Friday 23 January 2015

Oftalmoloji

Minggu ni minggu bermulanya posting ophthalmology. Bidang oftalmoloji ni merupakan satu cabang ilmu perubatan yang lebih menumpukan kepada bahagian mata dan struktur-struktur yang berada di sekitarnya. Posting ni tak lama, kejap je. 3 minggu sahaja. Dalam 3 minggu ni pula kami dijangka dapat menguasai ilmu-ilmu oftalmoloji asas yang membolehkan kami menjalankan tugas sebagai pegawai houseman sebaik sahaja tamat pengajian ijazah sarjana perubatan nanti.

Entri ini lebih kepada pengenalan sahaja. Memandangkan minggu ini minggu pertama posting oftalmoloji, tak banyak perkara dan cerita yang boleh dikongsi dekat entri ini. Niat hati nak bercerita tetapi tiada cerita lagi yang boleh dikongsikan. Penggalaman masih putik. Ilmu pun cetek. Kita kenal-kenal je la dengan oftalmoloji ni dulu. Nanti ada cerita kita cerita.

Jadi, kita sudah tahu oftalmoloji merupakan satu cabang perubatan yang khusus kepada bahagian mata dan struktur yang berda di sekitarnya. Perkataan oftalmoloji berasal daripada perkataan Greek, oftalmos yang bermaksud mata dan loji pula bermaksud pengajian. Gabung dua kata Greek ni kita akan dapat oftalmoloji. Oftalmoloji membawa maksud pengajian tentang mata atau lebih tepat lagi sains tentang mata.

Seterusnya, pengajian ilmu oftalmoloji ni mempunyai struktur atau silibusnya. Mula-mula kita akan belajar applied anatomi dan fisioloji mata secara umum. Selepas itu, kita akan belajar berdasarkan bahagian-bahagian tertentu yang ada pada mata. Sklera, konjanktaiva, lens dan sebagainya. Setiap bahagian mata ini akan mempunyai penyakitnya tersendiri seperti katarakt penyakit lens, konjanktaivaitis penyakit konjanktaiva dan sebagainya. 

Setakat ini, kami sudah pun belajar tentang anatami asas mata, penyakit katarakt dan glaukoma. Teori di kelas sahaja. Penggalaman klinikal masih tak cukup. Namun, saya yakin kalau rajin penggalaman klinikal dan penguasaan bidang oftalmoloji ni tak akan menjadi masaalah di India ni. 

Dalam kemahiran klinikal, kita mempunyai cara atau proforma untuk menghadapi pesakit yang datang dengan masalah mata. Pertamanya, pengambilan sejarah penyakit pesakit. Kedua, kita buat ujian penglihatan. Seterusnya, ujian yang lebih spesifik kepada struktur-struktur mata seperti direct ophthalmoscope, slit lamp dan sebagainya. Kalau ada masa, saya akan terangkan dengan lebih lanjut pasal performa pengambilan sejarah penyakit dalam oftalmoloji ini.

Akhir sekali, saya mahu kongsikan bagaimana kami pelajar perubatan akan dinilai tahap penguasaan ilmu kami. Memandangkan tempoh pengajian oftalmoloji ini pendek sahaja, maka kami akan dinilaikan berdasarkan penguasaan ilmu-ilmu asas oftalmoloji sahajalah kut. Saya harap begitu. Di akhir pengajian oftalmoloji ini, kami perlu menjawab soalan mcq dan beberapa on spot clinical examination. On spot clinical examination (OSCE) ni rasanya tak akan melibatkan pesakit, kalau libatkan pesakit juga tak akan menjadi satu masalah yang besar. Kalau tak silap, kami akan diarahkan untuk mendemonstrasikan langkah-langkah untuk membuat ujian fizikal ke atas pesakit seperti menggunakan direct ophthalmoscope atau menerangkan findings yang terdapat pada gambar fundus examination. Itu sahajalah kut. Nanti kalau ada salah, saya akan baiki atau updatekan sahaja di entri yang baru.

Tuesday 20 January 2015

Jangkitan kuman pada tulang.

