Sunday 21 September 2014

Kelabing (Clubbing)

Entri kali ini pendek sahaja. Sekadar ingin bercerita tentang satu saing (sign) yang selalu dihubungkaitkan dengan sakit jantung. Kelabing.

Kelabing merujuk kepada saiz jari yang besar. Sebab bagaimana kelabing ini boleh berlaku tidak dapat dikenalpasti dengan jelas namun para saintis mengutarakan beberapa teori bagaimana kelabing boleh berlaku. Berikut adalah pethofisiolojinya...

Pembesaran saiz jari disebabkan gejala interstishel edima yang berlaku di hujung jari. Apabila tisu di bahagian jari kurang menerima oksijen yang disebabkan faktor-faktor petholoji tertentu seperti sakit jantung, penyakit sistem pernafasan dan sebagainya, maka akan ada satu tindakan fisiloji daripada badan sendiri untuk membawa masuk lebih oksijen kepada tisu-tisu di bahagian hujung jari ini. Gejala intersishel edima. Lokal vasodailator (vaso=vessel/saluran, dailator=pembesar) yang berada di hujung jari akan diaktifkan dan menyebabkan saluran darah membesar bagi membolehkan banyak darah mengalir ke hujung jari ini. Akibatnya, keadaan ini akan menyebabkan tisu-tisu di bawah kuku jari menebal. Secara tidak langsung menyebabkan saiz jari membesar. Istilah perubatannya ialah clubbing (kelabing).

Yang diceritakan di atas hanyalah salah satu teori tentang bagaimana kelabing berlaku. Terdapat juga lain-lain teori membincangkan bagaimana kelabing berlaku.

Tanda kelabing ini selalu kita lihat pada pesakit jantung atau pesakit yang menghidapi penyakit sistem pernafasan. Namun, ada juga keadaan di mana kelabing ini dilihat pada manusia yang tidak mempunyai sebarang unsur-unsur petholoji padanya seperti yang sememangnya dilahirkan begitu. Konjenaital kelabing.

Kelabing hanyalah merupakan satu petanda untuk kita membuat kesimpulan awal tentang sesuatu penyakit yang dihadapi oleh pesakit. Kita juga haruslah membuat pengambilan sejarah pesakit yang menyeluruh serta membuat pemeriksaan fizikal yang rapi dan melakukan beberapa investigeshen yang perlu untuk membuat provishenal diagnosis untuk pesakit. Tidak patut jika kita mengandaikan seseorang itu menghidapi penyakit jantung kerana dirinya mempunyai kelabing di jarinya.


Tuesday 9 September 2014

Petua-petua untuk berjaya dalam menghadapi penilaian dan pemeriksaan kursus pediatriks.

  1. Baca bahan-bahan bacaan yang berkaitan dengan isi kandungan kursus pediatrik sebaik-baiknya di awal permulaan kursus.
  2. Kenal-pasti perkara-perkara yang akan dinilai sepanjang kursus dan bagaimana penilaian-penilaian ini dilakukan. 
  3. Manfaatkan setiap peluang yang ada untuk berjumpa dengan anak-anak dan ibubapanya, ambil sejarah dan lakukan pemeriksaan fizikal sekerap yang mampu.
  4. Hadiri semua seminar dan bengkel yang disediakan oleh kursus, kerana kebanyakan seminar dan bengkel ini akan banyak membincangkan isi-isi pelajaran penting bagi kursus pediatrik.
  5. Apabila menjumpai seorang anak yang mempunyai keadaan sakit tertentu, maka bacalah bab-bab berkaitan dengan keadaan tersebut yang ada di dalam buku pediatriks, dan fikirkanlah diagnosis-diagnosis yang bertepatan dengan keadaan pesakit tersebut.
  6. Layarilah video-video mengenai pemeriksaan fizikal dari satu bahagian badan ke lain bahagian di mana-mana laman sesawang dan seterusnya melakukan latihan amali terhadap pesakit pediatriks.
  7. Selesaikan ujian-ujian (assessments) kursus seawal yang mungkin, dan jangan tangguhkan sehingga di akhir kursus.
  8. Lakukan soalan-soalan latihan untuk pemeriksaan (MCQ,SEQ) dan baca topik kepada kesalahan yang dilakukan.
  9. Selalu berlatih melakukan senario-senario OSCE bersama rakan sekursus dan bagi maklumbalas kepada sesama sendiri terhadap latihan yang dilakukan.

