Monday 1 September 2014

3 asas yang penting dalam fotografi. (ISO, Shutter speed, Aperture)

Ini adalah asas. Memahami asas ini tidaklah mengambil masa yang panjang jika anda baru sahaja menceburi bidang fotografi tetapi mempunyai minat yang mendalam. Penulis sendiri hanya mengambil masa tidak sampai sebulan untuk memahami 3 asas penting ini. Di sini, suka penulis untuk berkongsi kefahaman penulis terhadap 3 asas ini. ISO, shutter speed, dan aperture.

ISO ini kalau nak ditafsirkan kepada bahasa mudah ialah tahap kepekaan DSLR terhadap cahaya. Semakin tinggi ISO semakin peka DSLR terhadap cahaya. Contoh, kita ingin mengambil satu gambar pada waktu malam, tapi apabila kita ambil gambar tersebut kita dapati gambar kita tidak mempunyai kecerahan yang memuaskan. Imej di dalam gambar gelap. Model kita yang tersenyum di depan kamera sebentar tadi tidak mempamerkan sebarang senyuman dalam gambar yang kita tangkap tadi. Hitam sahaja. Sedangkan mata kita elok sahaja melihat senyuman model tersebut melalui viewfinder DSLR. Jadi, masalah di sini mungkin disebabkan tahap nilai ISO kurang sesuai dengan cahaya persekitaran. Oleh itu, kita tingkatkan sahaja nilai ISO, dan cuba perhatikan hasil tangkapan gambar terbaru. Hasilnya, gambar terbaru ini tentu sekali berjaya memberikan kecerahan yang memuaskan terhadap gambar yang dihasilkan. Senyuman model akan lebih jelas terpancar buat kali ini. Tak lah hitam sahaja.

Seterusnya, tentang shutter speed. Shutter speed ini, mudah tafsirannya ialah kepantasan DSLR kita menangkap cahaya. Semakin tinggi shutter speed, semakin pantas DSLR kita menangkap cahaya. Objek yang bergerak laju akan tampak seolah-olah beku tidak bergerak di dalam gambar. Perkara sebaliknya berlaku sekiranya kita kurangkan shutter speed di DSLR kita. Cubalah sendiri tangkap gambar dengan pelbagaian shutter speed. Pasti kita akan nampak beza hasilnya. Satu lagi perkara penting tentang shutter speed ini ialah mengenai jumlah cahaya yang kita tangkap. Jika kita naikkan shutter speed, maka ini menjadikan DSLR kita pantas menangkap cahaya tapi jumlah cahaya yang ditangkap adalah sedikit. Ini menyebabkan gambar kita kekurangan cahaya dan hasilnya gambar kita tidak mempunyai kecerahan yang diimpikan. Ada kalanya, kita perlu kurangkan shutter speed supaya kurang pantas DSLR kita menangkap cahaya. Hasilnya, lebih banyak cahaya yang akan menerombos lens DSLR dan ini sepastinya akan memberikan kecerahan yang kita impikan terhadap gambar kita.

Akhir sekali, tentang aperture. Aperture ini lebih tertumpu kepada lens yang digunakan. Setiap lens mempunyai kadar aperture tertentu. Aperture merujuk kepada kemampuan lens dalam membenarkan jumlah cahaya yang boleh menerombos lens pada satu masa. Pendek kata, cuba bayangkan anak mata kita sendiri. Pernah nampak tak anak mata kita membesar sekiranya kita berada dalam bilik gelap dan mengecil apabila kita berada di tempat cerah. Konsep yang sama digunakan pada aperture ini. Kita besarkan aperture untuk membenarkan banyak cahaya masuk ke dalam DSLR kita bagi menambahkan kecerahan gambar kita. Kita kecilkan aperture untuk kurangkan kecerahan gambar kita. Begitulah secara ringkas tentang aperture. Namun, bacaan aperture di setting DSLR adalah terbalik. Aperture akan semakin luas terbuka apabila kita kurangkan nilai bacaan aperture di setting DSLR dan sebaliknya. Mengapa begitu? Penulis tidak tahu. Tapi ingatlah tentang nilai bacaan ini. Ianya terbalik.

Baiklah, ketiga-tiga asas ini penting dalam bidang fotografi. Ingat, ini asas fotografi. Tanpa memahami asas ini, penulis berani mengatakan bahawa seseorang fotografer tidak akan berjaya dalam bidangnya. Usah bimbang jika anda masih kurang faham mengenai ketiga-tiga asas ini. Nasihat penulis, selalulah bermain dengan DSLR anda. Banyak latihan, banyaklah penggalaman. Banyak penggalaman, banyaklah pemahamannya. Apa yang ditulis oleh penulis di atas pun belum betul-betul lengkap huraiannya. Mungkin penulis akan banyak lagi menulis berkenaan ketiga-tiga asas fotorgrafi ini di masa hadapan.

No comments:

Post a Comment

Dipatuk ular Calliophis Intestinalis.

  Beberapa hari lepas, saya ada menerima satu rujukan kes patukan ular. Kes patukan ular ini dirujuk daripada unit jabatan kecemasan kepada ...