Peperiksaan klinikal orthopedics selamat dijalani pada minggu lepas. Dengan berakhirnya peperiksaan ini maka berakhirlah posting orthopedics. Orthopedics merupakan salah satu posting yang sangat menarik bagi saya kerana perwatakan yang dimiliki oleh tenaga pengajar di sini. Entri kali ini, saya ingin berkongsi kisah penyakit yang dialami oleh pesakit saya waktu peperiksaan klinikal ini. (Untuk melindungi data peribadi pesakit, saya akan mengolah sedikit info sebenar tapi tidak akan mengubah fakta sains berkenaan penyakit yang dialami oleh pesakit)

Pesakit merupakan seorang remaja lelaki. Masih bersekolah. Umur dalam 14 tahun camtu.

Dia datang ke hospital dengan chief complain sakit di right upper arm. Sakit ni tak datang dengan tiba-tiba. Takda sejarah trauma pun. Takda jatuh, takda eksiden, takda patah tulang. Sakit ni datang slow-slow. Mula-mula sikit je sakitnya tapi sekarang sakit ni dah jadi teruk sampai dia tak mampu nak gerakkan lengan kanannya.

Cara saya nak approach patient ni cam biasalah, tanya sejarah sakit dia. Tanya bila start sakit, waktu bila sakit tu selalu ada dan sebagainya. Da tanya semua kita examine pula. Tengok skin dia kat bahagian sakit tu. Suruh dia gerakkan bahu, tengok bahu mobility dia.

Masa peperiksaan klinikal, patient da kena operate. Tapi masa awal-awal patient kena admit masuk hospital ni patient tak dapat gerak bahunya. Gerakan kat bahu ada beberapa jenis. Patient tak dapat gerak semuanya.

Masa tanya sejarah sakit ni, patient ada bagi tahu yang dia ada demam sekali. 2 tahun dengan 5 tahun lepas dia kena typhoid fever. Beberapa minggu sebelum dia sakit kat lengan tangan tu dia ada juga kena dengue fever. Demam yang dia ada waktu sakit tangan ni mungkin ada kaitan dengan demam yang dia ada sebelum ni dan mungkin juga disebabkan demam yang tiada kaitan langsung. Demam umumnya merupakan tanda terdapat sesuatu jangkitan pada badan.

Jangkitan dekat lengan dia ni, jangkitan yang baru ke atau yang da lama? Besar kemungkinan jangkitan lama yang sudah ada pada badan.

Apa-apa pun, sakit di lengannya perlu perhatian perubatan dan rawatan segera. Kalau tidak, keadaan mungkin menjadi lebih teruk.

Habis tanya pasal sejarah sakit dan buat pemeriksaan fizikal semua ke atas patient. Sekarang kena pula presents kat examiner kes patient ni. Present la dari awal. Siapa pesakit ni, apa masalah dia, awal-awal sakit ni camne dan sebagainya. Habis present examiner tanya, 'what is your diagnosis for this patient?'

Secara klinikal, saya jawab la osteomyelitis (jangkitan pada tulang), dan septic arthritis. Soft tissue infection tak boleh bagi sebab takde pula luka atau merah-merah kat kulit tu. Tumour tulang tak boleh bagi juga sebab ada demam.

Soalan lanjutnya examiner tanya bagaimana nak confirm diagnosis tu. Maksudnya, investigations apa nak dibuat. Saya jawab je yang basic cam blood profile, esr etc. Pastu jawab nak buat x-ray bahagian kat sakit tu. Examiner pun bagi la gambar x-ray, suruh terangkan findings. Tak susah pun. Jelas nampak satu bulatan kat tulang humerus tu. Bulatan ni tak sepatutnya ada kat situ. Soal-jawab soal-jawab akhirnya pun habis.

Penyakit jangkitan tulang ni boleh membawa komplikasi yang lebih teruk kalau tidak dirawat. Komplikasi boleh dibahagikan kepada komplikasi lokal dan komplikasi sistemik atau berdasarkan jangka masa, komplikasi awal dan komplikasi lambat. Antara komplikasi-komplikasi yang boleh berlaku adalah patah tulang, lengan kiri dengan lengan kanan tak sama panjang, kecacatan rupa lengan, dan sepsis.

Friday 16 January 2015

Hilang jari kaki kerana terpijak batu kecil.