Monday 8 September 2014

Pembesaran dan pembangunan anak-anak. (Pediatriks)

Doktor melihat perkembangan kesihatan seseorang anak berdasarkan dua segi, satu dari segi pembesarannya dan satu lagi dari segi pembangunannya. Pembesaran seseorang anak itu lebih merujuk kepada perkembangan fizikal tubuh badannya seperti berat badan, panjang dan ketinggian, ukur lilit kepala dan ukur lilit dada. Manakala pembangunan seseorang anak itu lebih merujuk kepada kematangan fungsi tubuh badan anak tersebut dalam melakukan pelbagai tugas harian seperti berdiri, menulis, berinteraksi dengan manusia lain dan sebagainya.

Di bawah tajuk pembesaran sahaja banyak perkara yang boleh dibincangkan tentang perkembangan kesihatan seseorang anak. Umumnya, kesemua ibubapa sepastinya mengharapkan anak mereka membesar dengan normal dan tiada cacat cela bila dibandingkan dengan pembesaran anak-anak orang lain. Maka, salah satu perkara yang boleh dibincangkan di bawah tajuk pembesaran ialah pembesaran normal anak-anak. Satu kajian akan dilakukan terhadap satu komuniti kanak-kanak untuk mengetahui laras sifat normal tersebut. Secara amnya, purata itu adalah normal. Jika berat bayi baru lahir puratanya 2.6 kg didalam sesebuah komuniti, maka bayi yang lahir dengan berat badan sekitar nilai 2.6 kg akan diangkap normal. Jika nilai berat terlebih atau terkurang dengan banyaknya, maka boleh dikatakan bayi tersebut tidak normal beratnya. Seterusnya, mereka yang berminat dalam bidang kesihatan anak-anak akan terus mengkaji mengapa boleh berlaku pembesaran yang tidak normal keatas bayi-bayi ini. Ini juga merupakan satu perbincangan di bawah tajuk pembesaran anak-anak. Pendek kata, memang banyak boleh dibincangkan tentang pembesaran anak-anak ini.

Seterusnya, tentang pembangunan. Seperti yang disebut di atas, pembangunan merujuk kepada kematangan fungsi tubuh badan seseorang anak dalam melakukan satu tugasan harian manusia. Sebagai contoh, berkomunikasi dengan manusia-manusia lain yang dekat dengannya. Doktor akan menilai bagaimana anak tersebut berkomunikasi dengan orang-orang di sekitarnya. Adakah anak tersebut tidak selesa berhadapan dengan orang asing, atau mampu menuturkan sesuatu ayat yang bermakna, atau lebih dari itu. Penilaian ini dilakukan berdasarkan dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh badan-badan atau jawatankuasa pediatrik setempat.

Seperti mana akan pembesaran, pembangunan anak-anak juga mempunyai banyak perkara yang boleh dibincangkan. Selalunya, kita memecahkan tajuk pembangunan anak-anak ini kepada 5 jenis pembangunan. Pembangunan kemahiran motor kasar, pembangunan kemahiran motor halus, pembangunan kemahiran sosial, pembangunan penggunaan bahasa, dan pembangunan pendengaran dan penglihatan. Setiap jenis pembangunan ini pula boleh dibincangkan dengan lebih mendalam lagi. Walaubagaimanapun, kita perlu mengetahui yang mana pembangunan normal dan yang mana pembangunan tidak normal.

Pembesaran dan pembangunan anak-anak saling berkait rapat. Pembesaran yang sihat akan menjamin pembangunan yang cerah kepada anak-anak. Pembesaran yang bermasalah akan memudaratkan pembangunan anak-anak. Oleh sebab itu, kita hendaklah memahami serba sedikit tentang isu-isu pembesaran dan pembangunan demi memberi perkembangan hidup yang positif terhadap anak-anak. Mengetahui tentang makna pembesaran dan pembanguna anak-anak merupakan satu permulaan yang positif dalam mengembangkan kehidupan seseorang anak.

Sunday 7 September 2014

Pemupukan bahasa Melayu. (Bukan medikal)

(Apa yang ditulis di bawah merupakan petikan yang diambil daripada Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, muka surat 26. Aku tidak mengolah mana-mana ayat yang ditulis, maka yang di bawah ini adalah asli. Aku mahu berkongsi dan menyebarkan ilmu sahaja.)

Pemupukan bererti menumpukan perhatian pada usaha-usaha untuk mengembangkan bahasa supaya tercapai keadaan saling terjemah dengan beberapa bahasa moden lain. Ini dilaksanakan terutamanya dengan pemupukan istilah-istilah baharu, khususnya istilah dalam bidang-bidang teknikal.

