Tuesday 2 September 2014

Ada apa dengan rasis (racist) ?

Kebelakangan ini, sering sahaja aku lihat isu-isu berkaitan dengan ketegangan hubungan etnik terpampang di kaca skrin komputerku. Ke mana sahaja aku petik paparan berita online, mesti ada satu daripadanya berkaitan isu-isu etnik. Bahasa yang sering ditulis ialah 'racism'. Kadang-kadang aku hairan juga dengan manusia ni, ye lah aku sebagai seorang pelajar perubatan sememangnya kerja aku mengkaji manusia. Apa sahaja berkaitan manusia aku suka kaji. Tapi bila timbul isu ketegangan etnik ni aku sering sahaja keliru. Kenapa manusia sering bertelagah?

Dalam perubatan, ras hanyalah satu. Ras manusia. Jika mahu katakan seseorang itu bersifat rasis adalah tidak tepat bagiku, kerana rasis merujuk kepada perasaan tidak senang dengan manusia. Namun, perkataan inilah selalu dilontarkan oleh orang ramai apabila hendak melabelkan seseorang yang suka bertelagah dengan etnik lain. Rasis! Katanya. Maka, aku faham di sini rasis bermaksud perasaan kurang suka atau benci terhadap sesuatu kaum atau etnik.

Aku pelajar perubatan. Aku melihat manusia itu sama sahaja. Anatominya tak banyak beza. Semuanya mempunyai daging dan tulang. Fisiologi pun taklah banyak beza. Seorang gadis daripada etnik A akan menghadapi perubahan fisiologi yang sama dengan seorang gadis daripada etnik B andai kata tidak ada sebarang gangguan patologi. Dari segi pembesaran, manusia nampak tak banyak beza bagiku. Namun, dari segi pembangunan, manusia kulihat ada banyak bezanya. Inilah yang menarik bagiku. Aku mahu mengkaji semua jenis pembangunan manusia yang ada di atas muka bumi ini. Aku mahu lihat pembangunan yang mana terbaik, dan pembangunan mana yang terburuk.

Apabila ku mengkaji tentang pembangunan manusia ini, aku sedikit sebanyak dapat memahami tentang sifat rasis. Bagaimana sifat ini terbentuk, kesannya terhadap pembangunan individu dalam kehidupannya yang mendatang, cara-cara menghalang daripada berlakunya sifat rasis di semua peringkat umur, dan sebagainya. Aku faham tak lah banyak. Sedikit sahaja. Aku kan masih mengkaji. Mengkaji sifat-sifat manusia. Sifat rasis, pada waktu ini.

Aku juga turut mengkaji diriku sendiri disamping mengkaji diri orang lain. Apakah aku juga seorang yang bersifat rasis? Mungkin ya, mungkin juga tidak. Aku tidak pasti. Aku perhatikan tindak-tanduk harian aku. Taklah banyak tindakan yang pernah aku lakukan untuk melayakkan diriku digelar rasis. Aku mengkaji lagi, tapi keputusannya hampa.

Akihrnya aku buntu jua. Aku bertanya kembali, ada apa dengan rasis? Adakah memang sifat seseorang manusia itu sudah tertulis dalam suratan hidupnya untuk bersifat rasis? Kalau begitu kesianlah dirinya. Atau, memang sifat manusia ini untuk bertelagah sesama sendiri dan perkataan rasis itu hanyalah alat atau alasan untuk mereka memenuhi sifat mereka yang suka bertelagah sesama sendiri? Aku akan terus mengkaji. Ini tanggungjawabku sebagai pelajar perubatan dan seorang doktor di masa hadapan jika ada rezekinya.

No comments:

Post a Comment

Dipatuk ular Calliophis Intestinalis.

  Beberapa hari lepas, saya ada menerima satu rujukan kes patukan ular. Kes patukan ular ini dirujuk daripada unit jabatan kecemasan kepada ...