Pesakit merupakan seorang lelaki tua. Umur da lebih 60 tahun. Di wajahnya jelas kelihatan urat-urat penggalaman hidupnya. Dia datang ke hospital kerana ibu jarinya bertukar warna ke warna hitam dan makin kehilangan fungsi. Sakit juga pada kaki katanya, menyebabkan dia sukar untuk berjalan. Sebab itulah dia datang ke hospital ni.

Kami pun bertanyalah kepada pakcik tu bagaimana keadaan ini boleh terjadi. Katanya, ibu jari kakinya dulu pernah luka. Setahun yang lepas, dia ada bekerja di sawah padi. Dia seorang petani. Waktu itu, tak tahulah bagaimana silapnya tapi dia ada terpijak batu kecil di sawah sambil-sambil bekerja. Akibatnya, dia dapati ada sedikit luka di jari kakinya. Tak besar sangat pun luka tu, kecil sangat. Dia pun biarkan je lah. Harapnya, luka tu akan sembuh sendiri.

Walaubagaimanapun, luka itu tidak juga sembuh-sembuh. Makin hari makin bertambah saiz luka tu. Saiz luka membesar sangat perlahan. Takda lah cepat sangat. Kalau tidak, memang awal-awal da pakcik ni pergi klinik atau hospital jumpa doktor. Lama kelamaan luka makin besar dan membimbangkan. Anehnya, pakcik ini tidak pula mengatakan luka ini memberikan kesakitan yang melampau kepadanya. Dia pun senang sahaja mencuci lukanya ini. Cumanya, luka ni tak juga sembuh-sembuh.

Sampai satu tahap, ibu jari kakinya mula berubah warna. Kehitaman. Pakcik ni apa lagi, kebimbangannya menjadi telah pun menjadi kenyataan. Saat ini, dia terus pergi ke hospital untuk jumpa doktor.

Nasib tidak menyebelahinya, doktor mendapati ibu jari kakinya gangrene. Sudah mati. Sudah tiada fungsi. Akhirnya, pihak hospital terpaksa mengambil keputusan untuk amputate bahagian tersebut. Jika tidak, bahagian jari kaki ni akan menjadi bahan makanan bakteria yang mana akan menyebabkan lebih banyak komplikasi kepada badan pesakit.

Pada masa yang sama, waktu inilah pak cik tersebut baru mengetahui dirinya mempunyai penyakit kencing manis. Sebelum ini, tidak pernah sekali pun dia pergi check status dan tahap kandungan gula dalam darahnya. Tak pernah.

Kebanyakan orang tidak akan menguji kandungan gula dalam darahnya sehinggalah sesuatu masalah kesihatan berlaku padanya. Kencing manis itu sendiri merupakan satu penyakit yang kadang-kala tidak mempunyai simptom-simptom yang jelas. Tiada demam, tiada batuk, tiada gejala yang memaksa pesakit untuk berjumpa doktor. Akibatnya, ramai antara kita mungkin ada penyakit kencing manis secara senyap-senyap.

Nasib pak cik ini makin bertambah malang apabila luka pembedahan dia tidak sembuh-sembuh dan dijangkiti bakteria lagi. Pendek cerita, kakinya yang dulu hanya dipotong satu jari terpaksa dipotong dua lagi jari bersebelahan ibu jari yang dipotong buang dahulu.

Hanya kerana tersepak batu kecil di sawah, pak cik ni terpaksa dipotong tiga jari kakinya. Orang yang sihat kalau luka kecil tersepak batu-batu kecil akan terus sembuh dalam masa 1-2 hari. Pesakit kencing manis lain pula jadinya.

Pengajaran di sini, kita kalau ada kelapangan masa rajin-rajinkan diri pergi berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan kesihatan walaupun diri tidak mempunyai sebarang simptom-simptom sesuatu penyakit. Lebih-lebih lagi kalau sudah berumur lebih 35 tahun. Banyak lagi penyakit senyap yang dialami oleh mereka yang berusia tanpa sebarang petanda yang jelas.

Saturday 10 January 2015

Jadi doktor?

Dulu waktu lewat remaja, kerjaya doktor ni memang dipandang tinggi. Belajar medik pula dianggap sesuatu pelajaran yang sukar dan tidak semua orang mampu melangkah kaki ke institusi pengajian sains perubatan. Ini pandangan waktu lewat remaja. Waktu di mana diri masih mentah dan kurang penggalaman hidup.