Perkara ini telah dilaksanakan dengan jayanya bagi bahasa Melayu oleh seluruh rakyat Malaysia, terutamanya melalui perancangan yang teratur dan terarah oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Sejak tahun 1956, satu bahagian khas telah ditubuhkan di badan tersebut yang tugas utamanya melaksanakan pembentukan istilah baharu. Jawatankuasa-jawatankuasa istilah dibentuk, dan hingga kini, lebih 600 ribu istilah teknikal telah dicipta meliputi berbagai-bagai bidang ilmu dan disiplin. Bahasa Melayu hari ini dapat memperkatakan semua bidang, daripada kejuruteraan, kedoktoran, dan sains angkasa lepas hingga kepada sains rumah tangga, kehakiman, dan seni halus. Bahasa yang digunakan dalam tiap-tiap bidang ini mempunyai bentuk yang khusus atau tertentu yang disebut laras bahasa.

Jumlah laras bahasa Melayu kini, berbanding dengan jumlahnya 30 tahun dahulu, telah berlipat ganda. Persoalan laras bahasa ini akan dibincangkan dalam bab berikut.

(Akan bersambung di bab seterusnya...)

Pengenalan terhadap keradangan. (inflammation)

Keradangan merupakan salah satu topik penting dalam subjek petholoji. Ia merupakan asas utama kepada subjek ini dan penting difahami secara menyeluruh kerana hanya melalui pemahaman yang menyeluruh inilah seseorang itu mampu memahami sesuatu proses penyakit-penyakit yang berlaku keatas pesakit. Didalam bahasa Inggeris keradangan disebut inflammation.

Keradangan ialah satu proses tindak balas semulajadi tubuh badan manusia terhadap sesuatu kemudaratan yang berlaku pada badan. Contoh kemudaratan ialah jangkitan, trauma, dan sebagainya. Keradangan perlu berlaku supaya kemudaratan yang ada pada badan tidak akan kekal berpanjangan. Jika dibiarkan lama, sudah tentu tubuh badan manusia akan binasa.

Terdapat beberapa ciri-ciri penting yang boleh kita lihat untuk mengenal pasti kewujudan keradangan ini. Ciri-ciri ini ialah bengkak, sakit, kemerahan, dan panas atau suam. Cuba perhatikan jika mana-mana bahagian badan kita yang digigit oleh kerengga atau seseekor serangga, bahagian yang digigit itu akan membengkak, tampak merah-kemerahan, terasa suam dan sudah tentu rasa sakit. Inilah satu contoh keradangan. Keradangan yang berlaku tika ini adalah demi membuang bahan-bahan kimia yang dilepaskan oleh serangga tadi daripada tubuh badan kita. Bahan-bahan kimi ini adalah satu mudarat.

Tentang proses sebenar bagaimana keradangan ini berlaku mungkin akan ditulis di lain hari. Entri kali ini hanyalah pengenalan sahaja. Tahu ciri-ciri keradangan sudah cukup. Hal ini disebabkan prosesnya mengambil sedikit masa untuk dihuraikan. Tambahan pula, mengenali ciri ini sudah cukup berguna untuk memahami sesuatu penyakit.

Ada pesakit mengadu sakit perut. Berdasarkan ciri-ciri keradangan, sakit itu salah satu daripadanya. Bengkak, kemerahan dan rasa suam tidak mungkin kita dapat lihat secara luaran andai kata keradangan itu berlaku pada organ dalaman seperti usus, hempedu, appendiks, atau mana-mana organ dalaman bahagian abdomen. Berdasarkan satu aduan ini sahaja kita dapat tahu ada sesuatu yang memudaratkan tubuh pesakit dan proses keradangan sedang berlaku. Dari sinilah kita mengorak langkah seterusnya untuk menguruskan pesakit.

Akhir sekali, bagi menerangkan ada berlakunya keradangan di sesuatu organ imbuhan -itis ditambah pada kata organ tersebut. Sebagai contoh, appedicitis merujuk kepada keradangan di appendiks, arthritis merujuk kepada keradangan di sendi badan (arthr maknya sendi), dan banyak lagi contoh nama penyakit yang boleh kita senaraikan dengan akhiran katanya berbunyi -itis.

Apa yang mungkin diterangkan tentang keradangan di entri seterusnya:

1. Proses bagaimana keradangan berlaku.
2. Punca-punca berlakunya keradangan.
3. Keradangan yang berpanjangan. (Chronic inflammation)
4. Kesan baik dan kesan buruk keradangan.
5. Ubat anti-keradangan.


