Beberapa hari lepas, saya ada menerima satu rujukan kes patukan ular. Kes patukan ular ini dirujuk daripada unit jabatan kecemasan kepada doktor medikal untuk kemasukan pesakit ke dalam wad medikal.
Saturday, 30 October 2021
Dipatuk ular Calliophis Intestinalis.
Monday, 25 October 2021
Bintik-bintik ruam
Sunday, 19 September 2021
Habbatus Sauda untuk rawatan Kovid-19?
Seminggu dua ini, saya kerap kali jumpa bekas pesakit Kovid-19 yang datang ke klinik untuk rawatan susulan. Ramai antara mereka mula mengamalkan pengambilan Habbatus Sauda walaupun sudah sembuh sepenuhnya daripada penyakit Kovid-19. Soalan yang sering ditanya pesakit ini kepada kami, ‘Doktor, boleh tak nak ambil Habbatus Sauda ni? Betulkah Habbatus Sauda ni boleh merawat atau menghalang Kovid-19?’.
Sebelum menjawah soalan ini, kita terlebih dahulu perlu tahu apakah Habbatus Sauda ini?
Habbatus Sauda merujuk kepada biji-biji yang diambil daripada sejenis tumbuhan bunga renek di negara-negara Asia Tengah dan sebahagian negara Eropah. Tumbuhan bunga ini tumbuh merata di sana, di Malaysia tiada. Bijinya kecil seperti biji sawi, berwarna hitam legam macam arang. Biji-biji ini juga dipanggil jintan hitam (black cumin).. Habbatus Sauda ialah nama Arab, jintan hitam nama melayu. Nama ilmiah jintan hitam ni pula ialah Nigella Sativa (Nigella= hitam, Sativa= ditanam). Taip Nigella Sativa bersama perkataan COVID-19 di carian google, maka akan keluar beberapa kajian klinikal kegunaan jintan hitam dalam rawatan Kovid-19.
Saya jumpa satu bacaan kajian klinikal yang dilakukan di Pakistan. (Boleh baca lebih terperinci melalui link yang tertera di senarai rujukan di bawah). Dalam kajian ini, terdapat dua kumpulan pesakit Kovid-19. Satu kumpulan menerima campuran madu dan jintan hitam, dan satu lagi kumpulan pesakit tidak menerima campuran madu dan jintan hitam (mereka terima placebo). Kedua-dua kumpulan pesakit ini turut menerima ubat rawatan umum Kovid-19 seperti ubat demam dan bantuan oksijen.
Hasil kajian ini, madu campur jintan hitam ini dilihat mampu membantu pesakit Kovid-19 untuk sembuh dengan lebih cepat.
Kemungkinan campuran madu dan jintan hitam ini menguatkan daya imuniti badan? Mungkin.
Namun begitu, terdapat beberapa kekurangan kajian klinikal ini menyebabkan hasil kajian ini kurang enak dijadikan sebagai bukti kepada praktis perubatan moden di sini.
- tiada peer review, maka kuranglah pengkritik ilmiah terhadap kajian ini
- saiz kajian yang kecil, hanya melibatkan sebanyak 313 pesakit Kovid-19
- kajian multicentre tetapi terhad kepada pesakit di Pakistan sahaja, bukan multi-negara. Tiada kajian dilakukan di Malaysia (atau saya tak jumpa?). Separuh rakyat Malaysia gemuk obes, manakala rakyat Pakistan hanya suku sahaja gemuk obes. Obesity merupakan faktor risiko penting untuk severe COVID-19.
- Jintan hitam dicampur dengan madu. Adakah hasil kajian ini disebabkan oleh penggunaan madu sahaja atau penggunaan jintan hitam sahaja atau efek sinergi kedua-dua bahan ini?
Di Shoppee, saya ada jumpa sepaket kecil jintan hitam ini dengan harga kurang rm5. Murah juga. Dengan harga sebegini, saya fikir jintan hitam ini tidak ubah seperti rempah ratus lain seperti jintan putih, jintan manis, kunyit dan sebagainya. Makan je lah kalau betul-betul berkeinginan asalkan tidak membawa kemudaratan kepada diri.
Yang anehnya, ada pesakit mengatakan dia membeli sebotol kecil jintan hitam dengan berharga berpuluh-puluh ringgit. Ada juga pesakit mengatakan dia membeli produk jintan hitam ini sehingga beratus-ratus ringgit sebulan. Tak pasti kenapa harga mencecah beratus ringgit, tapi pesakit kata produk jintan hitam ini juga dicampur dengan jus-jus buahan asli. Apakah disebabkan produk ini betul-betul hebat dapat merawat segala jenis penyakit yang menjadikannya mahal? Saya tak tahu.