Namun, sekarang kita sudah pun bergelar pelajar perubatan. Tahun 4 pengajian. Banyak ilmu sudah ditimba dan masih banyak lagi ilmu yang perlu ditimba. Penggalaman pun makin bertambah. Persepsi terhadap kerjaya doktor perubatan sudah pun berubah. Berubah kerana kini sudah mengetahui sikit sebanyak hakikat sebenar tentang kehidupan sebagai doktor perubatan. 

Serba salah. Inilah apa yang dirasai sekarang. Kerjaya doktor yang difikir menarik untuk dikecapi dulu berubah. Pada kebanyakan masa, diri akan mempersoalkan tindak tanduk diri sendiri. Betulkah pilihan diri ini? Adakah ini pilihan terbaik untuk kehidupan masa hadapan? Kebanyakan persoalan yang timbul akan dijawab dengan jawapan negatif. 

Nak jadi doktor?

Belajar sains perubatan memang tidak dapat dinafikan ianya satu penggalaman yang sangat sangat berharga. Menarik untuk tahu sebab-sebab berlakunya sesuatu penyakit. Mengapa orang boleh kena penyakit kencing manis? Dia ni dulu kuat makan gula ke? Ke dulu jenis malas nak exercise badan? Duduk makan tidur dan kerja ofis je. Sebab ni ke yang bagi dia kencing manis? Belajar perubatan menjawab soalan ni dengan jelas dan secara saintifik. Lebih dari ini, belajar medik memang kadang-kadang mencabar minda seperti membuat diagnosis. Kadang-kadang kita tersalah buat diagnosis kerana pesakit tidak jujur memberi maklumat diri, tak pun asas sains perubatan yang ada pada diri masih tidak mencukupi. Kadang-kadang masalah bukan pada pesakit atau diri sendiri tetapi pada penyakit itu sendiri. Presentation penyakit tu tak sama macam biasa. Lain sikit cara dia present kat kita. Inilah contoh cabaran minda dalam bidang medik. Mencabar minda ni best bagi yang suka. Pendek kata, belajar medik memang best.

Walaubagaimanapun, hidup ni bila sudah besar bukan sekadar untuk belajar. Ada tanggungjawab lain, ada minat lain. Belajar hanyalah salah satu tanggungjawab dan minat dalam kehidupan. Di luar sana, banyak lagi perkara-perkara yang menarik belum kita cubai. 

Jadi doktor kena korbankan banyak masa peribadi. Sekarang baru bergelar pelajar perubatan tapi sudah terasa bebannya. Satu minggu 6 hari kelas. Kelas pula dari pagi sampai petang. Malam pula kena ulang kaji balik apa yang sudah dipelajari di siang hari. Nanti kalau da jadi doktor pula kena kerja overtime semua. Nampak gaya lebih teruk daripada jadi medikal student. Bila la nak dapat masa untuk buat benda lain? Nak travel...nak tengok dunia. Mampu ke nanti?

Bila da graduate nanti bila da jadi doktor, hidup akan lebih sibuk. Ada on-call, ada cpc da macam-macam lagi. Dengar cerita, ada houseman yang tak sempat check atm pun selama beberapa bulan kerana kesibukan masa. Hidup doktor memang hidup untuk menjaga kebajikan kesihatan jer. Aspek lain dalam kehidupan bagaimana? Harap-harap ada la peluangnya. Sekarang masih lagi pelajar perubatan. Bukan seorang doktor. Jadi, tak boleh kata secara pasti apa yang akan berlaku nanti.

Nak jadi doktor?

Entahlah. Susah nak buat kata putus. Kadang-kadang rasa lebih baik jangan fikir tentang hal ini. Teruskan sahaja buat apa yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita. Setakat ini, tiada tuntutan yang mengarahkan diri untuk berhenti apa yang dipertanggungjawabkan. Jadi doktor, anggap sahaja sebagai amanah dan bukan hanya setakat satu minat atau kerjaya hidup.

Dipatuk ular Calliophis Intestinalis.

  Beberapa hari lepas, saya ada menerima satu rujukan kes patukan ular. Kes patukan ular ini dirujuk daripada unit jabatan kecemasan kepada ...