Saturday 6 September 2014

Maksud Acute dan chronic. (Akut dan kronik)

Penulisan bidang perubatan dalam bahasa Melayu saya perhatikan tidak banyak ada di pasaran. Kalau ada pun karya-karya penulisan perubatan tersebut sukar difahami oleh orang awam kerana banyak istilah-istilah teknikal dan penggunaan bahasa asing secara membuta-tuli. Saya sendiri masih terkial-kial bagaimana mahu menulis tentang perubatan yang saya sedang belajar ke dalam bahasa Melayu. Mencari perkataan Melayu yang sesuai dengan maksud dan konteks daripada bahasa Inggeris sukar. Salah satu sebab kerana tiada kamus rujukan yang sesuai dan bahan-bahan bantuan untuk penulisan sebegini. Maka, disebabkan saya masih lagi bergelar pelajar perubatan dan tidak mempunyai rangkaian ilmu yang luas, saya telah menetapkan hasrat untuk menterjemaah bahasa asing ini mengikut cita-rasa saya sendiri. Terjemaah dahulu melalui cara ini, dan sunting semula apa yang telah ditulis di masa hadapan sekiranya ada penambah baik yang perlu dilakukan.

Jadi, dua perkataan yang ingin saya terjemaahkan hari ini ialah acute dan chronic. Kedua-dua perkataan ini penting untuk digunakan dalam memutuskan sesuatu diagnosis penyakit. Hasil kajian saya, acute diterjemahkan kepada akut dan chronic pula diterjemahkan kepada kronik didalam bahasa Melayu. Namun begitu, saya masih belum berpuas hati dengan terjemaah ini. Hal ini disebabkan terjemaah ini dilakukan berdasarkan bunyi sebutan dan bukan maknanya. Saya berpendapat bahawa lebih sesuai acute diterjemahkan sebagai singkat atau jangka masa yang pendek manakala chronic pula diterjemahkan sebagai berpanjangan atau memakan jangka masa yang panjang.

Dalam perubatan, perkataan acute selalunya digunakan untuk merujuk kepada sesuatu penyakit yang berlaku dalam tempoh kurang 2 minggu. Umumnya begitu. Contoh, acute tonsilitis yang merujuk kepada keradangan yang berlaku terhadap tonsil dalam tempoh yang singkat, kurang dari 2 minggu. Mungkin satu, dua, tiga hari. Pada masa yang sama chronic merujuk kepada sesuatu penyakit yang berlaku dalam tempoh lebih daripada 2 minggu. Contoh, chronic depression yang merujuk kepada penyakit kemurungan yang berpanjangan.

Dulu sebelum bergelar seorang pelajar perubatan, saya salah faham sedikit. Saya ingat kronik itu maksudnya teruk dan sukar dirawat. Tapi sekarang terbukti pemahaman saya yang dulu adalah salah. Kronik tak semestinya sukar dirawat. Contoh, ambil sahaja penyakit asthma. Asthma boleh menjadi satu penyakit kronik tetapi tidaklah sukar dirawat sekiranya langkah-langkah pengawalan awal tertentu diberi perhatian.

Walaubagaimanapun, saya tidak menolak kemungkinan yang saya akan menggunakan istilah terjemaah Melayu yang sedia ada kerana saya sendiri masih belum menghasilkan karya-karya sendiri. Saya perlu tulis dahulu, dan tengok bagaimana nanti. Di sini, saya tulis maksudnya dulu agar senang bagi saya menulis di masa hadapan dan juga kepada pembaca untuk memahami apa yang bakal ditulis saya nanti.

Friday 5 September 2014

Subjek-subjek penting tahun pertama ijazah perubatan.

Sebelum aku melanjutkan pelajaran ku dalam bidang perubatan dahulu, aku tidak tahu sedikit pun apa yang akan ku belajar sepanjang pelajaran perubatan ini. Aku ada baca tentang pengajian perubatan, tetapi bahasa-bahasa perubatan membuatkan aku ternganga. Tidak faham. Lantas, aku berkata kepada diriku sendiri. Ah, lantak la apa nak jadi nanti jadilah. Janji aku akan belajar sahaja apa yang diajar. Kini, aku sudah pun melepasi tahun pertama ijazah perubatan. Tahu lah aku tentang subjek-subjek yang diajar tahun pertama ini.

Antara subjek-subjek penting ialah anatomi, fisioloji, dan bayokimia (biochemistry). Anatomi pula boleh dibahagikan kepada dua, makro anatomi dan mikro anatomi. Nama lain makro anatomi ialah anatomi kasar (gross anatomy) atau disebut anatomi sahaja bagiku, dan nama lain bagi mikro anatomi pula ialah histoloji (histology).