Sebagai doktor yang berkhidmat di KKM, saya bimbang jika ada pesakit mempratikkan amalan produk komersial yang ditambah aduk dengan bahan-bahan lain, seperti jus-jus buahan yang manis, atau lebih teruk ditambah dengan herba-herba yang mempunyai steroidal alkaloid. Steroid kita pantang dengar. Mana-mana pesakit yang mengambil steroid tanpa preskripsi ni memang kita akan basuh habis-habisan. Tahanlah telinga apabila berjumpa dengan kami. Pesakit yang ada latar belakang penyakit kronik seperti penyakit 3 serangkai akan bertambah teruk penyakit mereka jika termakan steroid haram ini.
Sehubungan itu, beberapa soalan susulan saya akan tanya pesakit kembali apabila saya ditanya mengenai pengambilan produk jintan hitam. Syarikat mana pengeluar produk jintan hitam ini? Ada kelulusan KKM ke? Kalau ada, yakin sahih?
Kalau produk jintan hitam yang dibeli itu selamat, dan pesakit sememangnya berkeinginan membelanjakan wang mereka dengan harga produk tersebut, maka teruskan sahajalah dengan hajat begitu. Sendiri tanggung.
Saya juga faham salah satu faktor pengamalan jintan hitam ini disebabkan faktor kepercayaan dan agama. Saya hayati isi perbincangan forum perdana ehwal islam 25 Februari 2021 dan artikel yang dipaparkan harakahdaily . Namun begitu, soal agama ini, saya kurang arif untuk berbincang. Saya harap mereka yang bertanya baca dan dengar sendiri perbincangan dari sudut agama tersebut. Hayati dan buat keputusan sendiri. Link ada di rujukan, atau carilah mana-mana tokoh atau mereka yang lebih arif bab-bab agama dan kepercayaan untuk bertanya.
Sebagai seorang doktor di KKM, saya akan tetap katakan tak perlu disebabkan jintan hitam masih tidak digunapakai sebagai ubatan rawatan Kovid-19 di mana-mana fasiliti KKM. Ianya tidak disebut langsung dalam mana-mana panduan rawatan klinikal Kovid-19 semasa daripada KKM. Dan saya wajib ikut panduan rawatan yang telah ditetapkan KKM. Lagipun, kita yang kurang penggalaman dan pengetahuan lebih senang sahaja mengikut panduan rawatan yang telah ditetapkan oleh pakar-pakar dan pegawai atasan KKM. Tak perlu sakit kepala.
Jika suatu hari nanti terdapat satu kajian klinikal yang lebih kuat dan lebih bagus sehinggakan dapat meyakinkan kementerian kesihatan untuk memasukkan penggunaan jintan hitam ke dalam panduan rawatan Kovid-19, maka kami doktor akan sarankan. Di masa sekarang, tidak perlu.
Akhir kata, terpulanglah atas pesakit nak rawat diri mereka sendiri bagaimanapun. Jika pesakit datang kepada saya bertanyakan adakah perlu dirinya mengambil jintan hitam ini dalam rawatan Kovid-19, saya akan kata tidak perlu. Lain doktor mungkin lain saranan. Lain masa mungkin lain amalan.
Sekian.
-19 September 2021
Rujukan:
- https://www.medrxiv.org/content/10.1101/2020.10.30.20217364v4.full-text
- https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC8204995/
- https://www.greeners.co/flora-fauna/jintan-hitam-manfaatnya-dikenal-sejak-ribuan-tahun-silam/
- https://covid-19.moh.gov.my/garis-panduan/garis-panduan-kkm
- https://covid-19.moh.gov.my/garis-panduan/garis-panduan-kkm/ANNEX_50_POST_COVID-19_MANAGEMENT_PROTOCOL_12JULY2021.pdf
- https://harakahdaily.net/index.php/2020/12/30/covid-19-dr-zulkifli-sembuh-dengan-habbatussauda/
- https://harakahdaily.net/index.php/2021/03/15/pemahaman-lafaz-hadis-habbatussauda-penawar-segala-penyakit/
- https://www.youtube.com/watch?v=-9hNR5Oan6
Wednesday, 15 September 2021
Kategori 5 (Bahagian 2)
….(sambungan)
Kategori 5 (Bahagian 1)
Beberapa hari yang lepas saya menonton satu petikan video pendek yang berlegar di ruangan media sosial. Video pendek itu dikaburkan, namun dapat dilihat adanya seorang pesakit tua yang merangkak keluar daripada katil, tidak memakai bantuan pernafasan dan diakhiri dengan pemergiannya. Dikatakan bahawa peristiwa ini berlaku di sebuah hospital kerajaan, di sebuah wad Kovid-19. Perincian peristiwa ini tidak disertakan sekali di dalam video tersebut. Sukar untuk tahu cerita sebenar berdasarkan video pendek tersebut.
