Sunday 7 September 2014

Pengenalan terhadap keradangan. (inflammation)

Keradangan merupakan salah satu topik penting dalam subjek petholoji. Ia merupakan asas utama kepada subjek ini dan penting difahami secara menyeluruh kerana hanya melalui pemahaman yang menyeluruh inilah seseorang itu mampu memahami sesuatu proses penyakit-penyakit yang berlaku keatas pesakit. Didalam bahasa Inggeris keradangan disebut inflammation.

Keradangan ialah satu proses tindak balas semulajadi tubuh badan manusia terhadap sesuatu kemudaratan yang berlaku pada badan. Contoh kemudaratan ialah jangkitan, trauma, dan sebagainya. Keradangan perlu berlaku supaya kemudaratan yang ada pada badan tidak akan kekal berpanjangan. Jika dibiarkan lama, sudah tentu tubuh badan manusia akan binasa.

Terdapat beberapa ciri-ciri penting yang boleh kita lihat untuk mengenal pasti kewujudan keradangan ini. Ciri-ciri ini ialah bengkak, sakit, kemerahan, dan panas atau suam. Cuba perhatikan jika mana-mana bahagian badan kita yang digigit oleh kerengga atau seseekor serangga, bahagian yang digigit itu akan membengkak, tampak merah-kemerahan, terasa suam dan sudah tentu rasa sakit. Inilah satu contoh keradangan. Keradangan yang berlaku tika ini adalah demi membuang bahan-bahan kimia yang dilepaskan oleh serangga tadi daripada tubuh badan kita. Bahan-bahan kimi ini adalah satu mudarat.

Tentang proses sebenar bagaimana keradangan ini berlaku mungkin akan ditulis di lain hari. Entri kali ini hanyalah pengenalan sahaja. Tahu ciri-ciri keradangan sudah cukup. Hal ini disebabkan prosesnya mengambil sedikit masa untuk dihuraikan. Tambahan pula, mengenali ciri ini sudah cukup berguna untuk memahami sesuatu penyakit.

Ada pesakit mengadu sakit perut. Berdasarkan ciri-ciri keradangan, sakit itu salah satu daripadanya. Bengkak, kemerahan dan rasa suam tidak mungkin kita dapat lihat secara luaran andai kata keradangan itu berlaku pada organ dalaman seperti usus, hempedu, appendiks, atau mana-mana organ dalaman bahagian abdomen. Berdasarkan satu aduan ini sahaja kita dapat tahu ada sesuatu yang memudaratkan tubuh pesakit dan proses keradangan sedang berlaku. Dari sinilah kita mengorak langkah seterusnya untuk menguruskan pesakit.

Akhir sekali, bagi menerangkan ada berlakunya keradangan di sesuatu organ imbuhan -itis ditambah pada kata organ tersebut. Sebagai contoh, appedicitis merujuk kepada keradangan di appendiks, arthritis merujuk kepada keradangan di sendi badan (arthr maknya sendi), dan banyak lagi contoh nama penyakit yang boleh kita senaraikan dengan akhiran katanya berbunyi -itis.

Apa yang mungkin diterangkan tentang keradangan di entri seterusnya:

1. Proses bagaimana keradangan berlaku.
2. Punca-punca berlakunya keradangan.
3. Keradangan yang berpanjangan. (Chronic inflammation)
4. Kesan baik dan kesan buruk keradangan.
5. Ubat anti-keradangan.


No comments:

Post a Comment

Dipatuk ular Calliophis Intestinalis.

  Beberapa hari lepas, saya ada menerima satu rujukan kes patukan ular. Kes patukan ular ini dirujuk daripada unit jabatan kecemasan kepada ...