Pengajian anatomi lebih tertumpu kepada mengenali struktur-struktur badan. Ianya umpama mengkaji struktur binaan sesuatu bangunan. Otot (muscle) di kaki ada beberapa bahagian dan setiap bahagian ini diberi nama berdasarkan faktor-faktor tertentu. Selain otot, pengajian anatomi turut membincangkan tentang urat saraf (nerves), tulang-tulang (bones), dan saluran darah (blood vessels). Umumnya inilah yang selalu dibincangkan dalam pengajian anatomi. Mengenal nama struktur badan dan fungsinya. Histoloji pula lebih tertumpu kepada struktur-struktur badan di peringkat makro, tidak dapat dilihat pada masa kasar tapi boleh dikaji struktur-struktur badan ini melalu kanta mikroskop. Subjek histoloji selalunya membincangkan tentang rupa paras (morphology) sel-sel dan tisu-tisu yang ada di badan manusia. Otot di jantung rupa parasnya sedikit berbeza dengan otot-otot lain yang berada di badan manusia. Begitulah secara ringkas tentang pengajian anatomi ini.

Subjek fisioloji pula membincangkan kepada fungsi struktur tubuh badan manusia. Contohnya bagaimana tindakan otot mengucup menyebabkan pergerakan tubuh badan manusia. Subjek fisioloji ini selalunya membincangkan tentang fungsi-fungsi struktur badan yang penting terhadap kesihatan manusia secara keseluruhannya.

Subjek bayokimia lebih tertumpu kepada tindak-balas kimia yang ada dalam tubuh badan manusia. Sebagai contoh, bagaimana pertukaran bahan-bahan kimia dalam darah mengubah tahap pH darah manusia dan sebagainya. Tidak banyak yang boleh ku huraikan tentang subjek bayokimia ini. Siapa yang ada belajar subjek kimia mungkin akan lebih memahami tentang subjek bayokimia.

Ketiga-tiga subjek ini merupakan subjek yang paling penting bagiku dalam tahun pertama pengajian izajah perubatan. Subjek-subjek lain ada juga yang diajar seperti embrayoloji, pertolongan cemas dan sebagainya. Namun, ketiga-tiga subjek yang dihuraikan di atas boleh dikatakan sebagai tulang belakang pengajian tahun pertama ijazah perubatan.

Secara peribadi, aku lebih suka belajar subjek anatomi kasar yang digabungkan dengan subjek fisioloji. Hal ini disebabkan di tahun pertama pengajian aku bayak meluangkan masa di gym, cuba untuk membentuk tubuh badan yang tegap. Dari sini, aku mampu lebih memahami struktur-struktur kasar tubuh badan. Berada di gym juga memberi peluang kepadaku untuk mengamalkan teori-teori asas anatomi dan asas fisioloji yang telah dipelajari ku sewaktu kuliah perubatan.

Akhir kata, ketiga-tiga subjek yang dihuraikan di atas sangat berkait rapat antara satu sama lain. Sebagai pelajar perubatan pula, ketiga-tiga subjek ini perlu dikuasai secara baik sebelum dapat meneruskan pengajian tahun selanjutnya kerana subjek-subjek perubatan yang diajar pada tahun seterusnya memerlukan pengetahuan asas daripada subjek-subjek asas tahun pertama perubatan.

Secara ringkasnya, subjek-subjek yang akan diajar sewaktu tahun pertama ijazah perubatah ialah:
1. Anatomi (makro dan mikro)
2. Fisioloji
3. Biochemistry
4. Subjek-subjek tambahan seperti pertolongan cemas, membaca petanda-petanda penting, kemahiran mengendalikan alat-alatan asas perubatan dan sebagainya. 

Thursday 4 September 2014

Belajar perubatan menarik, kerja perubatan macam bosan.

Saban tahun, ada sahaja cerita pelajar lepasan SPM atau Pre-Uni Courses tak berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Aku dahulu pun macam mereka. Aku pun pernah tak berjaya mendapat tempat duduk belajar dalam bidang perubatan di sekolah perubatan tertentu. Permohonan ditolak. Namun, nasib baik masih ada sekolah perubatan yang sanggup menerima aku. Walaubagaimanapun, aku dapati kehidupan sebagai seorang pelajar perubatan bukanlah seenak yang ku sangka dulu. Tak enak pun. Nak senyum waktu belajar pun semakin jarang jika nak dibandingkan dengan waktu belajar di era sebelum belajar perubatan dulu. Baca balik cerita pelajar yang kurang bernasib baik ini, aku tertanya diri sendiri. Mereka ni, sejauh mana memahami kehidupan seorang pelajar perubatan dan kehidupan seorang doktor?

