Monday 28 June 2021

Tugasan pegawai perubatan (MO) di Wad Kovid-19.

Wad Kovid-19 mempunyai 3 orang pegawai perubatan (kebiasaannya MO kontrak) yang ditugaskan di satu masa. Seorang pakar, atau 2 orang pakar di masa yang sama. Jururawat pula dalam 4-7 orang, mungkin kurang, atau mungkin lebih mengikut keadaan semasa. Wad Kovid-19 tiada pegawai perubatan pelatih (HO), dan mereka tidak boleh ditempatkan di mana-mana wad Kovid-19 mengikut peraturan KKM. Wad Kovid-19 ini juga dihuni pesakit Kovid-19 sebanyak 35-40 orang.
Ini merupakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepada 3 orang pegawai perubatan tersebut, yang mana perlu dikongsi bersama antara 3 orang pegawai perubatan ini.

1. Memeriksa dan merawat pesakit Kovid-19.
Pesakit Kovid-19 di hospital selalunya terdiri daripada kategori 3 dan ke atas. Pesakit kategori 3 ini perlu di periksa 3 kali sehari. Setiap pesakit mengambil masa paling cepat tak sampai satu minit, jika pemeriksaan fizikal tidak dilakukan dan pegawai perubatan hanyalah bertanya khabar dengan beberapa soalan penting sahaja. Namun, seorang pesakit ada kalanya akan mengadu sesuatu masalah kesihatan tentang dirinya seperti susah nafas dan sebagainya. Pemeriksaan fizikal perlu dilakukan juga, dan ini sudah tentu mengambil masa sedikit.
Sesetengah pegawai perubatan membawa sehelai kertas kosong, dan mencatat apa jua perbualan dan pemeriksaan fizikal yang dilakukan bersama pesakit terbabit. Ini penting, kerana pegawai perubatan mungkin lupa apa yang disoal dan dilakukannya setelah pergi memeriksa pesakit seterusnya. Catatan ringkas yang ditulis akan ditulis kembali ke dalam fail pesakit nanti. Kami tidak boleh membawa fail pesakit ke dalam ruangan wad yang ditempatkan katil-katil pesakit.
Untuk habis rondaan memeriksa pesakit satu wad, mungkin memakan masa sekurang-kurangnya 30 minit hingga sejam lebih. Ini purata jangka masa yang digunakan bagi seorang doktor yang membuat rondaan memeriksa pesakit di dalam wad Kovid-19.
Sebenarnya, boleh sahaja untuk membuat rondaan ini kurang 15 minit pun boleh untuk ke semua pesakit. Kami masuk, tengok keadaan pesakit secara luaran tanpa periksa atau pun bertanya khabar. Yang mana tengah baring main fon tu, jalan ke tandas sendiri, boleh makan sendiri dan tengah bersantai tu kita anggap keadaannya baik-lah. Tak perlu periksa betul-betul. Persoalannya, bolehkan pesakit atau orang awam menerima servis perkhidmatan pegawai perubatan sebegini ke atasnya?
2. Menulis laporan harian pesakit.
Selalunya, kami mulakan tugas pagi kami di wad Kovid-19 dengan menulis laporan ringkas di fail pesakit sebelum bertemu dengan pesakit. Hal ini disebabkan kami ingin tahu latar belakang pesakit terlebih dahulu seperti latar belakang penyakit kronik, penyakit Kovid-19 hari ke berapa, keputusan-keputusan darah yang telah diambil di awal pagi. Ini penting supaya kami tahu apa yang perlu diberi perhatian semasa melawat periksa pesakit nanti.
Laporan awalan ini ditulis ringkas sahaja, dan akan ditambah kemudian apabila terdapat apa-apa isu selepas memeriksa pesakit. Setiap laporan ringkas ini mengambil masa sekurang-kurangnya 5 minit hingga 15 minit, terpulang kepada gaya rondaan yang dilakukan oleh pakar incaj.
Fail yang sama akan dikongsi dengan jururawat. Sekiranya para jururawat sedang melakukan pertukaran syif, fail pesakit ini sememangnya akan dipegang oleh para jururawat untuk tugasan petukaran syif mereka. Pegawai perubatan perlu bertolak ansur dalam hal ini, membiarkan para jururawat memegang fail tersebut.
Pesakit Kovid-19 kategori 3 ke atas memerlukan perhatian pemeriksaan sekurang-kurangnya 3 kali sehari, dan 3 kali laporan juga perlu direkodkan ke dalam fail pesakit. Kebelakangan ini, kami pegawai perubatan jarang sekali membuat laporan 3 kali sehari, hanya sekali atau dua kali sehari bagi setiap pesakit melainkan pesakit yang memerlukan perhatian yang lebih, laporan dibuat dengan kerap dari semasa ke semasa. Kurangnya catatan laporan kebelakangan ini disebabkan tugasan yang makin bertambah di dalam wad, dan kurangnya waktu untuk membuat laporan tersebut.

