahui tahap keberkesanannya. Sepastinya, satu panggilan daripada pihak hospital sedikit sebanyak dapat membantu pesakit medapatkan perhatian tentang penyakitnya. Ini sudah tentu lebih baik daripada menunggu tarikh temujanji selama 8 bulan atau setahun, yang mana mungkin akan ditunda pula ke tarikh yang lebih lama.

Baru-baru ini, pihak kerajaan ada melancarkan satu program penambahbaikan teknologi komunikasi, yang dinamakan program Jendela. Tujuannya ialah memberi kemudahan internet yang laju kepada semua rakyat Malaysia. Iklan kelajuan rangkaian 5g ada mempamerkan seorang doktor bedah berkongsi video pembedahan secara ‘Live’ dan berdiskusi tentang pembedahan tersebut dengan doktor-doktor yang lain. Hebat. Jika ini dapat dilaksanakan seperti iklan, maka baguslah. Namun, melihat keadaan semasa dengan apa yang kami lalui sekarang, gambaran iklan tersebut mungkin akan terlaksana selepas 5 generasi kemudian.

Kami di hospital masih bersemangat dan cekal berkhidmat walaupun ditujah dengan kes-kes Kovid-19 yang kian meningkat. Khidmat yang sedia ada, kami sebaik boleh tidak ingin abaikan disebabkan wabak Kovid-19. Temujanji doktor-pesakit secara atas talian adalah baru dan memberi nafas baru kepada penambahbaikan servis perkhidmatan yang sedia ada. Banyak perkara yang perlu diperhalusi dan diberi perhatian lagi.

Akhir kata, kami sangat berharap agar mutu perkhidmatan hospital adalah seiring dengan perkembangan teknologi. Jika ada yang sudi membantu menaiktaraf teknologi lapuk di hospital, makan bantulah. Kalau boleh, kami ingin elakkan menekan papan kekunci Control+Alt+Delete setiap hari.

Sekian.

Dipatuk ular Calliophis Intestinalis.

  Beberapa hari lepas, saya ada menerima satu rujukan kes patukan ular. Kes patukan ular ini dirujuk daripada unit jabatan kecemasan kepada ...