Aku dulu bukan tahu sangat pasal kehidupan seorang pelajar perubatan dan kehidupan seorang doktor ni. Memang bab-bab kehidupan ni aku banyak tak tahu waktu dulu. Tahu main ada la. Tapi sekarang dah jadi pelajar perubatan ni memang sudah faham la kehidupan seorang pelajar perubatan dan serba sedikit tahu tentang kehidupan seorang doktor. Jadi, di sini aku hanya ingin berkongsi tentang pendapat dan perasaan ku mengenai bidang perubatan yang aku tempuhi. Ingat, apa yang ditulis ini hanyalah melalui penggalaman aku sahaja. Lain orang lain penggalamannya. Topik kali ini, 'Belajar perubatan menarik, kerja perubatan macam bosan.' Topik yang aku tulis sendiri.

Sekarang aku pelajar perubatan. Maka secara umumnya kerja aku hanyalah belajar. Belajar dan belajar. Belajar perubatan bagiku menarik. Sebab apa? Sebab aku mampu memahami mengenai sains tubuh badan aku sendiri. Aku juga mampu mengetahui mengapa seseorang manusia itu boleh jatuh sakit, berteori cara mengubah status kesihatan seseorang, cuba memahami saikoloji dengan tindak-tanduk manusia dan apa sahaja yang berkaitan dengan bayoloji, fizik, dan kimia manusia. Ini merupakan sebab paling utama yang membuatkan belajar perubatan menarik bagiku.

Lain-lain sebab wujud juga. Aku pada waktu ini sedang belajar perubatan di India. Pabila belajar di negara asing ini, kita juga akan mengambil kesempatan mempelajari sesuatu di luar silibus yang diajar di sekolah perubatan. Bodoh lah aku kalau hanya mahu belajar yang digariskan oleh pihak sekolah perubatan sahaja. Hidup tidak boleh begitu. Falsafah hidup, manusia perlu sentiasa belajar. Di kesempatan menetap di India, aku memerhati corak kehidupan masyarakat setempat. Aku perhatikan perbezaan antara masyarakat setempat dengan masyarakat kampung halamanku (Malaysia), dan aku dapati ada kebaikan dan keburukan masing-masing. Apa yang aku perhatikan ini pula aku kaitkan dengan subjek-subjek perubatan yang telah ku pelajari. Hasilnya? Sangat menarik! Inilah sebab lain yang membuatkan belajar perubatan lagi menarik bagiku.

Dua sebab yang telah ku tulis di atas sudah cukup kuat untuk dijadikan alasan mengapa belajar perubatan menarik. Malahan, dua sebab ini boleh lagi dihuraikan dengan begitu mendalam sampai tiada penghujungnya.

Seterusnya, kerja perubatan macam bosan? Mengapa aku rasa begitu? Tak tahu lah. Aku pun kurang pasti sebabnya. Aku masih belum bergelar seorang doktor , tiada penggalaman. Aku tafsir sahaja masa depanku, kalaulah aku betul-betul akan bergelar seorang doktor, bagaimanalah agaknya kehidupanku? Tafsir aku berdasarkan pemerhatian dan pembacaan ku terhadap kehidupan doktor-doktor sekitar sahaja. Hasil tafsirku inilah yang memberi kesimpulan kepada ku. Kesimpulan yang mengatakan kerja perubatan bosan.

Tafsir pertama, kerja sebagai seorang doktor ini terlalu sibuk. Kesibukan kerja akan menyebabkan aku kekurangan masa untuk menjalani kehidupan peribadi. Ini satu sebab yang aku kurang pasti, yang membuatkan ku rasa kerja perubatan macam bosan. Kalaulah sudah kekurangan waktu untuk menjalani kehidupan peribadi alamatnya bosan lah hidup ku nanti. Sepanjang hidup 23 tahun ini diriku asyik diselubungi perkataan 'belajar, belajar' sahaja. Hendak juga ku menjalani keseronokan hidup. Jalan-jalan ke, makan-makan ke, bersukan ke. Sebelum ni manalah aku ada banyak peluang. 

Tafsir kedua, kerja perubatan akan amat sukar untuk dilakukan pada peringkat awal kerja. Hampir kemua orang yang baru memulakan sesuatu pekerjaan boleh dikatakan menghadapi masalah ini. Kerja perubatan akan begitu sukar untuk dilakukan kerana diriku masih mentah dalam bidang perubatan ini. Walaupun secara teorinya mungkin nampak hebat tetapi yang penting pada waktu ini ialah amalinya. Pabila sudah menjadi sukar sudah tentu akan biasa berlaku kesilapan dalam menjalani tugasan. Pabila sudah melakukan kesilapan sudah tentu tahap motivasi akan menurun. Sepastinya, apabila ini berlaku akan membuatkan diri menjadi bosan terhadap kerja perubatan. Begitulah tafsirku.