3. Mengambil darah pesakit.
Pesakit Kovid-19 kategori 3 dan ke atas, selalunya memerlukan ujian darah berkala sekurang-kurangnya sekali sehari. Darah nadi bertujuan untuk memeriksa kandungan oksijen dalam darah, dan darah-darah lain seperti bacaan buah pinggang, fungsi hati dan sebagainya.
Ujian darah pesakit Kovid-19 harian selalunya diambil di waktu malam oleh pegawai perubatan yang bertugas di syif malam. Kesemua pesakit di dalam wad perlu diambil darahnya. Satu wad mempunyai purata 40 orang pesakit, dan jumlah ini dibahagi kepada 3 orang pegawai yang bertugas.
Masalah timbul apabila pesakit enggan memberi kerjasama, urat darah yang susah, pemakaian PPE yang menyukarkan pegawai merasa keberadaan urat darah pesakit, atau isu-isu teknikal seperti kehabisan botol darah dan sebagainya. Pegawai perubatan bertanggungjawab memesan ujian darah dari sistem komputer, menampal label di botol ujian darah, dan menghantar ujian-ujian darah ini.
Masa yang diambil untuk mengambil kesemua darah di sebuah wad Kovid-19 ialah sejam hingga 2 jam. Bermandi peluh memakai PPE semasa mengambil darah pesakit adalah perkara biasa sahaja.

4. Melayan panggilan ahli keluarga.
Umum ketahui, ahli keluarga tidak dibenarkan untuk melawat pesakit di wad Kovid-19. Sesetengah pesakit tidak membawa fon pintar ke dalam wad untuk terus berhubung dengan ahli keluarganya, dan sesetengah mempunyai fon pintar namun tidak semestinya mereka mampu menghubungi ahli keluarga mereka.
Ahli keluarga akan tetap menelefon wad tanpa mengira waktu untuk bercakap dengan pegawai perubatan yang sedang bertugas. Mereka mahu mengetahui keadaan ahli keluarganya yang sedang dirawat di dalam wad Kovid-19 ini.
Kebiasaannya, mereka mengharapkan berita gembira daripada petugas kesihatan. Mereka bagaikan mengharap kami untuk berkata seperti ‘Puan jangan risau sangat, suami puan baik sahaja di dalam wad ini’. Hakikatnya, kami jarang sekali akan berkata sebegini. Walaupun keadaan pesakit sememangnya baik sahaja di dalam wad, kami tidak akan berkata seperti ini atau memberi apa-apa jaminan. Pesakit Kovid-19 di hospital hampir kesemuanya tidak baik keadaannya. Oleh sebab itu, mereka dimasukkan ke dalam hospital.
Panggilan daripada ahli keluarga tidak tentu masa dan waktu, dan kami menjawab sahaja panngilan ini. Jika kami mempunyai lebih waktu, kami memegang fon untuk bercakap lebih lama dan jika kurang waktu, kami akan bercakap ringkas sahaja. Penerangan yang ringkas mungkin akan tidak disukai oleh ahli keluarga tersebut, namun kami lakukan apa yang kami mampu. Kami sibuk dan kadang-kala tak mampu memenangi hati semua orang. Hati sendiri juga terabai.
Beberapa hari lepas, sedang saya berkhidmat di wad Kovid-19, saya menerima panggilan daripada seorang ahli keluarga pesakit. Namun, pesakit ini sudah lagi tiada di wad itu. Pesakit telah pergi beberapa hari sebelumya. Saya juga tidak mengenali si mati, dan tidak pernah merawat si mati. Panggilan ini saya layan sahaja. Ahli keluarga ini melahirkan rasa kesal dan terkilan kerana tidak dapat mengetahui saat-saat akhir keadaan pesakit sebelum pesakit pergi meninggalkan dunia. Mereka juga kesal kerana tidak dapat membuat panggilan video kali terakhir bersama pesakit.
Melayan emosi pesakit dan ahli keluarga pesakit ini ialah perkara biasa. Ketahanan mental mesti kuat, lagi-lagi apabila fizikal sudah penat dan melayan pesakit atau ahli keluarga yang cerewet dan beremosi.
Setiap panggilan daripada ahli keluarga pesakit mengambil masa perbualan sekurang-kurangnya 5 minit. Kadang-kala memakan masa yang lama.