Sunday, 29 August 2021
Dailisis
Dailisis (ejaan Inggeris: dialysis) merupakan satu rawatan cuci darah yang ditawarkan kepada pesakit yang menggalami kerosakan fungsi buah pinggang teruk. Buah pinggang fungsinya untuk menapis dan mencuci darah. Jika buah pinggang rosak, maka darah tidak dapat ditapis dan akan dipenuhi dengan segala bahan kumuhan daripada badan. Darah juga akan menjadi semakin berasid, menyebabkan darah ini tidak optimum dan tidak sesuai untuk kegiatan bioloji sel-sel badan. Justeru, rawatan cuci darah adalah bertujuan mengembalikan keadaan darah kepada tahap yang normal dan stabil dengan harapan supaya pesakit dapat sembuh daripada apa-apa penyakit yang dialaminya.
Sunday, 8 August 2021
Vaksin dan Kovid-19.
Terdapat seorang pesakit lelaki berumur lingkungan 50-an, mempunyai latar belakang penyakit tekanan darah tinggi dan penyakit saluran darah jantung tersumbat. Dia telah pun menerima rawatan sewajarnya bagi saluran darah jantungnya dan masih mempunyai rawatan susulan di sebuah hospital besar di Selangor.
Pesakit ini sudah pun menerima 2 dos vaksin Pfizer, dos terakhirnya seminggu yang lalu.
Saturday, 31 July 2021
Hartal di Ampang
Isnin, 26/7/2021 jam 11 pagi, hartal dijalankan di Hospital Ampang. Hartal bermaksud mogok, dan mogok ini dilakukan oleh doktor-doktor kontrak. Ia satu kesepakatan yang dilakukan bagi menunjukkan rasa tidak puas hati dan protes ke atas sesuatu perkara. Dalam hal ini, Hartal merupakan satu protes dan tanda tidak puas hati terhadap sistem pelantikan kontrak.
Sebelum hartal dilakukan, tiada perancangan yang jelas daripada mana-mana pihak di sini. Ura-ura pelaksanaan Hartal tidaklah menjadi topik perbualan yang hangat dalam kalangan doktor-doktor kontrak di sini. Masing-masing hanya menumpukan kepada tugas kedoktoran dan kehidupan seharian sahaja. Keputusan membuat hartal seperti hanya dibuat sehari sebelum 26/7/2021, menerusi satu aplikasi perbualan di fon pintar. Di dalam aplikasi ini, hampir kesemua pegawai kontrak dimasukkan ke dalam satu grup perbualan yang memfokuskan tentang isu Hartal.
Di dalam grup perbualan aplikasi fon ini, lebih kurang 150 orang pegawai perubatan ditambah masuk. Jumlah ini bukanlah jumlah keseluruhan doktor kontrak yang berkhidmat di hospital ini. Kesemua mereka yang ada dalam grup perbualan ini adalah doktor kontrak. Mereka ditambah masuk ke dalam grup secara suka rela, bebas untuk kekal dalam grup perbualan atau keluar daripada grup perbualan ini. Daripada jumlah pegawai ini, hanya beberapa orang sahaja yang aktif berbual dan berbincang mengenai hartal. Ramai yang mendiamkan diri, sama ada mereka berasa khuatir, bimbang dan takut atau bersetuju dengan tindakan hartal tidaklah diketahui.
Amaran demi amaran daripada pihak atasan turut berlegar di grup perbualan yang lain, melarang pegawai kontrak untuk tidak terlibat dengan sesuatu aktiviti yang tidak selari dengan kehendak pihak berwajib.
Keesokannya 26/7/2021, cuaca di pagi hari mulanya agak muram dan kelihatan titisan air hujan sedikit demi sedikit menyembah bumi. Waktu ini, terdapat beberapa ahli dalam grup perbualan memutuskan tata cara sesi hartal. Di mana perlu berkumpul dan apa yang perlu dilakukan. Katanya, sesi demonstrasi aman akan dilakukan di jam 11 pagi, dan hanya untuk jangka tempoh masa tidak lebih daripada 30 minit. Ini bagi mengelakkan perkara tidak diingini daripada berlaku. Seperti hari sebelumnya, grup perbualan ini tidaklah begitu aktif disertai ramai orang. Hanya sekadar beberapa orang pegawai yang aktif bersuara di dalam grup perbualan ini. Jumlah mereka boleh dikira dengan jari.