Namun, ini hanyalah tafsir-tafsir sahaja. Tafsir-tafsir ini bukan lah satu kepastian. Aku pula tak suka banyak bicara mengenai perkara-perkara yang tidak pasti. Pelajar sains la katakan. Sains itu kan sifatnya lebih konkrit dan kurang menduga-duga tanpa asas yang kukuh. Sebab itu la tak suka banyak bicara mengenai masa depan. Bicara sedikit tak apa, tapi jangan sampai begitu menghasut apa yang sudah pasti. (Belajar perubatan itu adalah pasti!)

Setakat ini sahaja lah penulisan hari ini. Sahaja nak menulis pendapat dan perasaan aku terhadap belajar perubatan dan kerja perubatan.

Tuesday 2 September 2014

Ada apa dengan rasis (racist) ?

Kebelakangan ini, sering sahaja aku lihat isu-isu berkaitan dengan ketegangan hubungan etnik terpampang di kaca skrin komputerku. Ke mana sahaja aku petik paparan berita online, mesti ada satu daripadanya berkaitan isu-isu etnik. Bahasa yang sering ditulis ialah 'racism'. Kadang-kadang aku hairan juga dengan manusia ni, ye lah aku sebagai seorang pelajar perubatan sememangnya kerja aku mengkaji manusia. Apa sahaja berkaitan manusia aku suka kaji. Tapi bila timbul isu ketegangan etnik ni aku sering sahaja keliru. Kenapa manusia sering bertelagah?

Dalam perubatan, ras hanyalah satu. Ras manusia. Jika mahu katakan seseorang itu bersifat rasis adalah tidak tepat bagiku, kerana rasis merujuk kepada perasaan tidak senang dengan manusia. Namun, perkataan inilah selalu dilontarkan oleh orang ramai apabila hendak melabelkan seseorang yang suka bertelagah dengan etnik lain. Rasis! Katanya. Maka, aku faham di sini rasis bermaksud perasaan kurang suka atau benci terhadap sesuatu kaum atau etnik.

Aku pelajar perubatan. Aku melihat manusia itu sama sahaja. Anatominya tak banyak beza. Semuanya mempunyai daging dan tulang. Fisiologi pun taklah banyak beza. Seorang gadis daripada etnik A akan menghadapi perubahan fisiologi yang sama dengan seorang gadis daripada etnik B andai kata tidak ada sebarang gangguan patologi. Dari segi pembesaran, manusia nampak tak banyak beza bagiku. Namun, dari segi pembangunan, manusia kulihat ada banyak bezanya. Inilah yang menarik bagiku. Aku mahu mengkaji semua jenis pembangunan manusia yang ada di atas muka bumi ini. Aku mahu lihat pembangunan yang mana terbaik, dan pembangunan mana yang terburuk.

Apabila ku mengkaji tentang pembangunan manusia ini, aku sedikit sebanyak dapat memahami tentang sifat rasis. Bagaimana sifat ini terbentuk, kesannya terhadap pembangunan individu dalam kehidupannya yang mendatang, cara-cara menghalang daripada berlakunya sifat rasis di semua peringkat umur, dan sebagainya. Aku faham tak lah banyak. Sedikit sahaja. Aku kan masih mengkaji. Mengkaji sifat-sifat manusia. Sifat rasis, pada waktu ini.

Aku juga turut mengkaji diriku sendiri disamping mengkaji diri orang lain. Apakah aku juga seorang yang bersifat rasis? Mungkin ya, mungkin juga tidak. Aku tidak pasti. Aku perhatikan tindak-tanduk harian aku. Taklah banyak tindakan yang pernah aku lakukan untuk melayakkan diriku digelar rasis. Aku mengkaji lagi, tapi keputusannya hampa.

Akihrnya aku buntu jua. Aku bertanya kembali, ada apa dengan rasis? Adakah memang sifat seseorang manusia itu sudah tertulis dalam suratan hidupnya untuk bersifat rasis? Kalau begitu kesianlah dirinya. Atau, memang sifat manusia ini untuk bertelagah sesama sendiri dan perkataan rasis itu hanyalah alat atau alasan untuk mereka memenuhi sifat mereka yang suka bertelagah sesama sendiri? Aku akan terus mengkaji. Ini tanggungjawabku sebagai pelajar perubatan dan seorang doktor di masa hadapan jika ada rezekinya.

Monday 1 September 2014

3 asas yang penting dalam fotografi. (ISO, Shutter speed, Aperture)

Ini adalah asas. Memahami asas ini tidaklah mengambil masa yang panjang jika anda baru sahaja menceburi bidang fotografi tetapi mempunyai minat yang mendalam. Penulis sendiri hanya mengambil masa tidak sampai sebulan untuk memahami 3 asas penting ini. Di sini, suka penulis untuk berkongsi kefahaman penulis terhadap 3 asas ini. ISO, shutter speed, dan aperture.