5. Kerja-kerja admin
Tidak terhad kepada tugasan kedoktoran seperti yang diterangkan di atas, seorang pegawai juga dipertanggungjawabkan untuk melakukan kerja-kerja admin yang melibatkan perihal Kovid-19.
Sebagai contoh:
- Borang nofitifikasi penyakit Kovid-19
- Menulis kembali ringkasan dan rumusan sejarah pesakit di media whatsapp untuk dilanjutkan kepada pegawai-pegawai atasan seperti pegawai perunding perubatan, pegawai yang dirujuk dan sebagainya.
- Dokumen-dokumen kematian seperti borang daftar kematian, slides power point untuk perbincangan mengenai punca kematian, borang kematian Kovid-19 yang bertujuan untuk dihantar ke jabatan perangkaan/ statistik.


Kerjaya sebagai seorang pegawai perubatan di wad Kovid-19 ini boleh memenatkan mental dan fizikal. Di sini, saya kongsi jadual tugasan pegawai perubatan di wad Kovid-19. Cuti terhad untuk sehari, dan amat susah sekali untuk dibenarkan. Pegawai hanyalah tiga orang satu syif, dan mungkin berkurang kepada dua orang. Sekiranya salah seorang pegawai ini tidak berfungsi sepenuhnya, atau kurang pengetahuan dan kemahiran merawat, ini akan membebankan pegawai seorang lagi yang sedang berfungsi.

Hospital saya baru sahaja berubah status kepada Hospital Kovid-19 sepenuhnya. Sebelum ini merupakan hospital hybrid dan kami pegawai perubatan yang ada bergilir-gilir untuk menjaga wad Kovid-19. Cuti sedikit senang sebelum ini.

Saya kadang-kala membayangkan keadaan mereka yang sudah setahun lebih menjaga pesakit Kovid-19 seperti di hospital Kovid-19 sepenuhnya. Penat, letih dan lesu. Kebanyakan mereka terdiri daripada pegawai muda dan kontrak. Kerjaya kontrak sekarang tiada jaminan masa hadapan. Terdapat juga isu hartal doktor kontrak yang semakin tular di media sosial kebelakangan ini. Saya menyokong hartal, kod hitam anjuran MMA dan apa-apa jua pergerakan yang membantu meletakkan keadilan yang sepatutnya kepada petugas kesihatan.


No comments:

Post a Comment

Dipatuk ular Calliophis Intestinalis.

  Beberapa hari lepas, saya ada menerima satu rujukan kes patukan ular. Kes patukan ular ini dirujuk daripada unit jabatan kecemasan kepada ...