Hujan yang renyai-renyai ini turut menambah keresahan kepada mereka yang berkeinginan untuk hartal.
Jam 11 pagi, cuaca akhirnya mula kembali cerah seolah-olah memberi restu kepada pegawai-pegawai ini. Tepat jam 11 ini masih belum kelihatan mana-mana kelompok pegawai berbaju hitam di lobi ataupun di hadapan bangunan hospital. Lima minit kemudian, barulah nampak satu demi satu pegawai berbaju serba hitam muncul tiba. Mereka turun keluar daripada wad seterusnya ke bahagian lobi hospital dan terus ke ruangan hadapan bangunan hospital.
Bilangan pegawai yang turut serta dalam hartal ini boleh dikatakan agak ramai juga, walaupun di awalnya tiada sambutan di dalam grup perbualan. Ia sesuatu yang tidak disangka. Hanya doktor-doktor kontrak sahaja muncul menyertai Hartal ini, manakala doktor-doktor berjawatan tetap mengambil alih tugas di wad.
Tidak sampai seminit berkumpul di hadapan ruangan hospital, pegawai-pegawai kontrak ini terus membuat satu barisan dan terus bergerak mengelilingi bangunan hospital. Bangunan hospital tidaklah begitu besar, dan tidaklah begitu kecil. Pergerakan kumpulan doktor kontrak mengelilingi separuh perimeter kawasan Hospital memakan masa tidak lebih sepuluh minit. Sekejap sahaja, sudah sampai ke belakang bangunan hospital. Belakang hospital ini kurang nampak daripada perhatian umum, jadi tidak mengacau laluan masuk keluar orang ramai ke hospital.
Apabila sampai di belakang bangunan ini, satu bentuk formasi pembarisan dibuat. Ini bertujuan untuk sesi pengambilan gambar dan rakaman video. Sebenarnya, sesi ini tidak begitu dirancang dengan teliti, disebabkan tiada jurugambar atau perakam video dilantik dalam kalangan peserta hartal ini. Terdapat juga beberapa individu-individu luar yang membawa kamera DSLR, dan ada juga antara individu-individu ini merakam peristiwa hartal ini menggunakan fon pintar masing-masing. Sama ada mereka ini daripada pihak pemberita atau wartawan tidak dapat dipastikan. Mereka tidak menunjukkan sebarang pengenalan diri. Akhirnya, seorang pegawai akhirnya menawarkan diri untuk merakam gambar dan video laungan hartal. Kata-kata untun dilaungkan juga turut diputuskan di waktu ini. Sesi ini benar-benar nampak seperti berlaku secara spontan.
Sesi di sini tidak sampai 10 minit. Setelah habis rakaman gambar dan video, kesemua pegawai ini bersurai kembali ke tempat masing-masing. Ada yang kembali ke wad mereka untuk menyambung tugas-tugas mereka. Ada juga yang hadir dari rumah, mereka ini tidak bertugas di waktu ini, dan terus pulang ke rumah mereka.
Jam 1130 pagi, aktiviti hartal ini sudah pun tamat. Malah ia sebenarnya telah pun tamat lagi awal daripada jam 1130 pagi. Tiada perkara yang tidak diingini berlaku di sini sewaktu Hartal ini berjalan.
Peristiwa Hartal di Ampang ini merupakan salah satu titik sejarah di dalam isu kesihatan negara. Hartal ini turut berlaku di beberapa hospital di seluruh negara di waktu yang sama. Hartal ini berjaya menarik perhatian dan reaksi daripada pelbagi pihak terhadap isu pelantikan kontrak ke atas petugas kesihatan.
Setiap pihak yang membaca, memerhati dan meniliti peristiwa Hartal ini bebas melontarkan pandangan dan reaksi masing-masing. Sama ada Hartal ini merupakan sesuatu yang positif, atau negatif, semuanya terpulang kepada mereka yang menilai.
Dipatuk ular Calliophis Intestinalis.
Beberapa hari lepas, saya ada menerima satu rujukan kes patukan ular. Kes patukan ular ini dirujuk daripada unit jabatan kecemasan kepada ...

-
Penulisan bidang perubatan dalam bahasa Melayu saya perhatikan tidak banyak ada di pasaran. Kalau ada pun karya-karya penulisan perubatan t...
-
Ini adalah asas. Memahami asas ini tidaklah mengambil masa yang panjang jika anda baru sahaja menceburi bidang fotografi tetapi mempunyai m...