ISO ini kalau nak ditafsirkan kepada bahasa mudah ialah tahap kepekaan DSLR terhadap cahaya. Semakin tinggi ISO semakin peka DSLR terhadap cahaya. Contoh, kita ingin mengambil satu gambar pada waktu malam, tapi apabila kita ambil gambar tersebut kita dapati gambar kita tidak mempunyai kecerahan yang memuaskan. Imej di dalam gambar gelap. Model kita yang tersenyum di depan kamera sebentar tadi tidak mempamerkan sebarang senyuman dalam gambar yang kita tangkap tadi. Hitam sahaja. Sedangkan mata kita elok sahaja melihat senyuman model tersebut melalui viewfinder DSLR. Jadi, masalah di sini mungkin disebabkan tahap nilai ISO kurang sesuai dengan cahaya persekitaran. Oleh itu, kita tingkatkan sahaja nilai ISO, dan cuba perhatikan hasil tangkapan gambar terbaru. Hasilnya, gambar terbaru ini tentu sekali berjaya memberikan kecerahan yang memuaskan terhadap gambar yang dihasilkan. Senyuman model akan lebih jelas terpancar buat kali ini. Tak lah hitam sahaja.

Seterusnya, tentang shutter speed. Shutter speed ini, mudah tafsirannya ialah kepantasan DSLR kita menangkap cahaya. Semakin tinggi shutter speed, semakin pantas DSLR kita menangkap cahaya. Objek yang bergerak laju akan tampak seolah-olah beku tidak bergerak di dalam gambar. Perkara sebaliknya berlaku sekiranya kita kurangkan shutter speed di DSLR kita. Cubalah sendiri tangkap gambar dengan pelbagaian shutter speed. Pasti kita akan nampak beza hasilnya. Satu lagi perkara penting tentang shutter speed ini ialah mengenai jumlah cahaya yang kita tangkap. Jika kita naikkan shutter speed, maka ini menjadikan DSLR kita pantas menangkap cahaya tapi jumlah cahaya yang ditangkap adalah sedikit. Ini menyebabkan gambar kita kekurangan cahaya dan hasilnya gambar kita tidak mempunyai kecerahan yang diimpikan. Ada kalanya, kita perlu kurangkan shutter speed supaya kurang pantas DSLR kita menangkap cahaya. Hasilnya, lebih banyak cahaya yang akan menerombos lens DSLR dan ini sepastinya akan memberikan kecerahan yang kita impikan terhadap gambar kita.

Akhir sekali, tentang aperture. Aperture ini lebih tertumpu kepada lens yang digunakan. Setiap lens mempunyai kadar aperture tertentu. Aperture merujuk kepada kemampuan lens dalam membenarkan jumlah cahaya yang boleh menerombos lens pada satu masa. Pendek kata, cuba bayangkan anak mata kita sendiri. Pernah nampak tak anak mata kita membesar sekiranya kita berada dalam bilik gelap dan mengecil apabila kita berada di tempat cerah. Konsep yang sama digunakan pada aperture ini. Kita besarkan aperture untuk membenarkan banyak cahaya masuk ke dalam DSLR kita bagi menambahkan kecerahan gambar kita. Kita kecilkan aperture untuk kurangkan kecerahan gambar kita. Begitulah secara ringkas tentang aperture. Namun, bacaan aperture di setting DSLR adalah terbalik. Aperture akan semakin luas terbuka apabila kita kurangkan nilai bacaan aperture di setting DSLR dan sebaliknya. Mengapa begitu? Penulis tidak tahu. Tapi ingatlah tentang nilai bacaan ini. Ianya terbalik.

Baiklah, ketiga-tiga asas ini penting dalam bidang fotografi. Ingat, ini asas fotografi. Tanpa memahami asas ini, penulis berani mengatakan bahawa seseorang fotografer tidak akan berjaya dalam bidangnya. Usah bimbang jika anda masih kurang faham mengenai ketiga-tiga asas ini. Nasihat penulis, selalulah bermain dengan DSLR anda. Banyak latihan, banyaklah penggalaman. Banyak penggalaman, banyaklah pemahamannya. Apa yang ditulis oleh penulis di atas pun belum betul-betul lengkap huraiannya. Mungkin penulis akan banyak lagi menulis berkenaan ketiga-tiga asas fotorgrafi ini di masa hadapan.

Dipatuk ular Calliophis Intestinalis.

  Beberapa hari lepas, saya ada menerima satu rujukan kes patukan ular. Kes patukan ular ini dirujuk daripada unit jabatan kecemasan kepada ...